Tempat Menarik di Daerah Hulu Perak #TravelPerakLah

Assalamualaikum dan salam sejahtera

Tempat Menarik di Daerah Hulu Perak

Negeri Perak Darul Ridzuan merupakan negeri keempat terbesar di Malaysia selepas negeri Sarawak, Sabah dan Pahang. Dibahagikan kepada 12 daerah, negeri Perak merupakan sebuah negeri yang kaya dengan pelbagai tempat-tempat menarik untuk dikunjungi. 

Baru-baru ini aku berpeluang menyertai Fam Trip yang dikelolakan oleh Gaya Travel Magazine dan Tourism Perak untuk menjelajah beberapa daerah di negeri Perak Darul Ridzuan. In shaa Allah dalam artikel kali ini aku akan ceritakan dengan ringkas dan padat tentang beberapa tempat menarik di daerah pertama yang dijelajah iaitu daerah Hulu Perak.

Tempat Menarik di Daerah Hulu Perak


TEMPAT-TEMPAT MENARIK DI DAERAH HULU PERAK

Hulu Perak merupakan sebuah daerah yang terletak di timur laut negeri Perak. Daerah ini merupakan daerah terbesar di negeri Perak. Daerah ini bersempadan dengan daerah Kuala Kangsar di selatan, daerah Larut, Matang dan Selama di barat daya, daerah Baling, Kedah di barat laut, jajahan Jeli dan Gua Musang, Kelantan di timur serta negara Thailand di utara.


BANDAR PENGKALAN HULU

Bandar Pengkalan Hulu, pernah dikenali sebagai Kroh atau Keroh, merupakan bandar yang terletak di daerah Hulu Perak, utara Negeri Perak. Ia terletak di sempadan antarabangsa antara Malaysia dan Thailand dan sempadan negeri antara Perak dan Kedah. Bandar berhampiran di negara Thai ialah Betong di Wilayah Yala.

#1 RESTORAN SELERA TERAPONG 

Selera Terapong

Restoran Selera Terapong ini terletak di Tasik Takong, Pengkalan Hulu. Sebuah restoran terapung yang menghidangkan pelbagai makanan tempatan yang sedap dan menyelerakan seperti ikan bakar, ayam bakar, kerabu mangga, ulam-ulaman, sambal belacan dan sebagainya. 

📌LOKASI : Jalan padang (Rumah Rehat), 33100, Pengkalan Hulu, Perak


#2 DUSUN DURIAN KAMPUNG TASEK

Dusun Durian Kampung Tasek

Raja buah-buahan iaitu durian merupakan antara kegemaran ramai termasuklah aku sendiri. Tahukah anda bahawa di Pengkalan Hulu ini terdapat dusun durian sebesar 500 ekar dengan penanaman pelbagai jenis durian termasuklah Durian Musang king, Durian D24, Durian Duri Hitam. 

Dusun yang luas ini boleh dikunjungi ketika musim durian dimana anda boleh melihat pohon durian yang sedang berbuah. Selain itu, disini juga terdapat kilang pemprosesan buah durian seperti 'durian frozen' dan sebagainya untuk dipasarkan ke luar.

📌LOKASI : Dusun Durian Kampung Tasek, Pengkalan Hulu, Perak

#3 TERATAK PAKSU HOMESTAY

Homestay Teratak Paksu

Untuk anda yang ingin nikmati dan rasai suasana tinggal dikampung, anda bolehlah memilih untuk menginap di Teratak Paksu. Terdapat beberapa penginapan yang anda boleh cuba antaranya adalah sebuah banglo besar dengan pemandangan menghadap ke arah tasik dan juga mempunyai kolam renang.  Penginapan lainnya adalah rumah kampung lama dengan gaya rumah Terengganu lama. Kadar harganya adalah pada harga yang sangat berpatutan.

Homestay Teratak Paksu

📌LOKASI : 107 B, Kampung Bekuai, Kampung Selarong 33100, Pengkalan Hulu, Perak
📘FACEBOOK : Inap Desa Teratak Paksu


#4 KROH HOTSPRING & RIVERSIDE

Kroh Hotspring & Riverside

Salah satu lokasi menarik untuk anda menginap di Pengkalan Hulu adalah di Kroh Hotspring & Riverside. Telah beroperasi sejak 28 tahun yang lalu dan diberi nafas bahru bermula pada Jun 2022.

29 buah bilik ditawarkan untuk penginapan dan terbahagi kepada tiga jenis penginapan iaitu chalet batu, chalet kayu dan studio. Antara kemudahan yang terdapat disini adalah seperti surau, dewan terbuka, dewan tertutup, dataran, sungai, tandas awam dan juga kawasan meletak kenderaan. 

Untuk kadar harga pula bermula RM150 untuk penginapan satu malam manakala untuk walk-in ke air panas, harganya adalah cuma RM2 seorang. 


