Masihkah Anda Ingat 10 Buah Filem Kumpulan Senario?

Assalamualaikum dan salam sejahtera

Masihkah Anda Ingat 10 Buah Filem Kumpulan Senario?

Kumpulan pelawak legenda tanah air, Senario ditubuhkan pada tahun 1996. Antara mereka yang pernah menjadi ahli asal dalam kumpulan Senario adalah Wahid Mohd, Lan Pet Pet, Azlee Jaafar, Shamsul Ghau Ghau, Farouk Hussain, Ilya Buang, Hamdan Ramli, Saiful Apek dan Yassin Yahya. Kumpulan Senario ini mula popular dengan siri sitkom mereka di TV3 dan juga menghasilkan beberapa album dan lagu sehinggakan mereka pernah tercalon ke peringkat akhir untuk Anugerah Juara Lagu. Selain itu, kumpulan Senario ini turut mengadakan konsert, telefilem dan kartun.

Untuk artikel kali ini, aku nak kongsikan dengan anda semua senarai filem yang dilakonkan oleh kumpulan Senario sepanjang kumpulan ini diwujudkan. Sehingga kini, 10 buah filem telah dihasilkan dan filem pertama bermula seawal tahun 1999 dan filem ke sepuluh adalah pada tahun 2011.

10 BUAH FILEM KUMPULAN SENARIO

Berikutnya adalah tentang info dan juga poster/babak dalam filem-filem Senario. Selain itu, aku juga ada berikan sedikit ulasan tentang filem-filem tersebut. Ulasan-ulasan tersebut adalah dari diri aku sendiri dan mungkin akan berbeza berbanding pendapat anda.

#1 Senario The Movie (1999)

Senario The Movie (1999)

Pengarah : Aziz M. Osman
Penerbit : Ahmad Puad Onah
Syarikat : Grand Brilliance 
Tarikh Tayang : 14 Mei 1999
Pelakon Utama : Azlee Jaafar, Wahid Mohd, Mazlan Pet Pet, Saiful Apek
Durasi : 120 Minit
Bajet Filem : RM700,000
Kutipan : RM4.58 Juta

Siapa masih ingat filem pertama kumpulan Senario? Filem Senario The Movie (1999) ini ditayangkan pada tahun 1999. Filem ini mengisahkan tentang persahabatan tiga sekawan, Azlee, Wahid dan Mazlan. Ketika kecil, kejadian antara Azlee dan Wanita Perogol Bersiri telah menyebabkan Azlee hilang ingatan akibat terkena renjatan elektrik. Mereka membesar bersama dan bekerja di funfair yang dimiliki oleh Saiful Apek. Kemudian pelbagai kejadian lucu dan kelakar terjadi. Filem ini juga menerima kutipan tiket yang banyak juga! Filem ini juga berjaya menerima anugerah dalam Festival Filem Malaysia ke 14 ya!

Filem ini memang antara filem yang selalu ditonton bersama keluarga. Bila ditayangkan di TV contohnya, mesti aku dan sekeluarga akan tonton. Banyak aspek atau babak menarik dan kelakar dalam filem ini. 

#2 Senario Lagi (2000)

Senario Lagi (2000)

Pengarah : Aziz M. Osman
Penerbit : Shamsul Khalid Ismail
Syarikat : Grand Brilliance 
Tarikh Tayang : 25 Mei 2000
Pelakon Utama : Azlee Jaafar, Mazlan Pet Pet, Wahid Mohd, Saiful Apek, Yassin Yahya
Durasi : 118 Minit
Bajet Filem : RM1.5 Juta
Kutipan : RM4.37 Juta

Filem kedua lakonan kumpulan Senario adalah filem Senario Lagi (2000). Filem ini mengisahkan tentang Azlee dinaikkan pangkat membeli kereta terpakai Proton Wira dan membawakan isteri dan anaknya bercuti ke Cherating. Dari situlah perjalanan filem ini berlaku, dimana rupanya kereta tersebut merupakan kereta curi. Kemudian terjumpa perempuan cantik, terlanggar Saiful yang membawa motorsikal. Memang sebuah filem yang penuh dengan elemen kelakar! Setiap watak mempunyai peranan masng-masing. Selain itu ada juga cameo daripada pelakon terkenal seperti Dato' Jalaludin Hassan, Amy Mastura dan ramai lagi.

Sama seperti filem pertama, filem ini bagi aku masih lagi mempunyai elemen kelakar yang dapat diterima. Jalan cerita pun dapat difahami dengan beberapa cameo daripada pelakon terkenal. Sebuah filem komedi yang bagus.

