Header Ads

Assalamualaikum dan salam sejahtera


Psoriasis adalah penyakit kulit yang kronik di mana kulit penghidap menebal lebih cepat dari kulit yang normal. Penyakit ini tidak berjangkit. Kawasan yang biasa dihidapi adalah kulit kepala, lutut, siku lengan dan kaki tetapi boleh juga melibatkan bahagian badan yang lain termasuk kuku.

Aku tak malu untuk mengaku bahawa aku merupakan salah seorang penghidap penyakit ini sejak tahun 2011. Sudah lama sebenarnya dan aku sudah terima kenyataan bahawa penyakit ini belum ditemui penawarnya. Tetapi ada beberapa langkah untuk mengawal daripada penyakit ini makin mengganas. In shaa Allah semoga artikel kali ini bermanfaat untuk semua.✌😎

5 LANGKAH BERKESAN MELAWAN PENYAKIT KULIT PRORIASIS

Penyakit kulit psoriasis adalah sejenis penyakit auto-imun yang menjejaskan kulit anda serta tidak mempunyai penawarnya. Namun, dengan melakukan beberapa perubahan rutin harian, ia pasti boleh membantu pesakit psoriasis untuk mengharunginya dengan lebih baik. 

Di sini ada beberapa tip gaya hidup yang sesuai dengan pesakit psoriasis agar dapat menjalani aktiviti harian dengan lebih selesa. 


👉1. PENGURUSAN STRESS MELALUI AKTIVITI MEDITASI 


Tahukah anda, ada perkaitan antara stres dan juga psoriasis. Stres boleh menyebabkan keradangan dalam tubuh lalu memberi kesan kepada keadaan kulit. Bagi meredakan stres yang dialami, anda boleh melakukan aktiviti meditasi. Ini merupakan antara kaedah yang paling berkesan dan murah untuk melegakan stres.

Ada juga kajian yang menyatakan bermeditasi dalam tempoh waktu tertentu setiap hari boleh melegakan diri anda daripada stres dan mengurangkan keresahan. Sebagai contoh, satu kajian yang diterbitkan dalam Frontiers in Immunology menyatakan, aktiviti meditasi seperti yoga dan tai chi juga berkemampuan mengubah DNA seseorang. 

Dalam kajian itu, individu yang sentiasa melakukan senaman melibatkan minda dan juga tubuh, akan menghasilkan jumlah cytokin yang lebih rendah. Cytokin adalah sejenis protein yang menyebabkan keradangan pada tubuh.

Apabila tahap cytokin yang dihasilkan rendah, maka risiko untuk mendapat penyakit kulit psoriasis juga adalah rendah. Bukan itu sahaja, risiko mendapat kanser dan kemurungan akan turut berkurangan.

👉2. UBAH TABIAT PEMAKANAN HARIAN ANDA


Percaya atau tidak, sebarang perubahan kecil dalam tabiat pemakanan anda akan memberi kesan positif terhadap keadaan penyakit kulit psoriasis yang sedang anda alami. Perubahan tabiat pemakanan bukan sahaja boleh mengatasi masalah penyakit ini, malah membantu menghilangkan simptom-simptom yang berkaitan.

Perbanyakkan pengambilan sayur-sayuran, bijirin penuh, dan elakkan makanan diproses seperti sosej. Bagi mengelak keradangan, anda dinasihatkan untuk menghindari pengambilan makanan yang mengandungi lemak tepu, lemak trans dan tinggi kandungan garam.

Anda juga boleh mengamalkan diet pemakanan yang memberi fokus kepada penurunan berat badan. Ini kerana ia boleh membantu dalam mengawal penyakit kulit psoriasis. Selain itu, obesiti juga dikaitkan dengan peningkatan risiko penyakit kulit psoriasis dan juga psoriatic arthritis.

Bagi membantu anda mengurangkan berat badan, anda perlu memakan lebih banyak ikan, daging tanpa lemak, buah-buahan, sayur-sayuran, dan juga produk tenusu rendah lemak atau tanpa lemak.

Lakukan juga rutin senaman untuk memastikan kecergasan tubuh. Ia bukan sahaja membantu menghilangkan berat badan malah memudahkan kehidupan walaupun anda menghidap psoriasis.


👉3. KERAP LAKUKAN SENAMAN


Antara cara lain yang terbaik dalam mengurangkan kadar stres adalah melalui senaman aerobik yang dilakukan dengan kerap. Aktiviti menari atau yoga terbukti dapat memberikan kesan positif terhadap kesihatan mental dan tubuh manusia. 