Kroh Hotspring & Riverside

📌LOKASI : Chalet Air Panas, Jalan Betong, 33100, Pengkalan Hulu, Perak Darul Ridzuan
📘FACEBOOK : Kroh Hotspring
📞TELEFON : 04 4778 848 / 019 547 0907


#5 ISTANA SINGGAH RAJA REMAN

Istana Singgah Raja Reman

Istana Singgah Raja Reman merupakan milik keturunan Raja Reman dan dibina daripada kayu lebih 100 tahun yang lalu pernah menjadi istana tempat persinggan keturunan Raja Reman ketika melawat ke kawasan jajahan takluknya di kawasan utara tanah air.

Sejarah pentadbiran Raja Reman yang pusat pemerintahannya di Kota Baru, Yala meluaskan tanah jajahan mereka sehingga ke Kedah, Kroh (kini Pengkalan Hulu) dan Lenggong, Perak sejak akhir 1800.

Bagaimanapun, Raja Reman turut mendominasi kawasan Klian Intan dan mengusahakan perlombongan bijih timah di situ sehingga tercetusnya beberapa siri pertikaian dengan kerajaan Perak dan beberapa perjanjian yang diusahakan antara pihak Inggeris, Siam dan Perak.

Pada 1902, kerajaan Siam menghapuskan sistem pemerintahan beraja bawah pemerintahan Raja Reman dan menyerahkan daerah Hulu Perak kepada kerajaan Perak yang berlangsung di Kroh (kini Pengkalan Hulu) pada 16 Julai 1909.

Istana Singgah Raja Reman

📌LOKASI : Galeri Raja Reman, Kampung Padang Kota, Selarong, 33100 Pengkalan Hulu, Perak
📞TELEFON : 019 4466475

#6 BATU SEMPADAN MALAYSIA-THAILAND

Batu Sempadan Thailand-Malaysia

Tempat yang anda boleh lawati dan kunjungi berikutnya adalah di Sempadan Malaysia-Thailand dimana terdapat beberapa tempat yang sesuai untuk bergambar.  Untuk pengetahuan anda bagi penduduk di Pengkalan Hulu, bandar Betong di wilayah Thailand adalah lebih dekat berbanding bandar besar lain seperti Gerik dan sebagainya. Ramai yang mengambil kesempatan untuk ke Betong, Thailand untuk membeli belah dan sebagainya.

Batu Sempadan Thailand-Malaysia


#7 MEMORIAL TRAGEDI KROH/BETONG

Memorial Tragedi Kroh/Betong

Pada tanggal 17 Jun 1968, serang hendap pengganas komunis ke atas konvoi Pasukan Polis Hutan (PPH) yang menyaksikan seramai 16 anggota terkorban, manakala 17 yang lain cedera parah.

PPH atau sekarang dikenali sebagai Pasukan Gerakan Am (PGA). Peristiwa serang hendap Kroh amat penting dalam mengenang kekejaman pengganas Parti Komunis Malaya (PKM) kerana ia satu-satunya kejayaan besar mereka mendapat jumlah korban pasukan keselamatan yang tinggi.

📌LOKASI : Bukit Berapit, 33100 Pengkalan Hulu, Perak

#8 KOMPLEKS BEBAS CUKAI

Kompleks Bebas Cukai

Selepas bergambar dan sebagainya, di lokasi yang berdekatan juga terdapat Kompleks Bebas Cukai dimana anda boleh membeli pelbagai barangan pada harga yang murah. Antara barangan yang terdapat disini adalah seperti coklat, rokok, minuman alkohol dan sebagainya pada harga tanpa cukai. 

BANDAR LENGGONG

Lenggong adalah sebuah bandar di bahagian utara negeri Perak, Malaysia yang terletak 100 kilometer dari utara Ipoh. Lenggong terkenal kerana tapak arkeologikal dimana wujudnya bukti-bukti penempatan manusia semenjak zaman Paleolitik ditemui. Antaranya adalah seperti rangka manusia tertua di Malaysia yang dikenali sebagai Perak Man.

#9 RESTORAN TERINGAT LENGGONG 

Restoran Teringat Lenggong

Tiba di daerah Lenggong pula, Restoran Teringat Lenggong merupakan antara lokasi yang anda perlu datang dan cuba makanannya. Terletak di tepi Tasik Raban, restoran ini menawarkan set talam yang mana bolehn dikongsi untuk 3-4 orang. Setiap set talam ini berharga RM30 dan mengandungi menu tradisi tempatan seperti masak lemak belimbing buluh ikan loma, tilapia bakar, kerabu pucuk paku, pecal dan ulam-ulaman.