#3 Lagi-Lagi Senario (2001)

Lagi-Lagi Senario (2001)

Pengarah : Aziz M. Osman
Penerbit : Ahmad Puad Onah, Nor Aliah Lee, Johari Amat, Lazizah Ahmad
Syarikat : Grand Brilliance 
Tarikh Tayang : 14 Disember 2001
Pelakon Utama : Azlee Jaafar, Wahid Mohd, Saiful Apek, Yassin Yahya
Durasi : 110 Minit
Bajet Filem : RM 1.58 Juta
Kutipan : RM6.33 Juta

Filem Lagi-Lagi Senario (2001) ini merupakan filem ketiga lakonan kumpulan Senario. Antara pelakon lain yang turut membintangi filem ini adalah seperti Wardina Saffiyah dan Ani Mayuni. Filem ini mengisahkan tentang persaingan antara dua buah warung yang menjual roti canai sebagai makanan utama. Persaingan, pergaduhan antara kedua-dua warung ini menjadi plot utama di mana masing-masing mula mencari cara untuk menjatuhkan warung pesaing. 

Tahukah anda, filem ini menjadi filem tempatan kutipan tertinggi sepanjang zaman selama 9 tahun sebelum diatasi oleh filem Adnan Sempit  pada tahun 2010? Filem ini mendapat kutipan RM6.33 Juta mengatasi filem terdahulu, Sembilu 2 (1995), RM6.10 Juta. Filem ini turut menerima maklum balas positif daripada peminat dan pengkritik filem tempatan!

Bagi aku, inilah filem terbaik antara sepuluh filem lakonan Senario ini. Jalan cerita persaingan antara dua buah warung memang nampak biasa, tetapi bila ditambah dengan babak-babak lain, memang sebuah filem komedi yang seronok ditonton. Kalau nak cerita babak yang aku suka, memang banyak. Antaranya babak menebar baju dalam toilet, babak makan mee segera & macam-macam lagi!

#4 Lang Buana (2003)

Lang Buana (2003)

Pengarah : Mamat Khalid
Penerbit : Johari Amat, Lazizah Ahmad
Syarikat : Grand Brilliance 
Tarikh Tayang : 4 Disember 2003
Pelakon Utama : Azlee Jaafar, Wahid Mohd, Mazlan Pet Pet, Saiful Apek
Kutipan : RM2.2 Juta

Filem Lang Buana (2003) merupakan sebuah filem pertama Senario yang diarahkan oleh Mamat Khalid. Tiga filem sebelum ini masing-masing diarahkan oleh Aziz M. Osman. Filem ini juga merupakan filem pertama arahan Mamat Khalid.

Filem ini membawa penonton ke era zaman lampau iaitu sebelum abad ke-19 tetapi kisah yang dipaparkan berkaitan dengan masyarakat Malaysia hari ini. Ia mengisahkan tiga orang pemuda - Gunung, Daik dan Bercabang - yang melarikan diri daripada menjadi hamba abdi kepada Orang Kaya Seri Bentan. Mereka bertiga berhenti di sebuah kota bernama Lang Buana di pinggir sebuah sungai. Setibanya di kota itu, mereka disambut meriah kerana disangka putera raja yang dapat menyelamatkan kota itu daripada serangan Sang Nira. Terperangkap oleh keadaan, ketiga-tiga pemuda berkenaan terpaksa menyamar menjadi putera raja dan merangka taktik peperangan bagi memperkuatkan benteng pertahanan Lang Buana.

Tahukah anda bahawa ini adalah filem terakhir dimana Saiful Apek tampil sebagai anggota Senario. Selepas filem ini dia bergerak solo dan dalam filem berikutnya Senario XX, dia dan Yassin membuat kemunculan semula tetapi bukan sebagai ahli kumpulan Senario.

Filem ini bagi aku satu naskhah yang berbeza berbanding filem Senario yang lain. Ya, hasil arrahan Mamat Khalid, memang suatu yang berbeza. Aku suka bagaimana plot masa dalam filem ini digambarkan. Jarang untuk lihat filem melayu membawa plot zaman sebelum abad ke-19, walaupun aku rasa di dalam filem ini ada beberapa yang mungkin salah dari segi fakta sebab ini adalah filem komedi. Tapi Mamat Khalid dari awal lagi sudah memperlihatkan kebolehan beliau dalam menghasilkan filem yang hebat.

