Cara Menunaikan Solat Sunat Gerhana Matahari

Assalamualaikum dan salam sejahtera

Cara Menunaikan Solat Sunat Gerhana Matahari

Baru-baru ini aku ada kongsikan tentang kisah bagaimana terjadinya Gerhana Matahari. Kali ini, untuk mereka yang Islam pula, aku kongsikan tentang panduan menunaikan Solat Sunat Gerhana Matahari. ‘Gerhana Matahari’ disebut ‘Kusuf’ (الكُسُوفِ) di dalam bahasa Arab yang bermaksud terlindung atau hilangnya cahaya matahari, sama ada terlindungnya itu hanya sebahagian atau keseluruhannya.

Gerhana bukan fenomena baru yang hanya berlaku pada akhir zaman ini tapi telah berlaku sejak alam ini dijadikan dan juga pada zaman Nabi SAW yang dikenali sebagai ‘sebaik-baik kurun’.

Gerhana berlaku bukanlah kerana kemurkaan Allah SWT, tetapi merupakan petanda kepada kebesaran kekuasaan Allah SWT. Ia juga berupaya menjadi peringatan kepada manusia tentang azab dan nikmat yang dijanjikan Allah SWT pada hambanya kerana fenomena gerhana ini sangat besar ertinya samada dari penghayatan iman dan sains.

Dari Abu Mas’ud Al Ansari beliau berkata: Rasulullah SAW bersabda:

عن ابن مسعود الانصارقال: قال رسول الله صلى الله عليه وسلم : (إن الشمس والقمر آيتان من آيات الله. يخوف بهما عباده. وَاِنَّهُمَا  لا  ينكسفان لموتِ أحد مِنَ النَّاسِ. فإذا رأيتم منها شيئا. فصلوا وادعوا الله يكشف ما بكم.

“Sesungguhnya matahari dan rembulan (bulan) adalah dua di antara tanda-tanda kebesaran Allah. Keduanya (kalau sedang gerhana) oleh Allah digunakan untuk menakuti para hambaNya. Dan keduanya tidaklah gerhana lantaran kematian seseorang di antara manusia. Kerana itu, apabila kamu melihatnya, maka lakukanlah solat dan berdoalah kepada Allah sampai hal yang menakutkan itu hilang.”

Galakan mengerjakan ibadah Solat Sunat Gerhana ini  berdasarkan banyak hadis berkaitan gerhana. Terdapat beberapa perkara sunnah yang dianjurkan supaya dilakukan semasa kejadian gerhana, di antaranya adalah melakukan solat dan berdoa. Rasulullah SAW bersabda: “Apabila kamu melihat kedua-duanya (gerhana matahari dan bulan), maka dirikanlah solat dan berdoalah sehingga dihapuskan apa yang kamu hadapi.”

Diriwayatkan oleh al-Bukhari dan Muslim dari Aisyah r.a. bahawa Nabi SAW bersabda:

إِنَّ الشَّمْسَ  وَالقَمَر َ آيَتَانِ مِنْ ايَاتِ اللهِ  لاَيَخْسِفَان ِ لِمَوت ِ أَحَدٍ وَلاَ لِحَيَاتِهِ، فَإِذَا رَأَيْتُمْ ذلِكَ فَادْعُوا اللهَ وَكَبِّرُوا وَتَصَدَّقُوا وَصَلُّوا
“Sesungguhnya matahari dan bulan adalah dua macam tanda dari tanda-tanda kekuasaan Allah. Terjadinya gerhana matahari atau bulan itu bukanlah kerana kematian seseorang atau kehidupannya. Maka jikalau kamu melihatnya, berdoalah kepada Allah, bertakbirlah, bersedekahlah serta bersolatlah.”


SOLAT SUNAT GERHANA MATAHARI

Melakukan ‘Solat Gerhana Matahari’ atau dikenali juga dengan nama ‘Solat Sunat Kusuf’ adalah ‘sunat muakkad’ bagi muslimin dan muslimat (lelaki atau perempuan), sama ada orang yang bermukim atau bermusafir, merdeka atau hamba. Disunatkan mandi sebelum dirikan solat gerhana, seperti hendak solat Jumaat.

Solat Sunat Kusuf boleh dilakukan di mana-mana samada di rumah, surau atau masjid. Solat Sunat Kusuf boleh dilakukan secara bersendirian Walau bagaimanapun yang lebih afdhal dan utama adalah ditunaikan secara berjamaah di masjid yang didirikan Solat Jumaat.