Bagi pesakit psoriasis, aktiviti senaman boleh menjadi satu cabaran memandangkan keadaan kulit yang boleh membuatkan anda berasa tidak selesa dan tidak yakin apabila berkunjung ke gimnasium. Tetapi untuk meningkatkan motivasi diri, anda perlu tahu senaman ini mampu memperbaiki mood, merendahkan tahap stres selain mengawal berat badan anda. 

Selain itu, senaman juga mampu mengurangkan risiko untuk mendapat penyakit kulit psoriasis seperti penyakit Crohn, hati, buah pinggang dan juga jantung.

Sekiranya tidak mahu ke gimnasium, lakukan senaman dengan cara lain seperti berjoging di taman, berbasikal atau mengikuti senaman melalui tontonan YouTube di rumah sahaja.

👉4. PILIH PRODUK PENJAGAAN KULIT DAN BADAN YANG TEPAT 


Ada sesetengah produk penjagaan kulit yang boleh memburukkan lagi penyakit kulit psoriasis yang sedang anda alami, termasuklah deodoran dan sabun mandian.

Antara jenis produk yang perlu dielakkan oleh pesakit psoriasis ialah produk yang mengandungi bahan pewangi, alkohol, pewarna dan bahan-bahan kimia tertentu kerana ia boleh membuatkan kulit menjadi lebih kering. Selain itu, ia juga boleh menyebabkan rasa terbakar dan kemerahan pada kulit.

Pesakit psoriasis disarankan untuk menggunakan produk mandian berasaskan bahan semula jadi seperti garam Epsom atau bahan pelembap, yang boleh membantu mengatasi masalah kulit bersisik dan gatal-gatal.

Jika anda menggunakan alat solek, pastikan produk yang digunakan dilabel sebagai “non-comedogenic” atau “non-acnegenic”.

“Non-comedogenic” bermaksud produk yang tidak menyebabkan penyumbatan pori-pori apabila digunakan. “Non-acnegenic” pula produk yang dirumus untuk tidak menyebabkan jerawat bagi mereka yang mudah mendapat jerawat. 

Untuk pesakit psoriasis, pilihlah produk yang tidak mengandungi kandungan alkohol dan tanpa pewangi kerana ia tidak akan menyebabkan iritasi pada kulit anda.


👉5. HENTIKAN TABIAT MEROKOK


Pesakit psoriasis alah kepada kandungan nikotin yang terdapat dalam rokok. Nikotin bertindak mengubah sistem imun, meningkatkan risiko serangan pada tisu normal dan bukannya benda asing dalam tubuh.

Selain itu, kandungan lain yang terdapat di dalam rokok juga telah dikatakan menjadi penyebab kepada sejenis kerosakan sel yang disebut sebagai kerosakan oksidatif. Kerosakan oksidatif ini boleh memburukkan lagi penyakit kulit psoriasis.

Kesan pertama yang berlaku apabila pesakit psoriasis berhenti merokok ialah, ia akan meningkatkan respons tubuh badan individu tersebut terhadap ubat-ubatan psoriasis.

Kedua, ia akan mengurangkan risiko pesakit psoriasis untuk mendapat penyakit lain seperti penyakit Crohn.

KESIMPULAN

Psoriasis mungkin mengambil tempoh masa yang panjang untuk sembuh, tetapi ia juga boleh sembuh pada bila-bila masa jika penghidap penyakit kulit ini mengikuti tip yang disediakan.  Dengan ini, penghidap psoriasis dapat menjalani hidup dengan lebih selesa. 

Ada mereka yang sudah sembuh tetapi beberapa ketika kemudian, penyakit ini menyerang kembali. Apa yang paling penting adalah amalkan langkah-langkah yang tersenarai. Mungkin penyembuhan akan dapat dicapai secara perlahan-lahan.

SEKIAN



Sumber : Penyakit Psoriasis | Google Image

2 Comments

The author will not be responsible for any comment left by the readers. Please comment using polite language. Thank you.


  1. Assalamualaikum. Terima kasih sudi share ni.. memang mencabar, dan perlu penjagaan yang rapi bila ada penyakit mcm ni. Insan yang terpilih je mampu tangani. Saya doakan kawan2 saya cepat2 sembuh. tambahan pulak banyak dah produk2 yang dijual utk tujuan ini.

    ReplyDelete

Post a comment

The author will not be responsible for any comment left by the readers. Please comment using polite language. Thank you.


Previous Post Next Post