Header Ads

Kisah Seram : Pocong Di Atas Katil Anak



Assalamualaikum dan salam sejahtera


Apa khabar peminat kisah seram sekalian? Kembali lagi dalam episod sama untuk minggu ini dalam rancangan Kisah Seram Apa Minggu Ini? Mungkin ada yang belum lagi membaca kisah seram untuk episod lepas iaitu Misteri Kain Putih di Asrama, anda boleh membaca dengan klik tulisan biru ya. Kisah kali ini tidak kurang hebatnya. Elemen seram yang agak menyeramkan. Jom hayati kisah ini.

-------

Saya ingin mengenengahkan pengalaman saya yang saya masih ingat sampai sekarang. Ini membuat saya tidak berani lagi tidur keseorangan diri di dalam bilik saya. Saya seorang ibu tunggal. Saya tinggal bersama ibu, ayah, adik lelaki saya dan isterinya di rumah kami di Sembawang. Saya tidur bersama anak gadis saya yang bernama Kiera. Katil kami merupakan katil dua tingkat. Saya tidur di bawah dan Kiera di atas. 

Selalunya Kiera sampai rumah dari tempat kerja paling lewat pukul 11.30 malam. Dan Kiera akan menghantar pesanan kepada saya jika dia balik lewat malam, selalunya habis lewat di tempat tugasnya di Lapangan Terbang Changi. Dan jika dia tidak balik, dia pun akan menghantar pesanan atau menelefon saya untuk memberitahu saya. Kejadian ini berlaku pada saya seminggu yang lalu, pada malam Jumaat. Saya terlalu penat sangat selepas pulang dari kerja sekitar selepas pukul 7 malam. Selepas membersihkan diri, solat Maghrib dan Isyak, saya makan dan berbual - bual dengan ibu dan ayah saya.


Masuk pukul 10 malam, saya pun masuk ke bilik dan terus tertidur. Saya tersedar dari tidur selepas sesuatu berbunyi di atas katil saya. Bunyinya sama seperti bunyi apabila Kiera baru baring atau sedang memusingkan dirinya di atas katil. Jam menunjukkan pukul 12.15 pagi. Pada pendapat saya, itu mesti Kiera yang sudah terbaring di atas. Selalunya, saya nampak wayar telefon bimbit Kiera di sebelah saya, tapi pada malam itu saya tidak perasan wayarnya. Dalam masa yang sama, saya terhidu bauan yang tak menyenangkan hati saya. 

Saya tahu itu bau pacai (serbuk cendana yg sering ditaburkan pada kain kafan (kain pembungkus mayat), tapi saya masih lagi setengah tidur setengah bangun. Saya tergerak hati untuk melihat telefon bimbit saya. Alangkah terperanjatnya saya bila ketika saya sedang memegang telefon bimbit saya ketika itu juga Kiera menghantar pesanan kepada saya untuk memberitahu bahawa dia pulang agak lewat, masih di tempat kerja, ada kerja lembur (kerja lebih masa) dan kemungkinan habis sekitar 2 pagi. Jadi apa yang ada di atas katil sehingga saya terdengar bunyi yang agak berat itu? Apa benda itu? Masih ada atau tidak?



Soalan-soalan ini bermain di fikiran saya. Nak bergerak lari takut, nak tidur balik lagi takut bila bau pacai masih ada, dan perasaan menjadi tak tentu arah. Tiba-tiba kedengaran bunyi dari atas katil yang perlahan bagaikan bunyi orang mengerang. Perlahan tapi jelas bunyi itu. Bayangkan, jarak dari katil ke pintu kira-kira tujuh tapak. Saya angkat bantal dan telefon bimbit saya dan jalan perlahan-lahan menuju pintu saya. Entah kenapa saya bergerak perlahan, saya tidak terfikir bahawa bergerak cepat itu lagi menyenangkan saya. Ketika saya buka pintu bilik (katil di belakang saya ), terdetik perasaan ingin tahu apa yang berada di atas katil. 

Saya pun buka pintu, perlahan-lahan kepala saya pusingkan ke arah kanan agar saya akan melihat dari tempat kaki dahulu. Bayangkan apa yang saya nampak. Susuk tubuh manusia yang dibalut kain putih, boleh saya katakan Pocong di katil anak saya yang di atas katil saya. Tanpa melengahkan masa, saya lari tanpa tutup pintu bilik saya. Kerana ketakutan sangat, saya kejutkan ayah dan ibu. Ibu dapat merasakan sesuatu bila saya kejutkan beliau. Namun begitu, tiada siapa yang berani periksa bilik itu malam itu. Kami lanjutkan tidur sehingga ke pagi. Sampai sekarang saya tak benarkan anak saya Kiera kerja lembur (kerja lebih masa), dan bila Kiera belum balik lagi, saya akan berada di bilik ibu saya. Terima Kasih kerana ketengahkan cerita saya ini.

Artikel Berkaitan : [ Misteri R&R Rehat dan Rawat ]

Sumber : Kisah Seram | Google Image

Sekian

No comments

The author will not be responsible for any comment left by the readers. Please comment using polite language. Thank you.


Powered by Blogger.