Program Liga Usahawan Wanita Selangor 2023 Sasar Bantu Wanita B40, Ibu Tunggal & Wanita Asnaf

Assalamualaikum dan salam sejahtera


Program Liga Usahawan Wanita Selangor 2023 | Baru-baru ini berpeluang untuk menghadiri satu majlis pelancaran iaitu Program Liga Usahawan Wanita Selangor bertempat di Sunway Resort Hotel, Petaling Jaya, Selangor.

PROGRAM LIGA USAHAWAN WANITA SELANGOR 2023 SASAR BANTU WANITA B40, IBU TUNGGAL DAN WANITA ASNAF


Program Liga Usahawan Wanita Selangor ini dibangunkan oleh Exco Keusahawanan Selangor dengan kerjasama Selangor Youth Community (SAY).

Program Liga Usahawan Wanita Selangor merupakan sebuah program berimpak tinggi dengan matlamat untuk memperkasakan wanita B40 melalui pembinaan kemahiran, ilmu dan sumber yang diperlukan untuk menjana pendapatan yang mampan melalui peluang perniagaan. Program ini berteraskan latihan keusahawanan, sokongan mentor dari industri, sokongan kewangan dari segi pinjaman dan geran, dan juga rangkaian strategik komuniti perniagaan. 

Pada fasa pertama program ini, seramai 100 usahawan wanita diberikan pendedahan melalui seminar mengenai perniagaan dan 20 orang peserta akan dipilih untuk menyertai kursus bimbingan keusahawanan bersama mentor dan diakhir program 10 orang peserta akan diberi peluang untuk membuat pembentangan perniagaan di hadapan Duli Yang Teramat Mulia Tengku Amir Shah Ibni Sultan Sharafuddin Alhaj, Raja Muda Selangor dan bakal dinobatkan sebagai Ikon Usahawan Wanita Selangor. 

Program ini dijadualkan bermula pada Mei sehingga Jun 2023 dan terbuka kepada semua wanita B40, ibu tunggal dan wanita asnaf dari seluruh daerah di Selangor.

Pegawai Penolong Pengarah Unit Usahawan, UPEN Selangor, Intan Nur Aqiela Ismail 

Bermula tahun 2023 ini, kami berhasrat untuk membantu wanita B40 dan golongan asnaf untuk keluar daripada kepompong kemiskinan. Untuk makluman anda semua, kami memberikan dana RM100,000 kepada SAY untuk melaksanakan program perintis ini dan sekiranya hasilnya memberangsangkan mungkin akan dibangunkan program-program selepasnya. 
Jelas Pegawai Penolong Pengarah Unit Usahawan, UPEN Selangor, Intan Nur Aqiela Ismail.

SEMINAR 'USAHAWAN WANITA DALAM PERNIAGAAN: PELUANG DAN CABARAN'


Bersempena dengan majlis pelancaran pada hari ini, pihak penganjur turut memberikan pendedahan kepada 100 usahawan wanita melalui seminar bertajuk “Usahawan Wanita dalam Perniagaan: Peluang dan Cabaran”

Antara panel berpengalaman yang dibawa khas untuk seminar ini ialah Puan Rabiatul Adawiyah yang merupakan seorang usahawan berasaskan makanan dan mendapat latihan di bawah Wanita Berdaya Selangor (WBS), Puan Siti Nabiha merupakan usahawan yang menjalankan perniagaan urutan tradisional dan merupakan 10 peserta terakhir Liga Usahawan OKU Selangor (SAY LEAD), serta Encik Lakshwin Muruga daripada Women of Will (WOW) yang merupakan sebuah organisasi yang memberi latihan pembangunan kepada wanita dari keluarga berpendapatan rendah. 

Antara kriteria pemilihan peserta ialah:
  • Wanita dari keluarga berpendapatan kurang daripada RM3,600, asnaf dan ibu tunggal 
  • Menjalankan perniagaan di negeri Selangor dan menetap di Selangor 

Melihat kepada usaha dan hasrat oleh Exco Keusahawanan Selangor ini untuk membantu wanita B40, ibu tunggal dan wanita asnaf ini pastinya satu perkara yang sangat bagus terutamanya buat rakyat Selangor itu sendiri. Inisiatif sebegini sememangnya diperlukan oleh masyarakat untuk bangkit menambah pendapatan buat keluarga dan sebagainya. Semoga inisiatif sebegini dapat dikekalkan untuk masa hadapan. 

Untuk penyertaan, usahawan boleh mendaftar melalui pautan https://tinyurl.com/LUWS2023. Penyertaan akan ditutup pada 1 Mei 2023. Usahawan yang terpilih akan dimaklumkan dan dihubungi oleh pihak penganjur. 

SEKIAN


0 Comments

The author will not be responsible for any comment left by the readers. Please comment using polite language. Thank you.


Post a Comment

The author will not be responsible for any comment left by the readers. Please comment using polite language. Thank you.


Post a Comment (0)

Previous Post Next Post