Review Filem : Ada Hantu (2021) , Filem Melayu yang ...

Assalamualaikum dan salam sejahtera


Bukanlah pilihan aku sendiri untuk menonton filem Ada Hantu (2021) ini walaupun beberapa kali juga nampak filem ada di dalam senarai muka hadapan halaman Disney plus Hotstar. Pernah melihat poster filem ini dan ada beberapa orang dan 'page' yang mengkritik tentangnya. Ditayangkan bermula 13 Ogos 2021 dan hanya pada 20 Ogos 2021 barulah aku menontonnya setelah ramai yang mengatakan filem ini 'best' di ruangan Twitter.

Dalam artikel kali ini, aku akan memberikan ulasan aku tentang filem ini selepas menontonnya 2 jam sebelum artikel ini ditulis. Selamat Membaca.

FILEM ADA HANTU (2021)


Pengarah : Hairul Azreen
Cerita Asal : Adrian Teh
Lakon Layar : Adrian Teh & Amar Amir
Produksi : ACT 2 Pictures Sdn Bhd
Tarikh Tayangan : 13 Ogos 2021
Durasi : 1 Jam 40 Minit

BARISAN PELAKON

  • Zahiril Adzim  sebagai Aliff
  • Shikin Kamal Bariah
  • Hairul Azreen sebagai Talha
  • Nafiez Zaidi sebagai Jimmy
  • Elvina Chua sebagai Sasha
  • Henley Hii sebagai Peter
  • Theebaan sebagai Suresh
  • Sophia Albarakbah sebagai Farah
  • Dafi Ismail Sabri sebagai Amir
  • Hakim Nordin sebagai Fahmi
  • Nazwan sebagai Khalid


SINOPSIS FILEM ADA HANTU


Mengisahkan tentang Aliff (Zahiril Adzim), ‘Youtuber’ dan skeptikal terhadap semua perkara ghaib, yang mencabar rakan-rakannya untuk bermalam di sebuah rumah lama, terbengkalai – dikhabarkan pernah dimiliki oleh jeneral tentera Jepun yang telah menyeksa dan membunuh semua orang di sekelilingnya dengan kejam – untuk membuktikan bahawa hantu itu tidak wujud. Ketika malam menjelang dan Aliff kehilangan rakan-rakannya, dia segera menyedari bahawa rumah itu bukan semua yang dia bayangkan.

* Inginkan sinopsis penuh? Anda boleh tonton secara HALAL di laman streaming Disney Plus Hotstar sekarang!

ULASAN FILEM ADA HANTU (2021)


Jalan Cerita | Aku menonton filem ini tanpa melihat mana-mana artikel sinopsis dan review berkenaan filem ini. Bermakna pengetahuan aku tentang filem ini adalah kosong. Hanya tau bahawa ini adalah filem arahan Hairul Azreen sahaja. 

Menonton filem ini, pada permulaannya aku melihat dan menganggap filem ini adalah filem klisye seperti filem hantu-hantu biasa di Malaysia, di mana watak dalam filem itu pergi ke tempat seram, kemudian hantu kacau dan sebagainya. Rupanya kenyataan dan anggapan aku meleset. Plot twist pertama bahawa semua kekacauan adalah prank sahaja benar-benar aku tidak sangka. 

Plot twist kedua juga aku tak sangka juga walaupun ada petanda yang telah dilihat dalam babak sebelum-sebelumnya. Mereka diprank dan akhirnya mereka diganggu oleh hantu sebenar. Jalan cerita yang agak segar bagi aku dengan elemen seram yang memenuhi babak awal sehingga pertengahan dan elemen komedi di separuh kedua dalam filem ini.

Sinematografi | Kita boleh lihat setiap babak dalam filem ini dirancang dengan baik, warna yang digunakan juga cantik, kualitinya memang tinggi. Sudut kamera juga menarik terutamanya bila setiap babak ada dua sisi, pertama dari sisi seram dan kedua sisi pendedahan prank.

Elemen Seram | Untuk filem yang mempunyai hantu dalam tajuknya, hantu di dalam filem ini tidaklah menyeramkan. Tiada muka hodoh melampau, hantu terbang dan sebagainya. Ada beberapa babak yang aku suka dimana mereka bersembang tentang tips mencari hantu dan sebagainya. Elemen daripada filem-filem seram lain dapat dilihat di sini. Masuk separuh kedua filem, elemen seram mula beransur hilang sehinggalan muncul kembali di penghujung filem.


