Kisah Seram : Diganggu Wanita Misteri Ketika Kerja Shift Malam

Assalamualaikum dan salam sejahtera

Kisah Seram : Diganggu Wanita Misteri Ketika Kerja Shift Malam

Apa khabar rakan-rakan sekalian? Alhamdulillah, kembali lagi dalam rancangan "Kisah Seram Apa Minggu Ini?".  Maaf kerana sepatutnya sudah ada banyak cerita untuk tahun 2021 ini, tapi tak mengapa in shaa Allah lepas ini akan ada banyak lagi kisah-kisah menarik untuk anda. Baiklah, kisah kali ini adalah tentang seorang lelaki yang diganggu ketika sedang bertugas. Pasti anda pun mempunyai pengalaman diganggu ketika kerja shift malam kan? Tanpa melengahkan masa, mari kita terus ke kisah seram ini.

KISAH SERAM : DIGANGGU WANITA MISTERI KETIKA KERJA SHIFT MALAM


Ini adalah salah satu dari pengalaman menakutkan yang melekat di dalam otak saya. Kisah ini berlaku di tempat dimana saya menjalankan tugas sebagai anggota keselamatan. Kalau tak silap saya, lebih kurang 6 bulan lepas ia terjadi. Pada malam rabu tersebut, saya bersama dua lagi anggota bertugas shif malam. Pada malam itu, saya telah ditugaskan untuk menutup lampu tandas bangunan dari tingkat atas hingga ke tingkat 8. Dalam hati mula terasa lain sangat, jantung degup laju. Saya tahu jika saya pergi untuk tutup lampu tandas, pasti saya akan jumpa sesuatu. Kalau anda semua ingin tahu, bangunan tempat saya kerja ini memang agak keras. Kebanyakan orang yang kerja di situ ada bercerita tentang ternampak sesuatu yang aneh, terjumpa atau diganggu "entiti", lagi lagi pada waktu malam.

Lebih kurang jam 11 malam, rakan setugas saya menegur saya "Encik A.J, awak tidak pergi tutup lampu tandas ke? Atau awak nak pergi berdua dengan saya?". Pakcik itu berhenti bercakap dan menunggu jawapan dari saya. Dalam hati terasa lega sangat sebab ada teman nak pergi tutup lampu. Tak lah saya takut sangat. Tiba-tiba seorang lagi rakan setugas ada kecemasan kena balik rumah masa itu juga. Terus saya beritahu pada pakcik tadi, "Takpe laa cik. Saya pergi sorang je..Cik tolong 'cover' command room ni". Dan saya pun terus beredar dari bilik kawalan tersebut menuju ke lif untuk naik ke tingkat 28. Saya pun meneruskan tugasan yang telah diberi iaitu tutup lampu tandas. Bermula dari aras tersebut, saya berjalan turun melalui tangga kecemasan sebab tandas berada di kiri dan kanan setiap aras. Tangga adalah cara yang paling cepat. Satu demi satu tingkat saya jelajah dan sampai sudah aras 26,tandas wanita. Semasa saya hendak buka pintu untuk masuk ke aras tersebut, saya dapat rasakan seperti ada tangan memegang bahu saya. Secara tak langsung, perasaan untuk melarikan diri membuak buak datang tapi saya kuatkan semangat.

Saya teruskan langkahan saya masuk ke tandas wanita itu untuk menutup lampu. Sekali lagi saya diuji, terdengar sangat jelas. Suara seorang wanita sedang sayu menangis. Seperti dalam kesakitan. Saya seolah olah mati langkah di hadapan pintu tandas tersebut. Suara yang mendayu itu seperti sangat jauh tetapi macam makin jelas seperti ada di belakang saya. Bila saya hendak melangkah, peluh sebesar putik jagung mula membasahi dahi, muka, leher saya. Suara saya tidak boleh keluar dan saya cuba menggunakan set radio walkie yang dibawa tetapi suara saya langsung tiada! Saya terus baca ayat ayat suci AL-QURAN yang saya ingat. Walaupun bacaan di dalam hati, syukurlah, suara yang sayu itu hilang secara tiba-tiba. Saya tidak menunggu lama. Saya berlari menuju kearah lif. Kerja saya untuk tutup lampu tandas telahpun saya lupakan. Matlamat saya pada waktu itu hanya hendak sampai ke pusat kawalan di bawah secepat yang boleh. Saya tekan butang lif seperti orang hilang akal!

