Bagaimana Misi Apollo 11 Pergi Ke Bulan pada Tahun 1969?

Assalamualaikum dan salam sejahtera

Bagaimana Misi Apollo 11 Pergi Ke Bulan pada Tahun 1969?
 
Lebih 50 tahun telah berlalu, buat pertama kalinya manusia menjejakkan kaki di permukaan Bulan. Misi Apollo 11 ini disertai Komander Neil Armstrong, Juruterbang Lunar Module Buzz Aldrin menjadi krew yang berjaya mendaratkan Lunar Module Eagle pada 20 Julai 1969. Neil Armstrong menjadi manusia pertama menjejakkan kaki di Bulan manakala selepas 19 minit kemudian Aldrin pula menyertainya. 

Mereka menghabiskan masa selama 2 jam dan 39 minit diluar kapal angkasa mereka dan mengumpulkan 21.5 kilogram tanah dan komposisi dari Bulan kembali ke Bumi. Krew ketiga, Juruterbang Command Module Michael Collins pula menerbang Command Module 'Columbia' pada orbit Bulan selama dua krew lagi berada di permukaan Bulan. Neil Armstrong dan Aldrin menghabiskan masa selama 21 jam dan 36 minti di permukaan Bulan, di tapak yang dikenali sebagai Tranquility Base ketika mendarat sebelum kembali ke Bumi. 

JADI BAGAIMANA MISI APOLLO 11 INI PERGI KE BULAN?

Artikel kali ini akan menceritakan tentang PELANCARAN APOLLO 11 sehinggalah ke PENDARATAN MISI APOLLO 11 DI BUMI. Apa yang berlaku diantaranya akan dijelaskan berserta dengan gambar.

MISI APOLLO 11

Bagaimana Misi Apollo 11 Pergi Ke Bulan pada Tahun 1969?
Kredit : NASA

Pada 20 Julai 1969, selepas 8 tahun Presiden John F. Kennedy mengumumkan tentang cita-citanya untuk "landing a man on the moon and returning him safely to the Earth," angkasawan NASA Neil Armstrong dan Buzz Aldrin berjaya memacakkan bendera Amerika Syarikat di permukaan bulan. 

Lima hari sebelum menjejakkan kaki di Bulan, pada pagi 16 Julai 1969, Komander Neil Armstrong, Juruterbang Command Module Michael Collins dan Juruterbang Lunar Module Edwin 'Buzz' Aldrin masih berada di Bumi. Mereka melakukan pemeriksaan terakhir dalam Command Module 'Columbia'. Columbia akan menjadi tempat tinggal mereka sepanjang perjalanan. 

Module ini berada di tempat paling atas pada roket Saturn V yang setinggi 111 meter. Salah satu roket paling berkuasa pernah terbang, Saturn V mempunyai tiga peringkat. Setiap perigkat akan membakar enjin sehingga habis bahan bakar dan kemudiannya berpisah daripada roket. Enjin pada peringkat berikutnya pula akan dinyalakan dan roket akan meneruskan perjalanan di angkasa. 

Eagle - Rumah bagi Armstrong dan Aldrin selama 21.5 jam di permukaan Bulan, direka untuk tidak kembali ke Bumi. Mempunyai dua bahagian 'descent stage' merupakan bahagian bawah yang bewarna emas dan hitam. Ia mengandungi enjin roket, bahan bakar, perkakas saintifik dan juga tangga untuk angkasawan membuat langkah pertama di permukaan Bulan.

Bahagian perak dan hitam di bahagian atas dikenali sebagai 'ascent stage', merupakan bahagian paling penting untuk angkasawan. Ia merupakan bahagian tempat krew bertekanan dan tempat untuk krew keluar. Mempunyai komponen elektronik dan roket utama dan juga roket kecil yang diperlukan untuk dilancarkan dari permukaan Bulan dan kembali bergabung dengan Columbia. 


DETIK 00:00:00 : PELANCARAN APOLLO 11

Bagaimana Misi Apollo 11 Pergi Ke Bulan pada Tahun 1969?
Kredit : NASA

Untuk melawan tarikan graviti Bumi, NASA memerlukan roket yang 100 kali lebih berkuasa berbanding yang ada pada misi Mercury yang membawa angkasawan pertama Amerika Syarikat ke orbit pada tahun 1961. Roket Saturn V dengan tiga bahagian adalah sebesar kapal Navy Destroyer, dilengkapi dengan muatan 3.4 juta kilogram bahan bakar dan dapat melancarkan angkasawan Apollo 11 ke kelajuan 40,000 km/h. 

Untuk membekalkan kuasa, roket Saturn V dipenuhkan dengan 3.5 juta liter kerosin, oxygen cecair, dan hidrogen cecair. Michael Neufeld, jurucakap senior di bahagian sejarah angkasa dari Smithsonian National Air and Space Museum berkata bahawa proses pencucuhan (ignition) Saturn V merupakan antara proses yang menakutkan dalam misi Apollo 11.

"Sekiranya Saturn V meletup berdekatan dengan tapak pelancaran, ia akan memiliki kuasa seperti senjata nuklear kecil," kata Neufeld. 

