Sejarah Penubuhan Universiti Teknologi Mara (UiTM)



Assalamualaikum dan salam sejahtera



Entri kali ini adalah tentang sejarah penubuhan Universiti Teknologi Mara (UiTM). Untuk pengetahun semua, aku merupakan bekas penuntut di UiTM Shah Alam , sejak daripada diploma sehinggalah degree. Banyak kisah suka dan duka ketika aku belajar di UiTM , jadi jom kita baca kisah bagaimana tertubuhnya universiti ini.



Rural Industrial Development (RIDA) mula ditubuhkan pada Ogos 1950. Objektif utama adalah untuk membangunkan kawasan luar bandar secara lebih tersusun dan teratur telah dikenalpasti melalui satu kaedah iaitu melalui skim latihan belia luar bandar khususnya mereka yang mengikuti aliran Inggeris.

Selain itu, penubuhan RIDA juga adalah bertujuan membantu dan melatih rakyat luar bandar yang berpotensi bagi meningkatkan status ekonomi dengan memberi latihan perniagaan kepada mereka.

Dato’ Onn bin Jaafar telah diberi kepercayaan oleh kerajaan Persekutuan sebagai orang pertama menerajui Jawatankuasa Khas RIDA dan menjalankan penyelidikan secara menyeluruh mengenai masa depan dan pembangunan masyarakat luar bandar. Langkah pertama Dato’ Onn ialah dengan mengadakan lawatan ke Ceylon pada awal tahun 1951 untuk mempelajari tatacara rancangan luar bandar yang diamalkan oleh negara tersebut.




Sekembalinya Dato’ Onn dari lawatan tersebut, beliau telah mengemukakan satu kertas laporan kepada ‘Federal Legistive Council‘ yang dinamakan ‘Paper No. 10/1951’. Kandungan kertas tersebut merujuk kepada asas penubuhan dan pembentukan RIDA sebagai sebuah agensi kerajaan yang telah digariskan semasa pentadbiran British di Malaya. Seksyen 5, kertas berkenaan telah menyatakan seperti berikut,

‘In order to be able to utilize the resources of government and to stimulate the interest and obtain the support of the people in the kampongs, it is essential that every effort be made to bring the people closer to the government, and train them to bring their needs before the government through a systematic chanel,initiating from the kampongs and moving progressively to RIDA as the appropriate instrument set up for the purpose‘.

Manakala seksyen 8 (d) menyatakan seperti berikut, ‘training for and encouragement of schemes for social improvement such as home craft, mother craft, hygiene, handicrafts, etc.’ Seksyen 8 (f) pula menyatakan seperti berikut, ‘the training of rural development officers and kampongs leaders‘.

Matlamat penubuhan RIDA juga selaras dengan cadangan menyediakan latihan dan kajian formal secara menyeluruh kepada rakyat luar bandar secara lebih sistematik. Pelaksanaan progaram latihan peringkat awal ialah melatih kakitangan RIDA terlebih dahulu supaya menjadi tenaga mahir untuk menentujayakan matlamat dan halatuju RIDA.

Satu lagi bahagian ialah yang dinamakan Bahagian Latihan Khusus akan turut disediakan bagi mereka yang tidak dapat memenuhi sumbangan langsung ke arah merealisasikan rancanga RIDA dengan cara menawarkan kursus-kursus persediaan untuk keperluan tenaga kerja semasa.

Cadangan dan perancangan yang dikemukan oleh Dato’ Onn untuk mewujudkan latihan formal yang lebih sistematik ini akhirnya membawa kepada tertubuhnya sebuah Dewan Latehan RIDA pada tahun 1956. Pada peringkat awal, Dewan Latehan RIDA ini menawarkan Kursus Persediaan kepada golongan belia dan luar bandar khususnya yang mengikuti aliran Inggeris. Buat pertama kali, Dewan Latehan RIDA telah menawarkan dua kursus iaitu satu kursus jangka panjang untuk kelas persediaan pelajar-pelajar yang akan menduduki peperiksaan ‘London Chamber of Commerce (LCL)’. Manakala satu lagi kursus jangka pendek yang menawarkan kursus selama 18 hari mengenai ‘book keeping and commercial practise’ untuk tujuan perniagaan orang Melayu. satu lagi tambahan kursus ialah untuk melatih pegawai-pegawai RIDA itu sendiri sebagai menyediakan tenaga mahir.

Penubuhan Dewan Latehan RIDA adalah merupakan satu kejayaan besar hasil lawatan pengerusi pertamanya iaitu Dato’ Onn bin Jaafar ke Ceylon (sekarang Sri Lanka) pada tahun 1951. Dalam tahun 1956 juga, sebuah Unit Latihan telah dimulakan secara rasminya yang diketuai oleh Encik Abdul Samad bin Ibrahim. Unit ini telah mewujudkan sebuah Taman Asuhan RIDA di Kuala Lumpur dan Dewan Latehan RIDA di Petaling Jaya.

