Assalamualaikum dan salam sejahtera
Apa khabar rakan-rakan dan pembaca sekalian? Alhamdulillah, baru- baru ini aku berpeluang menikmati beberapa hidangan di sebuah restoran Korea menarik iaitu di MODU KLGCC. Aku pasti mungkin ada yang macam pernah dengar tentang restoran ini. Kalau yang pernah dengar, mungkin itu adalah MODU TRX, cawangan pertamanya.
APA YANG MENARIK DI MODU KLGCC ?
MODU merupakan sebuah jenama restoran Samgyetang premium pertama di Malaysia yang kini secara rasminya telah membuka cawangan kedua di KLGCC Mall. Selepas berjaya memikat hati ramai di The Exchange TRX, cawangan baharu ini pula tampil dengan konsep yang lebih segar, tapi tetap mengekalkan falsafah gaya hidup sihat Korea yang menjadi identiti utama mereka.
#1 Suasana Santai Sambil Tengok Pemandangan Padang Golf
Kali pertama masuk sahaja ke dalam ruangan restoran, tempat dia memang luas sebab terletak dekat bahagian atas dengan saiz 5,500 kaki persegi. Boleh nampak pemandangan padang golf KLGCC yang tenang manakala dekorasi dalaman pula memang aestetik sebab mereka ambil inspirasi dari rumah tradisional Korea (Hanok) tapi versi moden, ada tona kayu yang hangat, dinding kekisi kayu, dan lampu tanglung bercahaya lembut yang buatkan suasana jadi sangat selesa.
Untuk info, ruang dalam restoran ni boleh muat dalam 100 orang jugalah dalam satu masa. Kalau anda nak buat majlis makan-makan family ke, meeting business, atau apa-apa event special yang lebih private, mereka ada sediakan bilik VIP. Satu lagi 'port' yang paling menarik bagi aku adalah bahagian kaunter dapur terbuka (open kitchen) yang ada hud gangsa besar, dekat sini anda boleh tengok sendiri aksi chef siap sedia masak hidangan untuk tetamu.
#2 Menu Apa Yang Dicuba? Sedap ke?
Di cawangan KLGCC ini, mereka membawakan koleksi Samgyetang paling besar pernah MODU hasilkan setakat ini, ada sampai 13 jenis perisa semuanya. Para pengunjung boleh memilih daripada rasa klasik tradisional Korea sampailah ke menu moden dan kontemporari.
Paling menarik perhatian aku, ada dua menu eksklusif yang hanya boleh didapati di KLGCC sahaja. Jadi, memang wajiblah disuap ke dalam mulut. Bila menu dah eksklusif, of course aku nak cuba.
Scorched Rice Samgyetang (Nurungji) - RM58
Hidangan ini dihidangkan dalam mangkuk batu panas yang masih meruap-ruap wapnya. Sebaik sahaja ia sampai di meja, aroma wangi ginseng yang berpadu dengan bau hangus nasi nurungji terus menerobos masuk ke rongga hidung. Dari segi saiz, mangkuknya cukup mengenyangkan untuk seorang makan, malah untuk dua orang pun masih cukup. Bila disuap, gabungan nasi hangus yang rangup-rangup manja bersama sup ginseng MODU yang direneh selama 12 jam itu memberikan kontras tekstur yang sangat memuaskan, luar rangup, dalam lembut berkuah! Rasanya agak unik, kerana aku tak pernah mencuba menu sup sebegini.
Curry Laksa Samgyetang - RM60
Ini satu menu fusion yang sangat berani dan kreatif! Aromanya sahaja sudah membangkitkan selera kerana ia menyatukan bau herba Samgyetang dengan aroma pekat laksa kari Asia Tenggara. Saiz hidangannya besar dan padat dengan bahan. Apabila dihirup kuahnya, rasa berempah kari itu masuk dengan sekata bersama sup herba tradisional, lengkap dihidangkan bersama taupok (tauhu goreng) yang menyerap kuah dan taugeh yang memberikan kerangupan.
Selain sup ginseng, satu kelainan besar di cawangan KLGCC ini adalah pengenalan menu ayam bakar yang dimasak secara individu di atas arang oleh tukang masak. Mereka ada menawarkan Signature Grill Set (730g) berharga RM150 yang merangkumi enam potongan ayam premium.
Namun untuk kunjungan kali ini, aku dan rakan memilih untuk memesan beberapa bahagian secara ala carte untuk merasai sendiri keunikan bakaran arang mereka:
Smoked Chicken (650g) - RM78:
Saiz hidangannya agak besar dan sesuai untuk kongsi. Aroma salainya sangat kuat dan wangi sebaik sahaja dihidangkan. Isi ayamnya pula sangat lembut, berjus, dan rasa salai itu meresap jauh ke dalam daging tanpa rasa terlalu masin.