Sebaiknya dibacakan khutbah setelah selesai solat seperti mana pada solat hari raya. Isinya diarahkan kepada keterangan tentang gerhana, isu-isu semasa ataupun hal-hal bermanfaat yang menjurus kepada anjuran taubat, sedekah, persatuan, amar ma’ruf nahi mungkar.

WAKTU SOLAT SUNAT GERHANA MATAHARI

Solat Sunat Kusuf / Gerhana Matahari waktunya bermula ketika ternyata sedang berlakunya gerhana matahari sehingga selesai gerhana matahari tersebut. Iaitu dengan berakhir, tamatnya gerhana itu atau sehingga jatuhnya matahari dan hilangnya gerhana tersebut. Sekiranya gerhana berlaku ketika atau selepas terbenam matahari, maka tidak ada solat gerhana.

#1  Pelaksanaan Gerhana Matahari (Kusuf)

‘Solat Sunat Kusuf / Gerhana Matahari’ tidak perlu ‘Iqamah’ tapi cukup sekadar ucapan (الصِّلاَةُ جَامِعَةً ) dan dilakukan dengan 2 rakaat sebagaimana solat sunat biasa. Dalam semua cara Solat Sunat Gerhana Matahari, hendaklah diperlahankan suara ketika membaca surah.

1.  Lafaz Niat Solat Sunat Gerhana Matahari :

Daku Solat Sunat Gerhana Matahari dua rakaat, kerana Allah Ta’ala.

2.  Disunatkan membaca surah-surah panjang dalam setiap rakaat Solat Sunat Kusuf tetapi bacaan Al Fatihah dan surah tidak boleh dijaharkan (dinyaringkan).

Dari Aisyah r.a. berkata:

عن عائشة نحو حديث ابن عباس وقالت: أَنَّ رسول الله صلى الله عليه وسلم يوم خَسَفَتِ الشَّمْسُ قَامَ فَكَبَّرَ وَقَرَأَ  قِرَاءَةً  طَوِيلَةً  ثُمَّ  رَكَعَ رُكُوعًا طَوِيلاً ثُمَّ رَفُعَ  رَأْسُهُ فَقَالَ سَمِعَ اللهُ لِمَنْ حَمِدَهُ وَقَاَم كَمَا هُوَ نَقَرَ  قِرَاءَةً  طَوِيلَةً وَهِىَ أَدْنى مِنَ القِرَاءَةِ الأُولَى ثُمَّ  رَكَعَ  رُكُوعًا طَوِيلاً وَهِىَ أَدْنَى مِنَ الرَّكْعَةِ الأُولَى  ثُمَّ سَجَدَ سُجُودًا طَوِيلاً  ثُمَّ فَعَلَ ِفي  الرَّكْعَةِ  الآخَِرةِ مِثْلَ ذلِكَ  ثُمَّ سَلَّمَ  وَقَدْ تَجَلَّتِ الشَّمْسُ فَخَطَبَ  النَّاسِ فَقَالَ ِ في  كُسُوفِ الشَّمْسِ وَالقَمَرِ  إِنَّهُمَا  آيَتَانِ  مِنْ  آياَتِ اللهِ  َلا يَخْسِفَانِ لِمَوْتِ أَحَدٍ وََلا لحَِيَاتِهَ فَإِذَا رَأَيْتُمُوهُمَا فَافْزَعُوا إِلَى الصَّلاَةِ.

“Sesungguhnya Rasulullah SAW berdiri (di masjid) pada hari terjadi gerhana matahari, lalu Baginda mengadakan solat gerhana dan membaca bacaan yang panjang (seukur seratus ayat surah al-Baqarah), kemudian Baginda mengangkat kepala dan mengucapkan “Sami’ Allahhu Liman Hamidah”, dan Baginda berdiri lalu membaca bacaan yang panjang, sedang bacaan (dalam berdiri yang kedua) ini sedikit berkurang daripada bacaan yang pertama, kemudian Baginda rukuk dengan rukuk yang panjang, sedang rukuk ini berkurang dari rukuk pertama, kemudian Baginda sujud dengan sujud yang panjang (bertasbih seukur bacaan seratus ayat), kemudian Baginda bertindak sepadan demikian (rakaat pertama) itu pada rakaat yang akhir (kedua), Selanjutnya Baginda mengakhiri solatnya dengan salam, sedang gerhana matahari telah berakhir. Lalu Baginda berkhutbah kepada manusia: “Pada gerhana matahari dan bulan, sesungguhnya keduanya adalah dua tanda (kebesaran) di antara tanda-tanda kebesaran Allah. Keduanya tidaklah terjadi gerhana kerana kematian seseorang pula tidaklah kerana kehidupan seseorang. Maka apabila kalian melihat keduanya (gerhana)maka bersyukurlah kepada solat gerhana.”  (Riwayat Bukhari 4-hlm: 358)