#5 Senario XX (2005)

Senario XX (2005)

Pengarah : Aziz M. Osman
Penerbit : Ahmad Puad Onah
Syarikat : Grand Brilliance 
Tarikh Tayang : 19 Mei 2005
Pelakon Utama :  Wahid Mohd, Saiful Apek, Lan Pet Pet, Azlee Jaafar, Yassin Yahya
Bajet Filem : RM1.82 Juta
Kutipan : RM2.32 Juta

Filem Senario XX (2005) merupakan filem ke 5 lakonan kumpulan Senario. Filem ini juga diarahkan oleh Aziz M. Osman setelah filem sebelum ini iaitu Lang Buana (2003) bukan dibawah pengarahannya. 

Filem ini mengisahkan tentang Zoragon berasal dari planet Zuhal. Dia bertugas mengendalikan kapal angkasa yang mengangkut bahan tenaga dari Zurah ke Marikh. Suatu ketika, kapal angkasanya mengalami kerosakan akibat diserang oleh Jeneral Zoragas dan pembantunya Zolidia yang ingin memiliki mesin kuasa yang disimpan oleh Zoragon. Mesin kuasa itu mampu dijadikan senjata dan Jeneral Zoragas mahukannya untuk merampas kuasa Raja Zaragus. Akibat serangan Jeneral Zoragas, Zoragon terpaksa mendaratkan kapal angkasanya di planet Bumi dan terdampar di sebuah kampung di Malaysia. Penduduk kampung tersebut amat terkejut dengan kehadiran kapal angkasa atau UFO itu. Dalam kekecohan yang timbul itu, seorang bomoh yang masih berpegangkan kepercayaan karut telah mengatakan bahawa kapal angkasa dan makhluk asing itu merupakan jelmaan hantu polong lalu menggunakan jampi serapah untuk menghalaunya. Kehadiran Zoragon di Bumi juga telah menemukannya dengan gadis kampung yang bernama Siti. Akibatnya timbul konflik antara tunang Siti (Rosman) dengan Zoragon yang telah terpikat pada Siti.

Tahukah anda bahawa untuk filem ini, Saiful Apek dan Yasin Yahya bukan lagi merupakan ahli kumpulan Senario? Setelah kali terakhir membuat penampilan di dalam Lagi Lagi Senario, Yassin Yahaya kembali berlakon di dalam francais filem Senario. Meskipun peranannya terhad kerana memegang watak pemuda bisu bernama Mat Top. Selain itu, antara pelakon lain yang membuat kemunculan dalam filem ini adalah seperti Nur Fazura, Siti Fazurina, Rosyam Nor dan Chef Wan. 

Bagi aku filem Senario XX ini merupakan filem terakhir untuk zaman kegemilangan kumpulan Senario. Filem-filem selepas ini memang agak jarang aku tonton dan mungkin hanya sekali sahaja aku tonton. Siapa sangka Malaysia sudah ada filem makhluk asing turun ke bumi? Ya, mungkin ini adalah filem komedi, tapi ideanya bernas. Lakonan dan elemen kelakar dalam filem ini juga sangat menjadi.

#6 Senario Pemburu Emas Yamashita (2006)

Senario Pemburu Emas Yamashita (2006)

Pengarah : Aziz M. Osman
Penerbit : Ahmad Puad Onah
Syarikat : Grand Brilliance 
Tarikh Tayang : 18 Mei 2006
Pelakon Utama : Mazlan Pet Pet, Wahid Mohd, Azlee Jaafar
Durasi : 100 Minit
Bajet Filem : RM1.49 Juta
Kutipan : RM1 Juta 

Filem Senario Pemburu Emas Yamashiata (2006) merupakan sebuah filem Senario di tahun 2006 dan merupakan filem terakhir bagi Senario yang diarahkan oleh Aziz M. Osman. Filem ini mengisahkan Boy, Put, Seman dan Jali telah dihantar ke klinik mental diatas kelakuan yang tidak stabil. Tetapi, sebenarnya mereka ini waras pemikirannya, cuma dimasukkan ke dalam klinik tersebut diatas kelakuan mereka dimana Put gemar meludah, Boy dan Seman memerlukan class mengawal panas baran dan Jali mengaku telah berjumpa dengan askar Jepun dalam hutan yang memberi satu peta kepada harta karun Jeneral Yamashita.

Ahli asal Senario iaitu Hamdam Ramli dan Ilya Buang juga turut membuat kemunculan dalam filem ini bersama pelakon lain seperti Que Haidar, Nora Danish dan Beego. 

