Assalamualaikum dan salam sejahtera
Pernah tak kita nampak sesuatu tajuk berita yang mengejutkan lalu terus rasa marah, kecewa atau yakin tanpa baca isi di dalamnya? Fenomena ini makin menjadi kebiasaan hari ini. Ramai orang sekadar membaca tajuk, memberi komen atau berkongsi, tanpa meneliti isi sebenar. Dalam dunia media sosial yang serba laju, budaya “baca separuh” ini semakin normal, walaupun kesannya sangat besar.
TAJUK SENSASI, KLIK MUDAH, KEBENARAN HILANG
Media hari ini berlumba-lumba mencari perhatian. Tajuk yang dramatik, sensasi, atau mengundang emosi digunakan untuk menarik klik. Kadang-kadang tajuk seolah-olah membawa maksud negatif, tetapi bila dibaca keseluruhan artikel, mesej sebenarnya sangat berbeza.
Inilah yang dinamakan clickbait, umpan untuk menarik perhatian pembaca. Ia berkesan dari segi capaian, tetapi sering mengorbankan kebenaran.
Namun begitu, bukan media sahaja yang perlu dipersalahkan. Masyarakat juga mempunyai tanggungjawab besar. Kalau kita sendiri malas membaca, cepat percaya, atau terus menilai dari tajuk semata-mata, kita juga sedang menyumbang kepada budaya maklumat yang cetek. Bacalah, jangan berhenti di tajuk.
AKAR MASALAH : SIKAP & KESELESAAN
Kita hidup dalam zaman serba cepat. Video pendek, berita ringkas, dan status pantas menjadikan ramai lebih selesa dengan informasi yang singkat. Membaca panjang dianggap “membuang masa”. Akibatnya, pemahaman menjadi lemah dan maklumat yang separuh masak tersebar tanpa tapisan.
Dari sinilah muncul fitnah, salah faham, dan pertelingkahan yang tak berkesudahan. Semua bermula kerana satu tajuk yang tidak dibaca habis.
“IQRA” SERUAN MEMBACA DALAM ISLAM
Dalam Islam, wahyu pertama yang diturunkan kepada Nabi Muhammad SAW ialah “Iqra” bacalah.
Seruan ini bukan sekadar ajakan untuk membaca huruf atau perkataan, tetapi membaca dengan kefahaman, renungan dan hikmah. Membaca dengan akal dan hati.
Membaca adalah pintu kepada ilmu, manakala ilmu adalah jalan kepada kebenaran. Maka, apabila umat Islam sendiri malas membaca atau membaca separuh, kita sebenarnya menjauhkan diri daripada nilai yang diajarkan oleh Islam sejak wahyu pertama lagi.
FENOMENA AKHIR ZAMAN
Rasulullah SAW pernah mengingatkan bahawa di akhir zaman, fitnah akan tersebar luas dan orang ramai akan mudah mempercayai berita palsu. Kita sedang melihat tanda-tanda itu berlaku bukan kerana kekurangan sumber maklumat, tetapi kerana sikap kita terhadap maklumat itu sendiri.
Zaman kini bukan kekurangan ilmu, tetapi kekurangan kesungguhan untuk memahami. Semua orang boleh berkongsi maklumat, tetapi tidak semua sanggup menyemak kebenarannya.
TANGGUNGJAWAB BERSAMA
Sudah sampai masanya kita ubah sikap.
Sebelum berkongsi, baca dulu isi.
Sebelum menilai, fahami konteks.
Sebelum percaya, selidik sumber.
Media pula perlu lebih beretika dalam memilih tajuk. Sensasi tidak semestinya perlu mengorbankan integriti. Dan bagi pembaca, jangan biarkan diri diperbodohkan oleh tajuk. Jadilah pembaca yang cerdas dan berfikir.
Membaca bukan sekadar aktiviti ia cerminan siapa kita sebagai manusia berilmu. Dalam dunia yang penuh maklumat dan tipu daya ini, kemampuan membaca dengan faham adalah benteng terakhir menentang fitnah dan kekeliruan.
Jadi, bacalah. Bukan sekadar tajuk, tetapi seluruh kebenaran di sebaliknya.
SEKIAN


The author will not be responsible for any comment left by the readers. Please comment using polite language. Thank you.