Kisah Seram Malam Raya



Assalamualaikum dan salam sejahtera




Kampung mak saya terletak di salah sebuah daerah di Sarawak (pesisiran pantai) dan majoriti penduduk di kampung ini adalah dari kaum Melanau. Sejak 4 tahun kebelakangan ini, keluarga saya menyambut Hari Raya Aidilfitri di kampung mak. Jika sebelum ini (dari kecik lagi) kami sekeluarga selalu nya akan beraya di kampung ayah di Melaka. Sejak pemergian nenek saya ke rahmatullah (ibu kepada ayah), Hari Raya memang kami akan balik ke kampung mak memandangkan atuk saya masih ada.

Alkisahnya, pada malam raya seperti biasa keadaan di kampung memang meriah. Bergema takbir raya dari masjid yang letaknya hanya bersebelahan dengan rumah atuk. Di rumah atuk pada masa itu hanya ada keluarga saya (5 orang termasuk saya), seorang pakcik saya, seorang makcik saya dan atuk. Memandangkan mak saya tak mahu kelam kabut memasak esok hari (setiap kali raya, memang mak saya yg jadi tukang masak), beliau bercadang nak memasak pada malam itu juga dengan bantuan Mak Ngah saya. Mak Ngah saya pula tinggal tidaklah berapa jauh dari rumah atuk. Tapi kalau balik berjalan kaki sorang-sorang memang terasa seram jugaklah.

Tepat jam 11malam mak dan Mak Ngah saya pun mula memasak kari ayam dan rendang daging. Atuk dan makcik saya lagi sorang dah masuk tidur awal. Saya dan adik-adik juga ayah masih berjaga lagi. Sesekali saya jenguk juga ke dapur dan tolong sikit-sikit. Persekitaran kampung pada masa tu dah sunyi. Sedang saya dan adik saya (Angah) memasukkan duit raya dalam sampul, tiba-tiba terdengar mak saya menjerit dari dapur. Saya dan Angah berpandangan sesama sendiri sebelum saya bertempik “Mak!” dan secepat kilat kami adik beradik berlari lintang pukang ke dapur mendapatkan mak saya.

Sesampainya di dapur, saya dapati lantai dapur habis bertumpahan dengan kuah rendang daging dengan daging2 sekali. Saya bertanya pada mak apa yg berlaku sambil mengutip daging2 yang bertaburan. Mak menjelaskan, selepas memindahkan rendang dari kawah besar ke periuk, mak meletakkan periuk di atas dapur dgn api yg sederhana. Bila mak berpusing saja ke belakang tiba-tiba periuk yang berisi rendang tadi seolah2 dihempas ke lantai menyebabkan separuh dari rendang tumpah ke lantai. Nak katakan periuk tergelincir dari dapur mesti keadaan periuk itu akan terlungkup, ini tidak.. periuk tu masih elok terletak seperti di atas dapur tadi, cuma bezanya sekarang ia di atas lantai. Memang seperti seseorang yang hempaskan. Saya menenangkan mak yang dah kelam kabut memikirkan rendang dagingnya yg tertumpah, lagi2 bahan nak masak balik rendang tu cuma cukup2 sahaja. Selepas beberapa ketika keadaan mula reda. Mak dan Mak ngah menyambung semula kerja di dapur sementara saya dan adik2 beredar semula ke ruang tamu.

Jam terus berdetik dan tepat pukul 1 pagi. Kami masih tak tidur lagi. Mak dan mak ngah sudah siap memasak. Mak ngah minta tolong kami hantarkan dia balik ke rumah. Saya pun menyuruh adik bongsu saya hantarkan mak ngah balik. Adik saya turutkan sahaja. Atuk pula pada masa tu terbangun dari tidur. Elok lepas adik saya menghidupkan enjin kereta, tiba-tiba terdengar satu bunyi asing. Bunyi seakan2 tv/radio yg siarannya terganggu tu. Kami ingatkan bunyi tu datang dari kereta yang adik saya hidupkan. Lama saya kami amati bunyi tersebut. “Eh, kenapa bunyi kereta macam tu?” soal saya. Bila saya jenguk ke bawah, saya lihat kereta yang diletakkan berhadapan masjid sudah tidak kelihatan, bermaksud adik saya sudah bergerak hantarkn mak ngah balik. Mak, pakcik dan atuk saya yang juga terdengar bunyi itu terus bergegas ke ruang tamu. Masing-masing tertanya dari mana bunyi yang kuat itu datang. Memang bunyi tu sangat kuat. Sudahlah persekitaran kampung sunyi sangat malam tu.