Chicken Thigh (250g) - RM42 & Marinated Chicken (250g) - RM48:
Dalam pesanan kami, kedua-dua bahagian ini dihidangkan sekali. Kelihatan gaya bakarannya dipanggang sempurna atas arang, kulitnya garing di luar manakala isi di dalam kekal basah. Untuk bahagian yang diperap (marinated), aromanya ketika dibakar memang memikat dengan rasa yang cukup seimbang; ada rasa manis dan masin yang meresap rata ke dalam daging ayam.
Bellflower Tea (Sharing) - RM15:
Teh akar belon (bellflower) yang dihidangkan secara sharing dalam teko. Warnanya jernih dengan aroma herba yang lembut dan menenangkan. Rasanya tidak terlalu manis, sangat menyegarkan, dan bertindak sebagai penawar yang baik untuk membersihkan tekak selepas menjamah hidangan yang berat dan berempah.
#3 Halal ke Makan di Sini?
Pasti ramai tertanya-tanya tentang status halal restoran ini, lebih-lebih lagi bagi kita yang mengambil berat soal pemakanan. Kalau nak diikutkan, isu status halal ni agak sensitif sebab sebahagian daripada kita lebih selesa berkunjung ke premis yang sudah mempunyai sijil halal rasmi.
Namun bagi aku, apa yang lebih penting adalah ketelusan pihak restoran. Berdasarkan rujukan rasmi mereka, MODU sebenarnya masih dalam proses memohon sijil halal rasmi. Biarpun belum memiliki sijil rasmi tersebut buat masa ini, mereka memegang prinsip yang sangat ketat di dapur—iaitu beroperasi sepenuhnya tanpa sebarang penggunaan khinzir, lemak khinzir, atau alkohol (No Pork, No Lard, No Alcohol).
Malah, yang paling melegakan, setiap bahan mentah termasuk ayam organik yang digunakan di sini memang disahkan halal. Bagi aku, selagi bahan-bahan yang digunakan dijamin halal dan mereka telus mengenai status sijil yang sedang dalam proses, ia sudah cukup memberikan keyakinan untuk aku menikmati hidangan di sini tanpa rasa was-was. Setiap mangkuk Samgyetang mereka terus dihasilkan dengan teliti menggunakan sup tulang yang direneh selama 12 jam serta herba perubatan Korea asli bagi menjunjung tradisi boyang-sik (masakan restoratif).
#4 Promosi Pembukaan, Dapat Gelato Percuma!
Sempena meraikan pembukaan cawangan baharu ini, MODU KLGCC ada menawarkan promosi istimewa di mana setiap pengunjung yang makan di restoran akan menerima ais krim gelato TOFU G secara percuma. Tawaran menarik ini sah sehingga 31 Ogos 2026 dan tertakluk kepada stok yang masih ada.
Masa aku pergi hari tu, langsung tak tahu pula ada promosi pembukaan ni. Memang rasa bertuah betul sebab habis sahaja makan hidangan yang panas dan berempah, dapat pula pencuci mulut ais krim gelato TOFU G secara percuma! Rasanya sangat berkrim, lembut, dan sejuk di tekak, memang penutup yang sempurna untuk mengimbangi kepuasan selepas menikmati hidangan berat. Jadi, kalau korang sempat singgah ke sini sebelum tarikh tutup promosi tersebut, jangan lepaskan peluang untuk claim percuma ni ya!
#5 Kesimpulan: Berbaloi ke Tak?
Secara keseluruhan, pengalaman mencuba sendiri pelbagai hidangan di MODU KLGCC ni memang satu memori kulinari yang memuaskan. Daripada koleksi Samgyetang yang sampai 13 jenis terutamanya menu eksklusif Nurungji dan Curry Laksa, sampai lah ke menu ayam bakar arang yang berjus dan beraroma, semuanya menawarkan kelainan rasa yang unik di Kuala Lumpur.
Dari segi harga, ia setimpal dengan kualiti bahan premium, saiz hidangan yang mengenyangkan, serta kebersihan penyediaannya. Ditambah pula dengan suasana restorannya yang luas, tenang dengan pemandangan padang golf, serta berinspirasikan seni bina Hanok moden, tempat ini memang sangat selesa untuk didatangi bersama keluarga atau rakan-rakan.
Bagi sesiapa yang mencari pengalaman menjamu selera yang menyihatkan dalam suasana yang eksklusif, MODU KLGCC sememangnya destinasi yang wajib dikunjungi!
MODU KLGCC
Level 3-11, KLGCC Mall, Bukit Kiara, Kuala Lumpur
Waktu Operasi : Setiap Hari (11 Pagi - 10 Malam)
Hubungi: +60 11 7575 8000
Instagram: @modu.klgcc
SEKIAN













The author will not be responsible for any comment left by the readers. Please comment using polite language. Thank you.