DETIK 02:44:16: SATU PUSINGAN ORBIT BUMI, KEMUDIAN TERUS KE BULAN 

Selepas proses pembakaran dan melepaskan dua daripada tiga enjin Saturn V, kapal angkasa ini memasuki orbit Bumi pada hampir 200 kilometer daripada permukaan. Selepas satu pusingan mengelilingi planet Bumi, roket J-2 dinyalakan, menghantar angkasawan Apollo keluar daripada orbit Bumi dan menuju ke Bulan. 

DETIK 03:24:03 : PENYUSUNAN SEMULA KAPAL ANGKASA

Bagaimana Misi Apollo 11 Pergi Ke Bulan pada Tahun 1969?
Kredit : Wikimedia

Seterusnya pula adalah proses yang rumit. Selain daripada roket dan enjin Saturn 5, Apollo 11 juga terdiri daripada tiga buah kapal; Lunar Module (LM) atau Eagle, digunakan untuk membawa dua angkasawan ke dan dari permukaan Bulan; Command Module (CM) atau Columbia, dimana ketiga-tiga angkawasan akan berada di sini sewaktu perjalanan, dan Service Module, yang membawa sistem sokongan dan sistem dorongan (propulsion). (Ketika Command Module bergabung dengan Service Module, ia dikenali sebagai CSM)

Untuk mendapatkan kapal dalam keadaan yang betul untuk mengorbit Bulan dan mendarat, CSM perlu dikeluarkan dari hujung roket pada tahap tiga, pusing 180 darjah dan bergabung dengan bahagian atas LM, dan semuanya berlaku ketika sedang bergerak dengan kelajuan hampir 30,000 km/h.

Apabila telah siap digabungkan, kapal angkasa Apollo 11 dipisahkan dari Saturn V dan angkasawan Apollo 11 memulakan perjalanan selama 3 hari sejauh 380,000 kilometer diantara Bumi dan Bulan.

DETIK 75:49:50 MASUK KE ORBIT BULAN 

Bagaimana Misi Apollo 11 Pergi Ke Bulan pada Tahun 1969?
Kredit : Bettmann Archive/Getty Images

Setelah dipisahkan dari Saturn V, kapal angkasa Apollo ini menggunakan enjin pada Service Module untuk proses pembetulan pertengahan jalan (mid-course corrections) dan juga maneuver kritikal ketika memasuki orbit graviti Bulan yang lemah. 

Langkah terakhir, dikenali sebagai  'lunar orbit insertion', berjalan dengan jayanya membawa angkasawan mengelilingi Bulan pada ketinggian kira-kira 100 kilometer dari permukaan. 

DETIK 100:39:53 PROSES MENDARAT DI BULAN 

Ketika pusingan ke dua kapal angkasa tersebut mengelilingi Bulan, Komander Misi Apollo 11, Armstrong dan juruterbang Lunar Module, Aldrin bergerak dari CSM ke LM untuk menyiapkan pelepasan, meninggalkan juruterbang Command Module, Michael Collins menanti dengan cemas dan mengelilingi Bulan pada orbitnya. 

Seterusnya pula adalah proses "menurunkan kuasa" oleh LM, yang dikatakan Nuefeld sebagai " bahagian paling bahaya dan kritikal dalam misi ini". Selepas berpisah daripada CSM, Armstrong dan Alrdin mengemudi LM yang seberat 14,500 kilogram itu selama 2 jam ke bahagian permukaan Bulan. 

Pada saat-saat akhir, dengan bahan bakar yang semakin habis, Armstrong mula menyedari bahawa program mendarat automatik pada komputer adalah untuk mereka mendarat di tengah-tengah kawah berbatu. 

Kemudiannya, Armstrong mengambil alih kawalan manual dan menggerakkan kapal angkasa ke bahagian depan dengan lebih cepat supaya ia boleh ke arah kawah yang lebih jelas diluarnya. 

DETIK 102:45:40 EAGLE TELAH MENDARAT  

Armstrong, bertindak dengan tenang walaupun penggera amaran menyala di kabin dan Pusat Kawalan mengumumkan bahan bakar hanya cukup untuk 30 saat sahaja. 

Berdiri bersebelahan dan melihat pada tingkat kecil berbentuk segitiga, Armstrong dan Aldrin mematikan enjin pada LM. "The Eagle has landed," Armstrong melaporkan pada Pusat Kawalan. 

DETIK 109:07:33 ARMSTRONG , ALDRIN DI BULAN 

Bagaimana Misi Apollo 11 Pergi Ke Bulan pada Tahun 1969?
Kredit : Time

Sebagai komander, Armstrong menjadi angkasawan pertama yang menjejakkan kaki di Bulan. Ketika dia melangkah keluar dari tangga ke permukaan Bulan, Armstrong menyampaikan kata-kata ini, "That's one small step for a man, one giant leap for mankind.". Kemudiannya, Aldrin mengikut Armstrong menuruni anak tangga. 