3.  Dilaksanakan dengan dua raka’at. Di dalamnya dilaksanakan sama ada dengan dua (2) kali rukuk, tiga (3) kali rukuk atau empat (4) kali rukuk bagi setiap raka’at.

4.  Memperbanyakkan istighfar dan memohon ampun kepada Allah SWT;

Cara Menunaikan Solat Sunat Gerhana Matahari

Daku mohon ampun kepada Allah yang Maha Agung, yang tiada Tuhan melainkan Dia Yang Maha Hidup Lagi Maha Mengurus dan daku bertaubat kepada-Nya. Daku mohon ampun kepada Allah, kedua ibu bapa kami dn rahmatilah mereka sebagaimana mereka memelihara kami sedari kecil lagi; Begitu juga kesemua kaum muslimin dan muslimat, mukminin dan mukminat sama ada yang masih hidup atau yang telah meninggal dunia! 

5.  Antara doa yang biasa dibaca terutama semasa khutbah atau selepas solat sunat gerhana ialah :

Cara Menunaikan Solat Sunat Gerhana Matahari



#2  Ringkasan Cara Solat Sunat Kusuf

Solat Sunat Kusuf (Solat Gerhana Matahari) tidak perlu ‘Iqamah’ tapi cukup sekadar ucapan (الصِّلاَةُ جَامِعَةً ) Solat Sunat Kusuf (Solat Gerhana Matahari) ini boleh dilakukan dengan 4 cara atau empat kaedah dan dalam solat ini bacaan Al-Fatihah dan surahnya dibaca dengan suara perlahan dan tidak dinyaringkan.

Secara ringkasnya Solat Gerhana / Solat Sunat Kusuf adalah seperti berikut :

1.  Cara Pertama

Solat Sunat Kusuf (Solat Gerhana Matahari) boleh dilakukan dengan cara yang paling ringkas. Iaitu hendaklah ditunaikan dengan dua rakaat sepertimana Solat Sunat Zuhur atau mana-mana solat sunat. Didirikan sebanyak 2 rakaat dengan 2 kali Qiam, 2 kali Fatihah, 2 kali rukuk dan 2 kali sujud.

2.  Cara Ke-Dua

Solat Sunat Kusuf (Solat Gerhana Matahari) dengan cara ‘ ال أدنى ‘, iaitu ditunaikan dengan 2 rakaat dengan 2 kali Qiam, 2 kali Fatihah, 2 kali rukuk dan 2 kali sujud pada setiap satu rakaat, disertai dengan bacaan al-Fatihah dan surah dalam tiap-tiap Qiam itu.

Bagi kita di Malaysia ini, cara yang kedua inilah yang paling mudah dilaksanakan. Selepas takbir, dibaca doa iftitah dan al-Fatihah. Selepas selesai al-Fatihah, dibaca surah (mana-mana surah yang mampu) kemudian rukuk dan berdiri tegak semula (qiam kedua).

Di dalam qiam kedua ini dibaca al-Fatihah dan juga surah. Kemudian rukuk semula (dipanggil rukuk kedua). Apabila bangkit I’tidal, terus sujud sebanyak dua kali. Apabila selesai sahaja dari sujud kedua dan bangkit barulah selesai rakaat yang pertama. Begitulah caranya bagi rakaat yang kedua.