Filem ini mungkin antara filem Senario yang paling jarang aku tonton dan mungkin aku tak pernah tonton sebab aku memang tak ingat langsung tentang jalan cerita filem ini. Nasib baik ada maklumat filem ini di Google.

#7 Senario The Movie: Episode 1 (2008)

Senario The Movie: Episode 1 (2008)

Pengarah : Ahmad Idham
Penerbit : David Teo
Syarikat : MIG Production
Tarikh Tayang : 1 Oktober 2008
Pelakon Utama : Lan Pet Pet, Wahid Mohd, Azlee Jaafar
Bajet Filem : RM4.259 Juta
Kutipan : RM4.26 Juta

Senario The Movie : Episode 1 (2008) merupkan sebuah filem komedi lakonan kumpulan Senario dan dibawah arahan Ahmad Idham.  

Filem ini mengisahkan tentang Filem ini mengisahkan pengembaraan 3 sahabat untuk mencapai cita-cita menjadi bintang. Mazlan, Azlee dan Wahid datang dari kampung dan negeri yang berbeza. Tujuan mereka hanya satu iaitu menghadiri uji bakat di Kuala Lumpur dan menjadi pelawak terkenal tanah air. Pelbagai dugaan dan cabaran terpaksa mereka hadapi untuk mencapai impian tersebut. Paling mengharukan apabila tibanya mereka di Kuala Lumpur, mereka telah ditangkap pihak polis kerana wajah mereka serupa dengan wajah kumpulan perompak bersiri yang menjadi buruan pihak polis. Mereka amat bimbang kerana uji bakat semakin hampir sedangkan mereka masih lagi di lokap. Persiapan persembahan masih lagi belum dilakukan. Apabila mereka dibebaskan, bermacam-macam lagi halangan menanti seperti tidak membenarkan mereka menghadiri uji bakat tersebut. Tetapi, berkat kesabaran dan ketabahan mereka mengejar cita-cita, mereka berjaya sampai ke tempat uji bakat.

Antara pelakon yang membuat kemunculan dalam filem ini adalah ahli asal kumpulan Senario iaitu Ilya Buang, Hamdan Ramli dan Shamsul Ghau Ghau. Selain itu, pelakon lain adalah seperti Zaibo, Ropie Cecupak, Zul Huzaimy, Julia Hana dan ramai lagi.

Filem ini aku pernah tonton, mungkin di wayang. Sebuah filem yang menarik walaupun hanya tinggal tiga orang sahaja ahli Senario. Walaupun menarik tetapi bagi aku masih banyak perkara yang boleh diperbaiki. Bajet lebih RM4 Juta, tapi bagi aku hasilnya tidak seberapa.

#8 Senario The Movie Episod 2: Beach Boys (2009)

Senario The Movie Episod 2: Beach Boys (2009)

Pengarah : Ahmad Idham
Penerbit : David Teo
Syarikat : MIG Production
Tarikh Tayang : 19 November 2009
Pelakon Utama : Lan Pet Pet, Azlee Jaafar, Wahid Senario
Bajet Filem : RM1.70 Juta
Kutipan : RM3.09 Juta 

Filem Senario The Movie Episode 2 : Beach Boys (2009) merupakan filem Senario ke 8 dan merupakan filem terakhir Senario yang diarahkan oleh Ahmad Idham.  Filem ini mengisahkan tentang kesinambungan tiga orang sekawan Azli, Wahid dan Mazlan, setelah bosan bekerja, mereka pun ingin bercuti dan memilih Teluk Dalam Resort sebagai lokasinya. Kemudian pelbagai kejadian terjadi di resort tersebut dimana akhirnya mereka membantu memajukan resort tersebut. 

Antara pelakon lain yang membuat kemunculan dalam filem ini adalah Maria Farida, Mek Siti, Marsha Milan Londoh, Datuk Jamali Shadat dan Riezman Khuzaimi. 

Filem ini pun aku pernah tonton mungkin sekali sahaja, dan aku tak berapa ingat jalan ceritanya, Terima kasih Google, barulah aku ingat kembali jalan ceritanya. Kalau dulu filem Senario membawa jalan cerita yang agak berat, lawak yang menarik, tapi untuk filem ini bagi aku macam ada sesuatu yang kurang. 