Setelah diteliti, rupanya bunyi tersebut datangnya dari pembesar suara di masjid yang letaknya bersebelahan dengan rumah atuk. Kami berasa sangat pelik dan tertanya siapa pula yang main-main dengan PA system dalam masjid? Bunyi tu makin kuat pulak seolah-olah ada orang yang mengawal volume PA system yang terletak dalam masjid. Atuk bukak pintu rumah dan bergegas turun ke masjid diikuti pakcik, Angah dan saya sendiri. Dari luar saya nampak lampu masjid terbuka, padahal selalunya selepas isyak lampu masjid semua akan ditutup oleh ajk masjid yang bertugas. Atuk, pakcik dan Angah masuk ke dalam masjid sementara saya tunggu di luar memandangkan saya tak menutup aurat, rasa segan nak masuk. Selepas beberapa ketika mereka bertiga keluar.

“Suis kipas dan lampu semua terbukak. Kipas siling dan stand fan semua bukak full. Speaker dalam masjid yang sebabkan bunyi bising tadi memang dibukak sampai full volume” bisik pakcik saya pada saya. “Siapa punya kerja tu?” soal saya. Pakcik saya cuma angkat bahu. Kami naik ke rumah semula. Atuk cuba menyedapkan hati dengan mengatakan bahawa ajk bertugas mungkin lupa tutup semua suis dalam masjid.

PERSOALANNYA : KENAPA MESTI BENDA TU BERBUNYI PUKUL 1 PAGI??? Kalaulah betul ajk bertugas terlupa nak tutup suis, kenapa tak awal-awal lagi benda tu berbunyi?? Itu lah persoalan yang ligat bermain di minda kami semua serumah. Pakcik pula bercerita memang masjid di sebelah rumah atuk tu pelik sikit. Mungkin kejadian yang berlaku tu merupakan petunjuk kepada sesuatu;mungkin musibah atau pun berita yang kurang baik. Malam itu, kerana teringat ingatkan peristiwa tersebut saya tidur bersama mak dan adik2 di ruang tamu. Selalunya, kalau balik kampung saya memang akan tidur bersama makcik saya dalam bilik. Maklumlah, perempuan. Tak elok tidur bergelimpangan di ruang tamu. Tapi malam tu saya tak peduli. Lagi2 bilik tidur makcik saya betul2 bersebelahan dengan masjid. Memang tak la saya nak tidur dalam bilik!

Keesokan harinya, mak saya bertanya kepada makcik saya tentang kejadian malam tadi. Makcik saya yang memang “orang masjid” menafikan yang suis di masjid semalam lupa ditutup, sebab makcik saya antara orang yg terakhir keluar dari masjid. Memang menjadi rutin untuk menutup semua suis dalam masjid selepas selesai menggunakannya. Lagilah kami percaya peristiwa malam tadi itu ada unsur mistik. Peristiwa itu berlalu begitu saja sebab masing2 sedang bergembira di hari raya. Sehinggalah pada petang itu, kami terdengar pengumuman dari masjid menyatakan berlaku satu kematian di kampung sebelah. Mungkin benar kata pakcik saya, kejadian yang berlaku pada malam raya itu menandakan sesuatu perkhabaran yang kurang baik.

Sekian.

Sumber : Fikshen Shasha

2 Comments

The author will not be responsible for any comment left by the readers. Please comment using polite language. Thank you.


Post a Comment

The author will not be responsible for any comment left by the readers. Please comment using polite language. Thank you.


Post a Comment

Previous Post Next Post