3.  Cara Ke-Tiga

Solat Sunat Kusuf (Solat Gerhana Matahari) dengan cara membaca tasbih dan surah panjang.

a.   Rakaat Pertama
  1. Takbiratul Ihram.
  2. Membaca Doa Iftitah.
  3. Membaca Ta`awwuz.
  4. Membaca surah al-Fatihah.
  5. Membaca mana-mana surah, yang lebih afdhal ialah surah al-Baqarah.
  6. Rukuk dan membaca tasbih kira-kira membaca 100 ayat.
  7. Iktidal serta membaca surah al-Fatihah dan membaca surah ali-Imran atau  mana-mana surah.
  8. Rukuk dangan membaca tasbih kira-kira membaca 90 ayat.
  9. Iktidal.
  10. Sujud dan membaca tasbih.
  11.  Duduk antara 2 sujud.
  12.  Sujud kembali.
  13. Berdiri ke rakaat kedua.
b.   Rakaat kedua
  1. Membaca surah al-Fatihah.
  2. Membaca surah al-Nisa’ atau mana-mana surah.
  3. Rukuk dan membaca tasbih kira-kira membaca 70 ayat.
  4. Iktidal serta membaca surah al-Fatihah dan surah al-Maidah atau mana-mana surah.
  5. Rukuk dangan membaca tasbih kira-kira membaca 50 ayat.
  6. Iktidal.
  7. Sujud dan membaca tasbih.
  8. Duduk antara 2 sujud.
  9. Sujud kembali.
  10. Membaca Tasyahud Akhir.
  11. Memberi salam.
Disebutkan oleh Ibnu Rusyd di dalam Bidayatul Mujtahid:

وكان إسحاق بن راهويه يقول: لا يتعدى بذلك أربع ركعات في كل ركعة لأنه لم يثبت عن النبي صلى الله عليه وسلم أكثر من ذلك. وقال أبو بكر بن المنذر وكان بعض أصحابنا يقول: الاختيار في صلاة الكسوف عين وإن شاء ثلاثة وإن شاء أربعة
Ishak B. Rahawaih berkata:  “Tidak boleh melebihi empat kali ruku’ dalam satu raka’at. Kerana tiada riwayat yang menunjukkan Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam ruku’ lebih dari empat kali.”

4.  Cara Ke-Empat

Cara keempat Solat Sunat Kusuf (Solat Gerhana Matahari), ia didirikan sebanyak 2 rakaat dengan 4 kali Qiam, 4 kali al-Fatihah, 4 kali rukuk dan 4 kali sujud.
  • Boleh juga dilakukan Solat Gerhana 2 rakaat dengan membaca 4 kali al-Fatihah, 4 kali rukuk dan 4 kali sujud.
  • Disunatkan membaca dengan suara perlahan surah-surah panjang dalam setiap rakaat solat  gerhana matahari.
  • Pada setiap rakaat rukuknya dilakukan dua kali, iaitu selepas membaca al-Fatihah dan surah, lalu rukuk.
  • Bangun i’tidal, lalu membaca Al Fatihah dan surah lagi lalu rukuk yang ke dua.
  • Kemudian i’tidal lagi dengan tu’maninah barulah melakukan sujud yang pertama, duduk antara dua sujud, lalu sujud yang ke dua, kemudian bangun untuk rakaat yang ke dua.
  • Pada rakaat yang ke dua ini, rukuk dilakukan dua kali seperti pada rakaat yang pertama. Kemudian tahiyat dan diakhiri dengan salam.
  • Makmum yang hanya dapat mengikut imam ketika berdiri ke dua atau rukuk ke dua dalam rakaat pertama dianggap tidak dapat rakaat pertama.
Abdullah bin Amr bin Ash r.a. berkata;

عَنْ عَبْدِ اللهِ بْنِ عَمْرو بنِ العَاصِ أَنَّهُ قَالَ: لَمَّا انْكَسَفَتِ الشَّمْسُ عَلَى عَهْدِ رَسُولِ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيهِ  سَلَّمَ نُودِىَ بِ ( الصَّلاَةُ جَامِعَةً ) فَرَكـَعَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيهِ وَسَلَّمَ رَكْعَتَينِ فِى سَجْدَةٍ. ثُمَّ قَامَ فَرَكـَعَ رَكْعَتَينِ فِى سَجْدَةٍ. ثُمَّ جُلِّىَ عَنِ الشَّمْسِ. فَقَالَتْ عَائشَةُ: مَا رَكَعْتُ رُكُوعًا قَطَُّ. وَلاَ سَجَدتُ سُجُودًا قَطَُّ. كَانَ اَطْوَلَ مِنْهُ. 