Kisah Seram : Diganggu Wanita Misteri Ketika Kerja Shift Malam

Akhirnya lif nombor 10 sampai dan saya terus masuk ke dalam lif tersebut dan tekan butang 1. Saya sangat lega dapat juga saya turun ke bawah. Dalam hati saya,"Lepas ni, memang takkan lah aku nak naik sorang-sorang lagi kat bangunan ni time malam".  Sedang saya mengesat peluh di muka dengan sapu tangan, saya nampak pada butang nombor lif, butang nombor 15 menyala lampu nya. Dalam hati saya dilanda ketakutan, tingkat 15 tersebut memang sudah lama tiada penghuni. Saya cuba tekan butang lain, tetapi tetap nombor 15 yang menyala. Saya memencilkan diri saya di satu sudut dalam lif. Hati saya macam hendak pecah rasa seram sangat. Akhirnya, lif itu berhenti di aras 15. Pintu lif terbuka dan saya punya darah seperti terhenti di seluruh badan. Satu entiti berupa seorang wanita berdiri dihadapan pintu lif dengan rambutnya yang mencecah lantai. Kain bajunya semua putih tetapi terdapat banyak kesan darah dan tanah merah, kukunya tajam dan panjang. Entiti itu berdiri diam tanpa bergerak seinci pun. Bau bunga di kubur kuat menguasai suasana di aras tersebut. Saya langsung diam hilang kata kata. Terpaku, seram, takut, terkejut. Lebih kurang dalam seminit, entiti yang berdiri dihadapan lif itu hilang seperti ditiup angin, macam kabus, barulah pintu lif tertutup dan turun ke bawah.

Kisah Seram : Diganggu Wanita Misteri Ketika Kerja Shift Malam

Apabila saya sampai di aras 1, saya macam orang bingung. Terbayang-bayang apa yang saya nampak depan mata saya tadi. Saya jalan menuju ke pusat kawalan dengan langkah yang sangat lemah. Masuk ke dalam dan duduk di hadapan rakan setugas saya. Pakcik itu seolah-olah tahu ada sesuatu telah berlaku pada saya. Dia terus cakap pada saya,"J..awak nampak lain lah..tak sihat ke? Muka awak macam takde darah. Awak pergilah rehat ya. Takpe malam ni pakcik buat semuanya." Dan saya tidak berkata sepatah pun, saya terus bangun, menuju ke bilik rehat saya. Sampai di bilik rehat, saya terus rebahkan badan di sofa, saya pengsan. 8jam kemudian baru sedar, itupun sebab orang pagi kejutkan saya. Saya minta tolong kawan hantar saya ke rumah sebab saya memang tak larat hendak balik sendiri dan kawan saya pun hantar saya pulang.

4 hari saya terlantar di rumah. Demam teruk. Malam saya teringat-ingat dekat makhluk yang saya nampak tu. Kalau semangat tak kuat, boleh jadi gila agaknya. Mujurlah abang ipar saya pandai buat air penawar. Saya tak tahu dia buat macam mana tetapi saya beransur pulih dengan air yang telah dibacakan ayat ayat suci itu. Sejak dari peritiwa itu, saya serik hendak kerja waktu malam.Saya minta untuk ditukarkan kerja hari siang dan peristiwa itu menjadi rahsia dalam diri saya sampai lah sekarang. 2 hari selepas kejadian yang menimpa saya, kawan saya pula demam. Dia cerita kat saya ada seorang wanita datang ke bilik kawalan pukul 1 pagi. Bila dia buka pintu, wanita tersebut terbang naik keatas. Saya tidak ada jawapan untuk apa yang saya ceritakan pada anda ini.. Cuma harapan saya, harap anda tidak mengalami perkara yang sama macam saya alami.

P/S: Untuk pengetahuan anda, di bangunan tempat saya kerja ni, semasa dalam proses hendak siap, satu keluarga telah menjadi korban akibat ditimbus hidup-hidup dengan bancuhan simen di aras paling bawah bangunan ini iaitu LG3. Sampai sekarang, masih banyak berlaku kejadian misteri di dalam ataupun disekitar bangunan ini kerana dikatakan, mayat sekeluarga tersebut tidak dapat dikeluarkan.jadi kontraktor mengambil keputusan untuk teruskan kerja sampailah siap 30 tingkat. 

SEKIAN

Sumber : Kisah Seram

1 comment:

The author will not be responsible for any comment left by the readers. Please comment using polite language. Thank you.


Powered by Blogger.