Kisah Seram : Tumpang Basuh Baju di Asrama



Assalamualaikum dan salam sejahtera



Assalamualaikum. Di sini aku akan ceritakan mengenai pengalaman seram yang pernah dilalui oleh seorang warden asrama. Cikgu Shafie merupakan seorang warden asrama blok Bestari di Sekolah Menengah Teknik Batu Pahat, Johor. Beliau adalah seorang warden asrama yang disanjungi oleh anak-anak jagaannya. Pada waktu itu, Cikgu Shafie adalah antara orang yang terawal memiliki motosikal Yamaha 125Z sepanjang pengetahuan aku. Beliau digelar ‘Papa’ secara underground oleh pelajar-pelajar yang menghuni blok asrama Bestari.

Untuk pengetahuan pembaca , sepanjang menginap di asrama, aku mempunyai hubungan yang baik dengan Cikgu Shafie dan kalau nak kena hukuman apa-apa akulah di antara pelajar favourite yang akan kena dulu. Bukan sakit mana pun kalau kena denda dengan Cikgu Shafie ini. Di sini aku akan kongsikan bersama peminat-peminat kisah seram satu pengalaman yang pernah dialami oleh Cikgu Shafie. Ceritanya bermula seperti di bawah;

Kejadian ini berlaku pada suatu hari semasa cuti penggal persekolahan. Pada hari Jumaat sebelum cuti bermula, semua pelajar sekolah menengah teknik akan pulang ke kampung masing-masing setelah selesai menunaikan solat Jumaat. Jika lebih berani sebelum Jumaat lagi sudah cabut balik atau keluar ponteng sembahyang Jumaat melepak di bus stand Batu Pahat dan kad balik kampung yang perlu ditandatangani oleh warden bertugas akan di tolong ambil oleh kawan-kawan yang lain.


Lebih kurang pukul 4 petang, asrama sudah pun kosong. Cikgu Shafie melihat-lihat kawasan sekeliling blok bagi memastikan tiada lagi pelajar yang berada di dalam kawasan asrama bagi tujuan mengunci pintu blok asrama. Ia adalah prosedur biasa bagi mengelakkan pencuri atau sesiapa saja menceroboh masuk ke dalam blok asrama memandangkan cuti penggal selama seminggu ke atas. Ada lagi seorang dua pelajar yang tengah menunggu keluarga datang menjemput mereka pulang setelah habis waktu bekerja pada jam 5 petang. Cikgu Shafie tidak kisah.

Pada waktu remang-remang senja nak masuk maghrib gitu, Cikgu Shafie sekali lagi naik ke setiap tingkat blok asrama bagi menyalakan lampu kalimantang. Beliau berasa puas hati setelah diperiksanya tiada pelajar lagi yang masih berada di dalam blok asrama Bestari. Selepas Isyak, Cikgu Shafie berada di tingkat bawah untuk memasang lampu akuariumnya. Dijengah-jengah juga ruang prep belajar yang juga berada di tingkat bawah. Sah memang tiada sesiapa pun yang berada di dalam blok kecuali keluarga Cikgu Shafie sahaja. Warden-warden asrama yang lain pula berada di blok asrama masing-masing. Mereka juga seperti beliau, berasa lebih aman setiap kali cuti penggal bermula. Tidaklah ikan-ikan belaan warden diusik dan diganggu kalau pelajar tiada di asrama.

Pada jam 1 pagi, Cikgu Shafie terdengar sesuatu di tepi blok Bestari bahagian belakang. Bunyinya seperti ada orang sedang membasuh pakaian. Seperti yang telah dimaklumkan di atas, kita semua dah tahu memang blok asrama semua dah kosong, jadi siapakah pula gerangan orang yang membasuh itu? Kalau nak dikatakan pekerja dewan makan yang berada berhampiran blok asrama, tidak logiklah pula. Kalau hennak dikatakan bakal guru di maktab sebelah sekolah menengah teknik ini lagilah tidak logiknya. Jadi persoalannya di sini, siapakah orangnya yang membasuh di belakang blok asrama tengah-tengah malam buta seperti ini?

Disebabkan perasaan ingin tahu, lantas Cikgu Shafie keluar menjenguk ke belakang blok asrama. Sah, memang ada orang yang tengah membasuh di situ. “Siapa tu?” tanya Cikgu Shafie sambil menghampiri kawasan basuhan yang agak gelap. Tetapi pertanyaan Cikgu Shafie tidak diendahkan oleh orang yang sedang membasuh itu. Dia hanya mendiamkan diri dan senyap tanpa sebarang jawapan. Kemudian, Cikgu Shafie menyalakan suis lampu yang berada di sebalik dinding.

Namun apa yang dilihatnya adalah seorang lelaki muda sedang membasuh pakaian yang penuh berdarah-darah dari atas pelantar basuhan sehingga ke lantai penuh dengan darah yang mengalir. Dia tetap tekun membasuh tanpa mempedulikan kehadiran Cikgu Shafie. Tiba-tiba basuhannya terhenti dan secara perlahan-lahan beliau menoleh ke arah tempat Cikgu Shafie sedang berdiri. “Tumpang kejap”, kata lelaki muda tersebut kepada Cikgu Shafie.

Image result for hantu asrama

Menurut Cikgu Shafie muka lelaki muda tersebut amat mengerikan. Kepalanya terbelah di tengah-tengah dan dapat dilihat punca darah yang mengalir laju dan melimpah-limpah ke atas baju basuhannya keluar dari luka besar di kepalanya itu. Isi putih kelihatan jelas pada bahagian kepalanya yang luka parah itu. Serta-merta bulu roma Cikgu Shafie meremang dan terkaku sebentar dengan pemandangan ngeri di depan matanya. Namun begitu, Cikgu Shafie buat-buat tidak dengar dan berlalu dari situ.

p/s: Cerita asal ditulis oleh gitarmahogani dari laman web Cari Forum.


Sekian

3 تعليقات

The author will not be responsible for any comment left by the readers. Please comment using polite language. Thank you.


إرسال تعليق

The author will not be responsible for any comment left by the readers. Please comment using polite language. Thank you.


Post a Comment

أحدث أقدم