Mereka berdua menghabiskan dua jam berikutnya dengan mengambil gambar, merakam pemandangan, kumpulkan batu dan spesimen tanah Bulan dan mengeluarkan perkakas untuk eksperimen saintifik yang mana akan ditinggalkan di Bulan selepas mereka kembali ke Bumi. Ia termasuklah seismograf untuk mengukur gempa Bulan (moonquakes) dan Laser Ranging Retroreflector untuk mengukur jarak tepat dari Bulan ke Bumi. 

DETIK 124:22:01 : WAKTU MAKAN, TIDUR DAN BERLEPAS DARI BULAN 

Bagaimana Misi Apollo 11 Pergi Ke Bulan pada Tahun 1969?
Kredit : NASA

Selepas makan dan beberapa jam tidur, sudah tiba masanya untuk Armstrong dan Aldrin menyertai Collins dan CSM di orbit Bulan. Neufeld turut mengatakan bahawa ini juga antara proses yang menakutkan. "Hanya ada satu sahaja enjin untuk berlepas dan ia perlu menyala. Ini sahaja cara untuk kembali ke Bumi dengan selamat." jelas Neufeld. 

Kebarangkalian untuk Armstrong dan Aldrin terdampar di Bulan adalah sangat tinggi sehinggakan Presiden Richard Nixon dan penulis ucapannya William Safire telah menyiapkan ucapan takziah, yang bermula dengan, "Fate has ordained that the men who went to the moon to explore in peace will stay on the moon to rest in peace.

DETIK 128:03:00 KEMBALI BERSAMA COMMAND MODULE 

Bagaimana Misi Apollo 11 Pergi Ke Bulan pada Tahun 1969?

Syukur, enjin untuk berlepas menyala dengan baik dan Armstrong bersama Aldrin berlepas ke orbit Bulan dimana mereka perlu melakukan satu lagi proses yang rumit, bergabung dengan CSM dipertengahan perjalanan.  Akhirnya ketiga-tiga krew kembali bersatu di CSM dan membiarkan LM dilepaskan dan bersedia untuk pulang. 

DETIK 195:07:15 MASUK SEMULA KE ATMOSFERA BUMI 

Setelah menyalakan enjin untuk kali terakhir supaya masuk ke orbit Bumi, Service Module dilepaskan dan ketiga-tiga krew bersiap sedia untuk masuk ke bahagian Command Module yang berbentuk seperti kon.

Proses ini akan menjadi ujian terakhir buat krew Apollo 11 dan ribuan jurutera dan mereka yang menjayakan projek ini. Kapsul Apollo 11 perlu memasuki atmosfera pada sudut yang sangat tepat

Apabila anda memasuki atmosfera pada kelajuan 38,000 km/h ia menghasilkan bola api," jelas Neufeld. "Sekiranya mereka masuk terlalu curam, suhu akan menjadi panas terlampau cepat dan kapal angkasa akan terbakar. Sekiranya mereka masuk  dengan sudut yang rendah, kapsul akan meninggalkan atmosfera seperti batu yang dibaling di kolam." 

Selepas pemadaman komunikasi selama tiga minit, Armstrong memberi isyarat berjaya masuk dan kapal yang menyelamat melihat payung terjun telah dilepaskan. 

DETIK 195:18:35 PENDARATAN DI AIR 

Bagaimana Misi Apollo 11 Pergi Ke Bulan pada Tahun 1969?
Kredit : NASA

Misi Apollo 11 berakhir tepat pada 8 hari, 3 jam, 18 minit dan 35 saat selepas pelancar dengan mendarat di Lautan Pasifik sekitar 800 batu nautika barat daya Hawaii dan 19 kilometer dari kapal penyelamat, USS Hornet. 

Ketiga-tiga astronaut muncul dari kapsul CM dan dengan memakai sut khas kerana bimbang mereka akan membawa kembali bakteria bulan yang toksik ke Bumi. Mereka seterusnya melalui kuarantin selasa 21 hari sebelum dibenarkan pulang bertemu keluarga. 

ADAKAH MANUSIA AKAN KE BULAN LAGI?

Ya, sudah lebih 50 tahun berlalu, adakah manusia akan kembali ke Bulan? Okay, sebenarnya NASA sendiri ada wujudkan satu program bernama Program Artemis. Dilancarkan pada tahun 2017 untuk manusia kembali ke Bulan, terutamanya di bahagian Kutub Selatan Bulan. Sekiranya berjaya, ia akan mejadi misi ke Bulan pertama sejak misi Apollo yang berakhir pada tahun 1972. Mengikut perancangan NASA misi pertama Artemis 1 adalah pada November 2021 manakala Misi pertama membawa krew adalah pada September 2023. 

SEKIAN

RUJUKAN :

1 Comments

The author will not be responsible for any comment left by the readers. Please comment using polite language. Thank you.


  1. I visited a lot of website but I believe this one holds something extra in it.

    Also visit my web-site; 부산오피

    ReplyDelete

Post a Comment

The author will not be responsible for any comment left by the readers. Please comment using polite language. Thank you.


Post a Comment

Previous Post Next Post