#9 Senario Asam Garam (2010)

Senario Asam Garam (2010)

Pengarah : Hatta Azad Khan
Penerbit : David Teo
Syarikat : MIG Production
Tarikh Tayang : 9 September 2010
Pelakon Utama : Azlee Jaafar, Mazlan Pet Pet
Bajet Filem : RM1.70 Juta
Kutipan : RM2.47 Juta

Filem Senario Asam Garam (2010) ini merupakan sebuah filem Senario yang diarahkan oleh Hatta Azad Khan. Ini juga merupakan filem pertama yang hanya menampilkan dua orang sahaja ahli kumpulan Senario iaitu Azlee Jaafar dan Mazlan Pet Pet sahaja. Filem ini menceritakan tentang persaingan dua orang dalam industri pembinaan.  Antara pelakon yang turut membintangi filem ini adalah seperti Julia Hana, Fimie Don, Nadia Mustafar, Syanie, Zaibo dan Angeline Tan. 

Filem Senario Asam Garam (2010) ini aku tonton di pawagam bersama keluarga. Tapi aku rasa macam agak membazir kerana filem ini tidak mencapai apa yang aku harapkan. Ya, elemen kelakar itu masih ada, tapi bagi aku kualiti untuk filem itu macam tiada. Mungkin untuk ditayangkan diteleviyen seperti telefilem mungkin bolehlah.

#10 Senario The Movie Ops Pocot (2011)


Senario The Movie Ops Pocot (2011)

Pengarah : Ismail Bob Hashim
Penerbit : David Teo
Syarikat : MIG Production / Metrowealth Production
Tarikh Tayang : 21 Julai 2011
Pelakon Utama : Lan Pet Pet, Wahid Mohd, Azlee Jaafar
Bajet Filem : RM1.50 Juta
Kutipan Filem : RM1.06 Juta

Filem Senario The Movie Ops Pocot(2011) ini merupakan filem terakhir lakonan kumpulan Senario dan merupakan filem dibawah arahan Ismail Bob Hashim. Filem ini mengisahkan  tentang 3 lelaki yang berlainan. Masing-masing mempunyai karakter yang pasif dan sentiasa ditindas oleh orang sekeliling mereka. Azli seorang pemuda yang masih bujang dan bekerja sebagai pengawal keselamatan di sebuah pasaraya. Azli seorang yang mudah penat danmudah tertidur dalam apa keadaan sekalipun. Mazlan seorang pemuda yang penakut dan bekerja di sebuah syarikat swasta. Beliau selalu dibuli oleh rakan sekerjanya malah sejak kecil lagi dia menjadi mangsa buli rakan-rakannya.Wahid pula seorang yang pendiam dan bekerja di sebuah agensi membekalkan pekerja-pekerja asing. Sikap mereka itu memebuatkan ketua mereka mengambil langkah memasukkan mereka ke kem motivasi yang dikendalikan oleh Ikatan Relawan Malaysia (RELA). Antara pelakon yang membintangi filem ini adalah Diana Amir, Mas Muharni, Sasqia, Kamal Adli, Mr Os dan Hairul Azreen. 

Filem terakhir kumpulan Senario (sehingga 2021) ini aku tak pernah tonton secara penuh. Walaupun ditayangkan di televisyen, aku hanya tonton beberapa babak sahaja. Walaupun membawakan konsep RELA dan sebagainya, tapi bagi aku filem ini sama seperti filem sebelum ini, ia bagaikan telefilem sahaja. Untuk ditonton di pawagam, bagi aku banyak perkara perlu dititikberatkan. Kalau lihat pada kutipan pun boleh nampak penerimaan orang ramai.

KUMPULAN PELAWAK LEGENDA

Memang diakui bahawa kumpulan Senario ini merupakan kumpulan pelawak legenda tanah air. Tanpa mereka mungkin pelawak-pelawak baru di Malaysia tidak dapat berada dan mempunyai industri mereka sendiri.

Walaubagaimanapun, filem-filem membawa jenama Senario hanya sebahagian sahaja yang betul-betul membawa nama mereka pada tempatnya. Jika ada perancangan untuk filem terbaru, mungkin ada banyak faktor yang boleh pengarah dan penerbit fikirkan terlebih dahulu. Boleh lihat bagaimana filem dengan bajet yang agak besar, tetapi menerima kutipan yang sedikit kerana penonton melihat pada kualiti filem dan jalan ceritanya.

SEKIAN

Sumber : Wikipedia | Google Image

2 Comments

The author will not be responsible for any comment left by the readers. Please comment using polite language. Thank you.


Post a Comment

The author will not be responsible for any comment left by the readers. Please comment using polite language. Thank you.


Post a Comment

Previous Post Next Post