📌LOKASI : No.6, TMN Rekreasi Tasek Raban Dataran Tasik Raban, 33400 Lenggong, Perak


#10 SUAR SAUDAGAR ESPRESSO

Suak Saudagar Espresso

Wajib cuba kopi yang dihasilkan di Suak Saudagar Esspresso ini. Lokasinya agak tersorok, dibina dengan pemandangan tasik yang indah. 

Sebenarnya Suak Saudagar Esspresso ini baru sahaja dibuka pada Jun yang lalu dan asalnya dirancang untuk dibuka sebagai homestay tetapi dijadikan kafe. Antara menu minuman yang anda boleh cuba adalah seperti Caramel Macchiato, Vanilla Latte dan banyak lagi. 

📌LOKASI : Suak Saudagar Espresso, Jalan Kampung Kelantan, Lenggong, Perak

#11 RUMAH AYAH AN RUSA & KELULUT LENGGONG

Rumah Ayah An Rusa

Di Lenggong ini juga anda boleh melihat dan memberi makan pada rusa yang jinak. Ladang ternakan rusa ini dikenali sebagai Rumah Rusa Ayah An dimana pengunjung boleh memberi makan pada rusa yang jinak dengan harga RM5 bagi tiket masuk manakala RM5 untuk makanan rusa. 

📌LOKASI : Rumah Rusa Ayah An & Kelulut Lenggong, Lot 10952, Kampung Bukit Sapi, 33400 Lenggong, Perak


#12 SUMPITAN GLAMPING

Sumpitan Glamping

Okay, untuk penginapan pula, anda boleh menginap di Sumpitan Glamping. Ada banyak kemudahan yang menarik disini seperti kolam renang, port barbeku, kafe, dan kawasan unggun api. Lagi menarik sebab bersebelahan dengan sungai yang airnya mengalir deras dan sesuai untuk anda mandi-manda. 

Cerita lebih panjang tentang Sumpitan Glamping akan ditulis dalam artikel berasingan. 
 
Sumpitan Glamping

📌LOKASI : Sumpitan Glamping, Kampung Sumpitan, 33420 Lenggong, Perak
📘FACEBOOK : Sumpitan Glamping

Memang banyak sebenarnya tempat-tempat menarik di daerah Hulu Perak. Masih banyak tempat yang anda boleh terokai dan jelajah. Semoga dengan adanya artikel ini sedikit sebanyak dapat membantu anda untuk merancang pelancongan dalam negara. Oh ya, jangan lupa untuk nantikan artikel berikutnya tentang daerah lain di negeri Perak ya!

#TravelPerakLah #PerakSejahtera #TourismPerak #CutiCutiMalaysia #GayaTravel #AksesMalaysia

Artikel ini dihasilkan dari program #TravelPerakLah Fam Trip pada 19 September sehingga 23 September 2022 anjuran Gaya Travel Magazine & Tourism Perak

10 Comments

The author will not be responsible for any comment left by the readers. Please comment using polite language. Thank you.


  1. Musim durian di Pengkalan Hulu memang meriah

    ReplyDelete
  2. banyak rupanya tempat menarik kat hulu perak ni. bagus alau kita viral2 kan tempat macam boleh juga naikkan ekonomi pelancongan kat malaysia ni. good posting

    ReplyDelete
  3. Banyak lagi tempat menarik di Perak yang belum pernah saya singgah. Kena rancang trip ke tempat-tempat ni dengan famili.

    ReplyDelete
  4. Perak ni best, pergi lah banyak mana, mesti takkan habis explore nanti ada je tempat baru. Nanti nak try tengok rusa tu.

    ReplyDelete
  5. Uish sakan berjalan. Banyak tempat menarik kt Perak. Kalau terjah Perak blog ni mmg akan jadi rujukan la.

    ReplyDelete
  6. Masih banyak rupanya tempat2 menarik di Perak yang belum AM jelajahi.. boleh rujuk entri Aerill untuk ke tmpt2 yang Aerill sarankan.. terima kasih atas perkongsian pengalaman ini ya!!

    ReplyDelete
  7. Best la Travel Perak , banyak lagi attractions for me to explore, boleh start plan for next trip to Perak la !

    ReplyDelete
  8. Wah best! there are so many interesting places in Perak that i have not explore yet

    ReplyDelete
  9. Really nice these places at Pengkalan Hulu, wanna go back for the foods la. Cheers Siennylovesdrawing

    ReplyDelete
  10. Seronok tengok kome melawat kampung teman. Hehehe. Trip ni akak nak pergi. Tapi tulah lama kan. Anak sekolah tak dapat nak explore more. Walaupun kampung ki. Tak pernah bisan melawat daerah sekitarnya. Rindu kampung.

    ReplyDelete

Post a Comment

The author will not be responsible for any comment left by the readers. Please comment using polite language. Thank you.


Post a Comment

Previous Post Next Post