“Ketika terjadi gerhana di zaman Nabi Muhammad SAW maka diserukan: “Ash-shalaatu jaami’ah (tegakkanlah solat berjamaah).” Kemudian (di dalam solat) Nabi Muhammad SAW rukuk dua kali dalam satu rakaat. Pada rakaat kedua  Nabi Muhammad SAW rukuk dua kali pula. Kemudian duduk dan selesai. Matahari sudah terang kembali. Siti Aisyah berkata: “Belum pernah saya sujud lama, seperti lamanya sujud solat gerhana itu.” (Hr Bukhari dan Muslim).

Abu Bakar B. Al-Mundzir berkata:  “Ada beberapa sahabat kami menyatakan bahawa memilih tatacara solat gerhana memiliki landasan hukum. Mereka yang mahu solat gerhana dibolehkan memilih mana-mana tatacara yang dikehendakinya, sama ada dua kali ruku’ dalam setiap raka’at, tiga kali rukuk dalam setiap raka’at, atau empat kali rukuk dalam setiap raka’at.”  (Ibnu Rusyd, Bidayatul Mujtahid, 1/121)


NOTA : Makmum yang tertinggal rukuk yang pertama samada dalam rakaat pertama atau rakaat kedua, adalah dikira tidak mendapat rakaat itu dan dia hendaklah menyempurnakan rakaat yang luput itu selepas Imam memberi salam.

KHUTBAH SOLAT GERHANA

  • Sunat membaca khutbah selepas solat sunat, walaupun telah selesai gerhana.
  • Khutbahnya adalah seperti khutbah hari raya tetapi tidak disunatkan bertakbir.
  • Isi khutbah hendaklah menyuruh para jemaah bertaubat, bersedekah, memerdekakan hamba, berpuasa, mengingati manusia supaya tidak lalai, jangan leka dengan dunia dan sebagainya.
  • Jika solat itu hanya terdiri dari wanita semata-mata, maka tidak perlu khutbah.
Aisyah r.a. berkata :

ثم سلم وقد تجلت الشمس فخطب الناس فقال في كسوف الشمس والقمر إنهما آيتان من آيات الله لا يخسفان لموت أحد ولا لحياته فإذا رأيتموهما فافزعوا إلى الصلاة.

 “Seterusnya Baginda mengakhiri solatnya dengan salam, sedang gerhana matahari telah berakhir. Lalu Baginda berkhutbah kepada manusia: “Pada gerhana matahari dan bulan, sesungguhnya keduanya adalah dua tanda (kebesaran) di antara tanda-tanda kebesaran Allah. Keduanya tidaklah terjadi gerhana kerana kematian seseorang pula tidaklah kerana kehidupan seseorang. Maka apabila kamu melihat keduanya (gerhana) maka bertandanglah kepada solat gerhana.”  (Riwayat Bukhari r.a.)

PERTEMBUNGAN SOLAT

Jika gerhana berlaku serentak dengan solat fardhu yang lain, maka kaedahnya didahulukan yang paling ringan. Sekiranya sama nilainya, maka didahulukan yang paling utama:
  • Jika pertembungan berlaku di antara solat gerhana dengan solat jenazah maka didahulukan solat jenazah.
  • Jika pertembungan berlaku di antara solat gerhana dengan solat fardhu di awal waktu maka didahulukan solat gerhana kerana dibimbangi matahari kembali cerah. Tetapi jika berlaku pertembungan itu diakhir waktu solat fardhu maka didahulukan solat fardhu.
  • Jika pertembungan berlaku di antara solat gerhana dengan solat witir didahulukan solat gerhana
Umat Islam perlu mengambil kesempatan ini untuk meningkatkan keimanan dan ketakwaan kepada Allah SWT dengan mengadakan dan menunaikan ‘Solat Sunat Kusuf’ ini secara berjemaah berserta khutbah gerhana sempena gerhana matahari tersebut. Ibadat sunat ini seharusnya ditunaikan dengan sebaik mungkin, apatah lagi fenomena gerhana ini jarang berlaku.

Sumber : Solat Sunat Gerhana Matahari | Google Image

0 Comments

The author will not be responsible for any comment left by the readers. Please comment using polite language. Thank you.


Post a Comment

The author will not be responsible for any comment left by the readers. Please comment using polite language. Thank you.


Post a Comment (0)

Previous Post Next Post