Lakonan | Sesiapa yang pernah melihat lakonan Zahiril Adzim pastinya bersetuju dengan kenyataan yang aku bakal keluarkan, bahawa beliau adalah salahs eorang pelakon lelaki terbaik Malaysia pernah ada. Lakonannya seperti biasa, sangat meyakinkan, bersahaja, dan sikapnya yang tidak percaya hantu memang nampak 'real'. Lakonan Shikin Kamal juga bagi aku sangat baik. Aku masih tak faham kenapa beliau masih belum menjadi pelakon terkenal di Malaysia. Lakonan beliau dalam filem Lagenda Budak Setan (2010) aku rasa antara filem yang membuatkan beliau terkenal, tetapi kemudiannya agak sendu.

Hairul Azreen turut berlakon dalam filem yang diarahnya. Lakonan beliau bagi aku adalah sama sahaja dengan watak-watak beliau yang pernah ada. Mungkin sebab aku jarang tonton lakonan beliau. Mungkin juga sebab dalam filem ini beliau bukanlah watak utama seperti watak Zahiril Adzim, tetapi beliau memang ada bakat untuk bawa lakonan komedi. Ramai juga pelakon baru yang aku tak pernah tengok lakonan mereka dalam filem ini dan terus terang lakonan mereka juga baik. Tidak nampak kaku dan kekok.

Poster | Antara perkara yang membuatkan aku tak nak tengok filem ini adalah posternya. Ya, tidak perlu hakimi sesuatu filem dengan hanya posternya sahaja. Tetapi bukankah itu perkara pertama yang kita lihat selain trailer filemnya? Disebabkan posternya jugalah aku rasa aku menonton filem ini selepas hampir seminggu ditayangkan di Disney Plus Hotstar. Mungkin kurangnya pada filem ini adalah pada posternya.


Sedikit perkara aku terkilan dengan penonton filem di Malaysia, mereka suka tonton filem-filem di platform yang haram. Sebelum artikel ini ditulis, aku sempat melihat dan mencari tajuk filem ini di laman Youtube dan ada lebih 4 saluran yang menyiarkan filem ini secara haram. Bagaimana industri filem nak berkembang bila filem-filem ini disiarkan secara haram melalui Youtube, Telegram, Facebook dan sebagainya? 

Bila filem yang dihasilkan tidak berkualiti, anda berikan komen tidak puas hati, tetapi masih menonton filem-filem dan drama di platform yang salah. 

SECARA KESELURUHANNYA

Filem Ada Hantu (2021) merupakan filem menarik untuk tonton bersama keluarga. Macam keluarga aku memag suka tonton filem seram dan bagi aku filem ini sangat sesuai ditonton bersama. Tiada elemen kejam dan seram yang melampau. Aku suka jika ada filem sekuel atau sambungan selepas ini, mungkin dengan jalan ccerita dan bajet yang lebih mega, mana tahu boleh menjadi filem yang lebih menarik? Kepada anda yang belum tonton, sila tonton di Disney Plus Hostar sekarang.

BINTANG : ⭐⭐⭐⭐ / 5

Kredit Gambar : imdb | Google Image

11 comments:

  1. Tahniah Hairul Azreen berjaya mengarah filem. Akak ingatkan dia akan buat filem aksi macam Paskal or Wira ke kan. Hehehe.

    ReplyDelete
  2. masih belum terpanngil utk tengok filem lokal. dah lama sangat tak tengok. ramai yang puji filem ni

    ReplyDelete
  3. Wow! Tinggi juga ye rating 4/5... Interesting la since Hairul director of this Ada Hantu... Sejujurnya this is the first time i dapat tahu ada filem ni from this artikel...nak tengok la nanti..

    ReplyDelete
  4. Suka cerita hantu tapi dah lama tak tengok. Takut teringat ingat takleh tido

    ReplyDelete
  5. Ohh my....I I actually scared of watching ghost stories all these while, so can still enjoy the storyline from your sharing. cheers, siennylovesdrawing

    ReplyDelete
  6. HAirul Azreen pengarah ke? wah mesti best ni. MEnarik gak kisah bermalam dekat rumah lama and terbengkalai terbengkalai . Kalau iena memang tak berani la :D

    ReplyDelete
  7. Hahaha baru je nengok dengan anak hrtu, sabo je laa ek.. semua plot twist, tapi siapakah kena hempap lampu tu ekkk aiyooooo

    ReplyDelete
  8. I ni sememang penakut orang nyer so cerita hantu hantu macam ni i takut nak tengok, tapi baca review best juga cerita ni.

    ReplyDelete
  9. Tak pernah tengok lagi. asyik baca review org je. takda kesempatan lagi ada masa nanti boleh la layan dgn family :)

    ReplyDelete

The author will not be responsible for any comment left by the readers. Please comment using polite language. Thank you.


Powered by Blogger.