Pantau peniaga ambil kesempatan menjelang GST !!



Ketika Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) diperkenalkan di Australia pada kadar 10 peratus mulai 1 Julai 2000, memang banyak rungutan orang ramai disebabkan mereka kurang faham konsep pelaksanaannya hingga menyebabkan timbul pelbagai persepsi dan tanggapan.
Bayangkan, pada bulan pertama, badan khas yang mengendalikan hal itu, Persaingan dan Suruhanjaya Pengguna Australia (ACCC) menerima lebih 60,000 aduan yang dihantar melalui talian serta aduan lisan pengguna.Aduan itu kemudiannya semakin menurun dan selepas enam bulan, kadar graf aduan semakin statik, sekali gus membuktikan rakyat atau pengguna boleh menerima dan mula memahami konsepnya.
Di Malaysia mungkin situasi yang sama akan berlaku apabila GST diperkenalkan pada kadar enam peratus bermula Rabu ini, ataupun jumlah aduannya lebih banyak daripada itu kerana Australia ketika itu mempunyai 11 juta penduduk berbanding hampir 30 juta rakyat Malaysia.
Malaysia juga boleh belajar daripada model GST Australia yang memberi tanggungjawab kepada ACCC untuk memainkan peranan aktif memberikan penerangan kepada rakyat, menerbitkan buku panduan, risalah, panduan harga dan diberi tanggungjawab memantau pelaksanaan GST.
'Permainan' politik
Badan seumpama itu perlu diwujudkan di Malaysia kerana setakat ini, terlalu banyak kekeliruan yang berlaku. Itu belum dikira 'permainan politik' pihak tertentu yang mahu menakutkan rakyat.Hakikatnya, memang sudah tiba masa kerajaan melakukan pembaharuan kerana sejak GST mula dilaksanakan di Perancis pada tahun 1950-an sehingga Disember 2014, sebanyak 169 negara daripada 193 negara seluruh dunia sudah melaksanakannya.
Dalam kalangan tujuh negara Asia Tenggara, hanya Malaysia, Myanmar dan Brunei saja yang belum memulakan GST dan bermula 1 April ini, angka itu berubah selepas Indonesia melaksanakan GST pada tahun 1984, diikuti Thailand (1992); Singapura (1993); Filipina (1998); Laos (1999); Vietnam (1999) dan Kemboja (2009).
Itu fakta sejarah kerana ada kebimbangan besar yang melanda pengguna ketika ini. Ia mudah diteka kerana perkara utamanya selain terpaksa membayar kos tambahan ialah rakyat tidak mendapat maklumat cukup mengenai senarai barang, kadar kenaikan dan eksploitasi peniaga.
Buku Panduan GST

Walaupun sudah banyak maklumat disebarkan, ia dilihat belum menyeluruh. Bahkan buku Panduan Harga Pengguna yang dicetak khas untuk orang ramai juga sukar diperoleh. Buku panduan yang dicetak mengikut zon itu sangat penting untuk pengguna jadikan panduan.
Difahamkan, jumlah yang dicetak mencecah dua juta naskhah dan diedar di setiap kawasan Parlimen, pejabat kerajaan, pihak berkuasa tempatan (PBT) dan kawasan tumpuan ramai.Buku setebal 26 muka surat itu secara jelas memuatkan maklumat senarai barang yang tidak dikenakan GST, perkhidmatan yang dikecualikan serta perbandingan harga sebelum dan selepas GST.
Penulis, sama seperti pengguna lain juga bimbang peniaga akan menaikkan harga sesuka hati, bahkan premis atau perniagaan yang tidak berdaftar dengan Kastam Diraja Malaysia (KDRM) untuk mengutip GST juga akan mengaut untung.
Bagaimana pengguna boleh memastikan kedai mana yang berdaftar atau tidak? Penulis mencadangkan, lebih baik kerajaan melalui KDRM atau Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) menggunakan mekanisme sijil atau logo tertentu.
Contohnya sama seperti penggunaan sijil dan logo HALAL oleh Jabatan Kemajuan Agama Islam (JAKIM). Ia memudahkan pengguna untuk memilih dan membuat aduan jika ada yang mengambil kesempatan.Mungkin juga perlu diadakan poster senarai barangan yang dikenakan GST mengikut jenis perniagaan. Pengguna juga perlu tahu apa barangan yang dikategorikan berada dalam senarai penurunan harga, tiada perubahan harga atau mengalami kenaikan harga.
Contoh paling mudah, harga semasa sekilo bawang kecil merah (Thailand) ialah RM9.40 dan harga baharu selepas GST sepatutnya RM9.38, manakala harga sekilo tepung gandum GP (berbungkus) kekal pada harga RM1.35. Harga tepung jagung (berbungkus) 400 gram akan naik 10 sen kepada RM1.90.
Maklumat seperti inilah yang diperlukan pengguna. Jika diteliti buku panduan harga pengguna, disenaraikan 500 jenis barangan terpilih dan 140 daripadanya mengalami kenaikan harga, 29 kekal harga lama. Ini bermakna baki 331 lagi barangan akan turun harga.
Daripada jumlah ini, 66 peratus barangan keperluan mengalami penurunan harga, tetapi maklumat yang disebarkan kepada pengguna lebih kepada untuk menakutkan, bukannya maklumat sebenar.
Sebar maklumat tepat
Di sini pentingnya peranan pelbagai pihak untuk menyebarkan dan menerima maklumat tepat. Atas sebab itu Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Hasan Malek sering memberi peringatan kepada peniaga supaya sentiasa mempamerkan tanda harga, sama ada ia merangkumi enam peratus, kadar sifar atau dikecualikan GST.
Pengguna pula boleh berperanan melaporkan salah laku peniaga untuk dikenakan tindakan mengikut Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011; Akta Perihal Dagangan 2011; Akta Perlindungan Pengguna 1999 dan Akta Cukai Barang dan Perkhidmatan 2014.

Oleh Mohd Azis Ngah

2 Comments

The author will not be responsible for any comment left by the readers. Please comment using polite language. Thank you.


  1. belum GST dilancarkan,peniaga dah ramai amik kesempatan..yang teruknya pengguna la kan...

    ReplyDelete

Post a Comment

The author will not be responsible for any comment left by the readers. Please comment using polite language. Thank you.


Post a Comment

Previous Post Next Post