Dewan Latehan RIDA telah memulakan operasi pada tahun yang sama dan telah diletakkan dibawah pengetua pertamanya iaitu Tuan Syed Alwi bin Syed Sheikh Al- Hadi. Dewan ini telah dibuka secara rasminya pada 14 Februari 1957 oleh Menteri Perdagangan dan Industri iaitu Allahyarham Tun Dr. Ismail bin Dato’ Abdul Rahman. Pada peringkat permulaan, Dewan Latehan RIDA telah menawarkan beberapa kursus asas terutamanya berhubung dengan perniagaan. Diikuti pula beberapa tahun kemudiaannya, beberapa penambahan kursus telah dilakukan dan telah dinaiktarafkan terutamanya dalam tahun 1960.

Tiga kursus baru telah diperkenalkan iaitu Stenography, Secretaryship (ACS) dan Accountancy (Australia Society of Accountants).Dewan Latehan RIDA mula memperkenalkan kursus berbentuk profesional iaitu Pengurusan Awam Perniagaan pada tahun 1962. Peperiksaan bagi kursus ini akan disediakan dan dikendalikan oleh ‘British Institute of Management’ mulai tahun 1964.

Acara Konvokesyen buat pertama kali telah diadakan dan penyampaian sijil kepada kira-kira 50 orang graduan telah disempurnakan oleh Allahyarham Tun Abdul Razak, Timbalan Perdana Menteri Malaysia. Dalam pada itu, sekitar 5-7 Jun 1965, satu persidangan yang dipanggil Kongres Ekonomi Bumiputra telah diadakan di Kuala Lumpur. Sepanjang kongres tersebut diadakan, sejumlah 68 resolusi telah berjaya dihasilkan. Daripada 68 resolusi tersebut, sebanyak 22 resolusi adalah berhubung dengan penilaian semula beberapa peraturan dan objektif RIDA. Hasil daripada perbahasan yang menyeluruh, akhirnya satu keputusan telah dibuat iaitu nama RIDA telah dipersetujui ditukar kepada nama Majlis Amanah Rakyat atau lebih dikenali dengan panggilan MARA. Berikutan penukaran nama tersebut, akhirnya pada Disember 1965, Akta Majlis Amanah Rakyat telah digubal, dibahas dan diluluskan oleh Parlimen Malaysia.

Apabila tertubuhnya organisasi baru, Dewan Latehan RIDA turut ditukar panggilannya kepada Maktab MARA. Lanjutan daripada itu, pada tahun 1966, kerajaan Malaysia telah mengiktiraf ‘British Institute of Management‘ menjadi pemeriksa luar kepada Maktab MARA. Berikutan perkembangan yang berterusan, beberapa langkah kerjasama telah dibuat dengan ‘Ealing Technical College‘ di London sebagai pengiktirafan kursus-kursus kepada yang diajar dan juga untuk tujuan keseragaman Diploma.

Pada 14 Oktober 1967, acara perletakan batu asas telah disempurnakan oleh Tun Abdul Razak di Shah Alam sebagai tanda permulaan kampus baru Maktab MARA di kawasan seluas kira-kira 300 ekar. Pembinaan bangunan baru telah dimulakan pada awal tahun 1968. Sekali lagi pertukaran nama telah dilakukan, dari Maktab MARA kepada Institut Teknologi MARA atau lebih dikenali dengan ITM. Pada pertengahan tahun 1972, kampus induk di Shah Alam dibuka dengan rasminya. Pada akhir tahun 1970-an, ITM telah muncul sebagai sebuah badan persendirian dan tidak lagi diletakkan di bawah kawalan Bahagian Latehan MARA. Ia diletakkan terus di bawah Kementerian Pembangunan Luar Bandar.

Semenjak dari itu, ITM terus membangun dan berjaya muncul sebagai salah sebuah institusi pendidikan tinggi yang utama di negara ini. Dalam bulan Jun 1976, Akta ITM telah diluluskan oleh Parlimen dan selepas itu, ITM telah ditadbir terus di bawah Kementerian Pendidikan. Sebuah Majlis yang lebih berkuasa diwujudkan menggantikan ‘Governing Council‘ sebelum ini. Pada 18 November 1980, Mesyuarat Majlis ITM ke-27 telah diadakan dan satu ketetapan telah dibuat iaitu tarikh penubuhan ITM ialah tahun 1956 mengambil sempena objektif asal penubuhan Dewan Latehan RIDA.

