Vision hidup menyamar sebagai manusia di sebuah pub tradisional di Edinburgh, sambil berunding dengan personaliti AI Tony Stark yang tertanam dalam fikirannya (Mindspace) dan mengurung Ultron di situ. Ketenangannya hancur apabila Paladin dan pasukan upahannya menyerang pub itu atas arahan seorang klien misteri, lalu Vision terpaksa melarikan diri. Dia bertemu Thomas Shepherd, remaja penyangak yang sebenarnya Tommy Maximoff, anaknya bersama Wanda. J.A.R.V.I.S. mengorbankan dirinya untuk menyelamatkan Vision daripada Paladin. Kemudian muncul Jocasta, yang menyamar sebagai pembunuh bersiri "Butcherbird Killer" dan memburu pengasas syarikat Markridge Biotech demi mendapatkan biopenanda yang membuka peti simpanan nanobot ciptaannya. Ultron memperdaya Vision dan membawa Tommy pergi, manakala Vision, Lisa dan AI yang lain mengejar mereka hingga ke Madripoor. Di sana, Ultron dan Jocasta mula membentuk perasaan antara satu sama lain, dan Vision berterus terang kepada Tommy tentang kebenaran WandaVision serta ingatannya.
Menjelang akhir, Vision menerima ingatannya sendiri dan mengakui Tommy sebagai anaknya. Klien yang memburunya akhirnya didedahkan sebagai Virgil Horton, cucu Phineas Horton dan suami Jo Carrington, yang memulihkan Vision dan mencipta Jocasta supaya dapat memindahkan mindanya ke dalam badan Vision. Virgil memusnahkan Jocasta, tetapi nanobotnya bergabung dengan Ultron sehingga dia mendapat badan baharu, lalu Ultron membunuh Virgil dan cuba menghapuskan manusia. Vision memerangkap Ultron dalam sebuah sitkom dan memujuknya berhenti dengan berbual tentang kesedihan. Ultron memusnahkan nanobot itu, menyimpan sebahagiannya untuk dirinya, lalu pergi. Billy tiba dan membantu Tommy menghidupkan semula Vision, yang kemudian meninggalkan Mindspace bersama AI yang lain. Dalam dua adegan pertengahan kredit, Ultron didapati masih menyimpan pemacu data Jocasta, dan seorang figura berhud membangkitkan Wanda di Mount Wundagore untuk merampas kuasanya.
ULASAN SIRI VISIONQUEST (2026)
Selepas WandaVision (2021) dan Agatha All Along (2024), ramai peminat MCU tertanya-tanya apakah kesudahan kisah Vision dalam siri VisionQuest (2026). Ramai juga yang sukar menjangka arah ceritanya.
Apa yang diketahui hanyalah pada penghujung WandaVision, White Vision terbang pergi begitu sahaja, manakala dalam Agatha All Along, Billy dan Agatha mencari Tommy. Akhirnya, pada 10 November 2026, tamatlah tayangan kesemua lapan episod VisionQuest. Jadi berikut ialah ulasan dan pandangan aku terhadap siri ini.
JALAN CERITA : Siri ini membawa jalan cerita yang unik, iaitu seorang synthezoid yang mengalami krisis identiti dan tidak mengenali dirinya sendiri. Dalam perjalanan itu, Vision dibantu oleh rakan-rakan AI dalam fikirannya, termasuk Ultron, salah satu villain utama dalam MCU terutamanya dalam filem Avengers: Age of Ultron (2015).
Pada setiap episod, penonton dibawa melihat bagaimana Vision cuba mengenali dirinya, dalam masa yang sama membantu seorang remaja lelaki yang percaya Vision ialah ayahnya. Di sebalik semua itu, ada seorang klien misteri yang mengupah Paladin untuk membawa Vision kepadanya.
Ceritanya agak kompleks. Ia masih mengekalkan tema adiwira, tetapi turut membawa tema kekeluargaan, iaitu hubungan ayah dan anak antara Vision dan Tommy, serta Vision dan Ultron.
Walaupun ini siri lapan episod, aku rasa ia lebih seperti sebuah filem yang dipecahkan kepada lapan bahagian, melihat kepada kualiti dan cara ceritanya digarap. Setiap episod berdurasi antara 48 hingga 72 minit, jadi ia bukan siri yang ringan.
LAKONAN : Pujian patut diberikan kepada Paul Bettany. Aku rasa beliau mempamerkan lakonan pada tahap tertinggi, terutamanya dalam episod 7, apabila beliau membawakan beberapa watak sekali gus, iaitu Vision, J.I.M. dan Phineas Horton, dan semuanya dipersembahkan dengan cukup baik.
Pujian juga patut diberikan kepada James Spader. Beliau seorang pelakon yang berwibawa, dan aku cukup suka bila beliau melontarkan dialog kerana kelihatan megah dan bergaya. Pelakon-pelakon lain juga memberikan lakonan yang baik, seperti Ruaridh Mollica sebagai Tommy, Todd Stashwick sebagai Paladin, Lauren Morais sebagai Lisa, T'Nia Miller sebagai Jocasta, Emily Hampshire sebagai E.D.I.T.H., Orla Brady sebagai F.R.I.D.A.Y. dan James D'Arcy sebagai J.A.R.V.I.S.
