Remaja terlibat kes gaduh di Plaza Low Yat ditahan




Sumber : Sinar Harian


KUALA LUMPUR - Polis menahan seorang remaja lelaki  warga tempatan berusia 22 tahun yang dipercayai terlibat dalam insiden pergaduhan di Plaza Low Yat, semalam.
 
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Datuk Zainuddin Ahmad berkata kejadian pada 7.38 malam itu berpunca daripada perasaan tidak puas hati suspek yang ditahan pegawai keselamatan Plaza Low Yat kerana dituduh mencuri sebuah telefon bimbit.

"Pengawal keselamatan bertindak menyerahkan remaja itu kepada pihak polis, lanjutan daripada itu, remaja terbabit menghubungi rakan-rakannya lalu bertindak memukul pekerja di situ dan memecah barang-barang di dalam kedai terbabit yang menyebabkan kerugian dianggarkan bernilai RM70,000," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Katanya polis sedang menjalankan siasatan bagi mengesan rakan suspek yang terlibat dan meminta orang ramai tidak mengaitkan kejadian itu dengan isu perkauman yang menjadi viral di laman sosial.

"Polis tidak teragak-agak mengambil tindakan tegas terhadap penyebaran berita palsu yang boleh mengganggu keselamatan dan ketenteraman awam mengikut undang-undang yang ada," katanya.
 
Sementara itu, Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi Dan Kepenggunaan (KPDNKK) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Muez Abd Aziz berkata, pihaknya turut menjalankan siasatan mengenai dakwaan terdapat penjualan barang tiruan di Plaza Low Yat.

"Kami menghantar petugas untuk membuat risikan sama ada wujud penipuan oleh penjual atau sebaliknya, sekiranya ada penipuan, maka KPDNKK akan mengambil tindakan lanjut," katanya.

Muez berkata, sehingga kini pihaknya belum menerima aduan rasmi daripada  pengguna berhubung penjualan barang-barang tiruan di plaza itu, namun pemantauan sentiasa dijalankan bagi menjaga hak pengguna agar tidak ditipu.

Sementara itu Pengerusi Biro Aduan Awam Parti Gerakan, Wilson Lau Hoi Keong berkata, insiden pergaduhan itu bukanlah berkaitan isu perkauman, sebaliknya berpunca daripada kes dakwaan mencuri.

Beliau kesal dengan tindakan pihak tertentu yang mengaitkan kejadian itu  sebagai insiden pergaduhan kaum yang menjadi viral di laman sosial.

"Akibat tidak berpuas hati, suspek menghubungi rakannya seramai tujuh orang dan menyerang kedai itu," katanya kepada pemberita dalam sidang media di Plaza Lowyat di sini, hari ini.

Sementara itu, See Ming Ho, 28, pemilik kedai telefon terbabit mendakwa kejadian itu berlaku pada 5.30 petang.

"Lelaki itu berpura-pura ingin membeli telefon jenis Lenovo S860 dengan saya, apabila saya ingin mengambil hadiah percuma...lelaki terbabit telah lari bersama dengan telefon bimbit itu.

"Saya menjerit dan didengari oleh salah seorang petugas (Oppo) dan telah menghalang lelaki itu daripada keluar bangunan," katanya. - Bernama

4 Comments

The author will not be responsible for any comment left by the readers. Please comment using polite language. Thank you.


Post a Comment

The author will not be responsible for any comment left by the readers. Please comment using polite language. Thank you.


Post a Comment

Previous Post Next Post