Aku bersama UiTM Symphony Orchestra

Namun demikian, didalam draf cadangan asal penubuhan RIDA pada tahun 1951, telah dinyatakan hasrat untuk mewujudkan program latihan formal secara lebih tersusun. Ini bermakna, penubuhan Dewan Latehan RIDA bukanlah dibina secara mendadak pada tahun 1956, tetapi ianya telah melalui perancangan yang rapi sejak tahun 1951 lagi iaitu seangkatan dengan cadangan penubuhan RIDA.

Akta ITM (pindaan 1996) telah memberi peluang kepada institusi tersebut untuk duduk setanding dengan beberapa institusi pendidikan tinggi di negara ini. Jesteru itu, beberapa perubahan aspek utama ITM telah digubal. Sebagai contonya, Badan Pentadbir dan Penyelaras iaitu Majlis ITM digantikan dengan panggilan Lembaga Pengarah dengan melibatkan sektor swasta secara lebih besar dan menyeluruh. Walaupun demikian, nama Institut Teknologi MARA masih kekal sehingga 26 Ogos 1999.

Akhirnya, satu perjumpaan secara besar-besaran telah diatur yang melibatkan semua pentadbir, pelajar-pelajar dan bekas pelajar telah diadakan di Stadium Malawati, Shah Alam pada 26 Ogos 1999. Pada ketika itu, YAB Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad telah mengumumkan bahawa ITM akan dipanggil Universiti Teknologi MARA (UiTM).

Berikutan dengan pengumuman ini, beberapa bulan kemudian Akta ITM (pindaan 2000) telah diluluskan oleh Dewan Rakyat iaitu pada 25 Februari 2000 dan diikuti pula oleh Dewan Negara pada 8 Mei 2000. Nama UiTM ini berkuatkuasa pada tarikh pengumuman yang dibuat oleh Perdana Menteri. Menurut pindaan akta baru ini, terdapat seksyen yang menyatakan bahawa Yang di-Pertuan Agong Malaysia secara automatik dilantik menjadi Canselor Universiti Teknologi MARA dan juga Pro-Canselor turut diletakkan di bawah baginda.

Jawatan Rektor telah diubah menjadi Naib Canselor. Kebanyakan pindaan-pindaan terhadap sub seksyen akta institusi ini telah dilakukan sejak tahun 1996 lagi. Akta tahun 2000 hanyalah untuk melabelkan nama dari institut kepada Universiti. Setelah hampir setengah abad berlalu, institusi ini berjaya melalui pelbagai cabaran serta beberapa perubahan dan pertukaran nama namun matlamat penubuhannya masih kekal ke hari ini iaitu untuk mempertingkatkan dan menentujamin keutuhan status sosio-ekonomi bumiputra.

Perubahan dan pertukaran nama iaitu bermula dari Dewan Latehan RIDA, Maktab MARA, Institut Teknologi MARA dan akhinya Universiti Teknologi MARA, namun objektif dan matlamat penubuhannya masih kekal ke hari ini iaitu untuk mempertingkat dan menentujamin keutuhan status sosioekonomi bumiputera.

Kini UiTM memperluaskan cawangan-cawangannya ke seluruh negeri di Malaysia. Dalam masa yang sama, jumlah kampus akan ditambah dan dibangunkan dalam masa yang terdekat. Matlamat asas pembinaan kampus cawangan ini adalah bertujuan memudahkan pelajar bumiputera di seluruh negara untuk sama-sama merebut peluang menikmati tahap pendidikan tinggi di negara ini. Di samping itu juga, bagi mereka yang ingin melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi boleh meneruskan di UiTM sama ada melalui pendidikan separuh masa atau sambilan tanpa perlu mengambil perjalanan yang jauh kerana pembinaan kampus cawangan berdekatan dengan tempat tinggal dan tempat kerja.

UiTM dulu dan kini, usia yang menjangkau lebih 50 tahun sudah cukup matang untuk terus unggul dan mampu melahirkan penuntut yang berkualiti serta dapat bersaing di pasaran apabila tamat pengajian. Menyedari hakikat tersebut, Lembaga Pengarah UiTM telah dipelbagaikan termasuk kewangan, akademik dan pentadbiran demi untuk memastikan kesinambungan strategi dan keputusan polisi dapat dikekalkan. Jesteru itu, diharapkan UiTM tetap mampu mempertahankan objektif asal penubuhannya dan dapat mengekalkan kemantapan, kejayaan serta kecemerlangan sebagai sebuah institusi pendidikan yang dapat melahirkan graduan berkualiti demi untuk memenuhi keperluan sebuah negara seperti Malaysia yang mula memasuki era globalisasi.

Sumber : Armada UiTM

Sekian

0 Comments

The author will not be responsible for any comment left by the readers. Please comment using polite language. Thank you.


Post a Comment

The author will not be responsible for any comment left by the readers. Please comment using polite language. Thank you.


Post a Comment (0)

Previous Post Next Post