SINEMATOGRAFI : Sinematografi siri ini cantik dan bagus. Dalam setiap babak, aku dapat lihat bagaimana warna-warna lampu disusun supaya babak kelihatan lebih menarik. Setiap set juga dihasilkan dengan teliti.
Kalau disuruh pilih babak yang menarik, ada banyak sebenarnya. Antara yang aku suka ialah episod 8, apabila beberapa episod sitcom dihasilkan. Agak lucu kerana kebiasaannya pada penghujung siri atau di third act akan ada pertarungan besar antara hero dan villain, tetapi di sini, Vision memerangkap Ultron dalam sebuah sitcom.
VFX / CGI : Siri ini tentunya tidak mempunyai bajet sebesar filem, tetapi aku tetap kagum dengan kesan khasnya. Untuk siri lapan episod yang hampir semuanya berdurasi sejam, mutu visualnya sangat memuaskan. Kesan visualnya dihasilkan oleh beberapa studio seperti Anibrain, Base FX, Cantina Creative, Dark Red Studios, Raynault VFX dan SSVFX, di bawah penyelia VFX produksi John Haley.
artofvfx
Kesan khas pada watak Ultron dan Jocasta kelihatan berkualiti. Aku suka bagaimana Ultron dipaparkan dalam dua bentuk, iaitu sebagai avatar manusia di dalam Mindspace dan sebagai badan nanobot yang menggerunkan pada episod akhir. Perubahan antara dua bentuk itu terasa meyakinkan dan menaikkan lagi ancaman watak ini. J.I.M. juga menarik perhatian aku, kerana babak dia terbakar kelihatan marak dan meyakinkan.
Selain CGI, aku perasan banyak juga unsur praktikal dalam siri ini. Set, kostum dan prop kelihatan nyata dan bukan sekadar bergantung pada skrin hijau, dan beberapa babak aksi juga terasa dilakukan secara fizikal. Gabungan kesan praktikal dan CGI ini membuatkan dunia dalam siri ini terasa lebih hidup dan tidak kelihatan terlalu “digital”. Ini juga satu sebab mengapa aksinya, terutamanya babak di Madripoor, terasa lebih berimpak.
Yang menarik, siri ini tidak sekadar menayangkan kesan khas untuk menunjuk-nunjuk. Kesannya digunakan untuk menyokong cerita dan emosi, bukan untuk menenggelamkannya.
MID & POST CREDIT SCENE : Antara yang menjadi tumpuan selepas siri ini tamat ialah bahagian penutupnya. Ada dua babak tambahan. Pertama, Ultron memegang pemacu data Jocasta, yang menunjukkan kemungkinan besar dia akan cuba menghidupkan semula Jocasta, dan ini boleh menjadi permulaan kepada cerita baharu.
Kedua, babak yang menyambung penghujung filem Doctor Strange in the Multiverse of Madness (2022). Selepas Wanda meruntuhkan Gunung Wundagore ke atas dirinya, Doctor Doom datang dan membangkitkan Scarlet Witch semula. Wanda Maximoff ialah salah satu watak paling popular, dan berita tentang kematiannya menghampakan ramai peminat, tetapi kini tidak lagi. Adakah Doctor Doom akan menjadikan Wanda sebahagian daripada pengikutnya? Kita akan tahu dalam Avengers: Doomsday, yang dijadualkan tayang pada 18 Disember 2026, iaitu lebih sebulan lagi.
KESIMPULANNYA :
VisionQuest (2026) ialah sebuah siri yang unik, dan pada pandangan aku ia berjaya berdiri setanding dengan WandaVision (2021) dan Agatha All Along (2024). Konsep trilogi ini memang segar untuk peminat MCU.
Aku juga bersyukur dengan kewujudan platform Disney+. Walaupun ada beberapa siri yang kurang menarik dan kurang berjaya, platform inilah yang membolehkan trilogi ini dihasilkan. Tanpa platform ini, mungkin peminat MCU hanya akan berpuas hati dengan filem sahaja, yang durasinya lebih pendek, dan sesetengah penceritaan mungkin tidak dapat dikembangkan sepenuhnya.
Harapan aku, pihak Marvel Studios melihat kejayaan trilogi ini sebagai sesuatu yang patut dibanggakan, dalam masa yang sama memperbaiki apa yang kurang berjaya. Teruskan menghasilkan karya yang berkualiti dengan jalan cerita yang menarik, dan peminat pasti berpuas hati. Untuk itu, aku berikan siri ini :-
BINTANG : ⭐⭐⭐⭐⭐⭐⭐⭐/10
RUJUKAN :
- Wikipedia: https://en.wikipedia.org/wiki/VisionQuest
- Disney+: https://www.disneyplus.com
- Marvel: https://www.marvel.com
- Marvel Studios: https://www.marvel.com/studios
- The Art of VFX: https://www.artofvfx.com/visionquest/
- Rotten Tomatoes: https://www.rottentomatoes.com
- Metacritic: https://www.metacritic.com
- Google Images: https://images.google.com
SEKIAN
The author will not be responsible for any comment left by the readers. Please comment using polite language. Thank you.