Umbrella Buktikan Belum "HILANG" Magis

Assalamualaikum dan salam sejahtera

UMBRELLA BUKTIKAN BELUM “HILANG” MAGIS| Gelombang kebangkitan barisan artis 90an terus disemarakkan dengan kembalinya kumpulan Umbrella dengan lagu berjudul “Hilang”.

Diumumkan melalui akaun media sosial mereka pada 26 Ogos 2020 yang lalu, video muzik Hilang telah ditonton lebih 100 ribu kali dalam masa 3 hari sejak ditayangkan di saluran YouTube MVM Production. Pengumuman rasmi kemunculan kembali Umbrella diadakan menerusi sebuah sidang media yang bertempat di Summit Hotel KL City Centre, Jalan Raja Laut, Kuala Lumpur, 29 Ogos lalu.

Walaupun sidang media berlangsung mengikut SOP (Standard Operating Procedure) di bawah gaya hidup norma baharu, ia tetap meriah dengan kehadiran barisan media arus perdana dan digital, blogger dan selebriti media sosial, serta penggiat penggiat industri hiburan tempatan. Majlis telah dimulakan dengan persembahan tiupan saksofon lagu Hilang, diikuti dengan perarakan ahli-ahli Umbrella masuk ke dalam dewan  dengan iringan tiupan beg paip. Tetamu-tetamu juga telah dihiburkan dengan persembahan daripada Umbrella yang menyanyikan lagu Hilang secara akustik.  

Setelah hampir 10 tahun tidak merakamkan lagu baharu, Umbrella kembali dengan anggota asal kumpulan ini iaitu Hafizz, Rizal, Saiful dan Zarul, dan mempertaruhkan lagu ciptaan komposer Shouk Azis bersama-sama tiga orang komposer muda berbakat besar, iaitu Bidin Alzaifa, Zabbe Zharin dan Riff.

Melihat kemunculan semula artis-artis sezaman Umbrella membuatkan mereka turut sama rasa teruja untuk kembali beraksi di pentas seni tempatan. Walaupun menaruh harapan agar kemunculan Umbrella kali ini masih diterima ramai, sambutan hangat terhadap video muzik Hilang melangkaui sasaran mereka dan membuktikan kehadiran semula Umbrella diterima masyarakat.


Umbrella menyifatkan trend promosi lagu masa kini yang lebih cenderung menggunakan platform digital adalah cabaran utama yang terpaksa mereka tangani menyedari populariti Umbrella tidak mungkin dapat menandingi artis-artis Milenial yang lebih berpengaruh di
media sosial.

Berlatarbelakangkan Tasik Biru Kundang di Rawang, Selangor, penggambaran video muzik Hilang disiapkan dalam masa satu hari, di bawah arahan komposer Shouk Azis. Video muzik berkonsepkan naratif ala 90an, diilhamkan oleh pengurus Umbrella, Dato’ Rizal, menampilkan kesemua ahli kumpulan Umbrella, di samping bintang muda, Natasha Elyzza, sebagai teraju utama. Turut menyerikan video muzik berdurasi 3 minit 52 saat ini adalah penampilan eksklusif pelakon versatil, Zulin Aziz, yang telah sudi bekerjasama dengan Umbrella sebagai tanda sokongan terhadap kumpulan kegemarannya.

Selaku orang yang bertanggungjawab ke atas kebangkitan semula Umbrella, Saiful memberitahu bahawa idea untuk bergabung bagi merakamkan lagu Hilang tercetus apabila komposer Shouk Azis menawarkan Umbrella untuk menyanyikan lagu Hilang ciptaannya. “Pertama kali saya mendengar versi demo lagu Hilang saya sudah tertarik kerana alunan melodi persis lagu-lagu lama Umbrella tetapi dengan suntikan yang lebih segar. Saya telah minta izin daripada Shouk Azis untuk kongsikan lagu ini dengan Hafizz,  Rizal dan Zarul. Seperti saya, mereka juga jatuh hati dengan lagu ini dan kami sepakat mahu bersatu kembali bagi merakamkan lagu Hilang” ujar Saiful.  


Menurut gitaris Umbrella, Hafizz, dengan kekuatan melodi dan susunan muzik yang menggabungkan elemen 90an dan moden, lagu Hilang bersesuaian dengan halwa telinga masyarakat Melayu bukan sahaja di Malaysia, malah di Singapura, Brunei mahupun di Indonesia. Melihat trend penyanyi muda masa kini yang menerima sambutan hebat dan menjadi viral di media sosial dengan lagu-lagu dengan melodi 90an, Rizal, pemain bass Umbrella, yakin lagu Hilang mampu bersaing dengan lagu- lagu balada sedia ada.

Selaku penyanyi, Zarul berkata kemampuan penyanyi-penyanyi era 90an menangkap jiwa pendengar menjadikan sesebuah lagu itu diterima baik sehingga kini. Bersetuju dengan ahli kumpulannya yang lain, Zarul percaya pertaruhan Umbrella dengan lagu Hilang berpotensi untuk mengulangi kejayaan lagu Ramalanku Benar Belaka, yang pernah menjadi satu fenomena yang mengangkat populariti Umbrella satu ketika dahulu. 

Lagu Hilang telahpun berada di semua platform digital muzik seperti Spotify, Joox, Apple Music dan Deezer sejak 26 Ogos 2020 yang lalu. 

Klik link berikut untuk menonton video muzik Hilang daripada Umbrella: https://youtu.be/wijXnHd3V0o

Dapatkan maklumat dan perkembangan terkini mengenai Umbrella di akaun media sosial:

SEKIAN

4 comments:

  1. Mereka org lama tapi semangat dan jiwa mereka muda

    ReplyDelete
  2. tak dengar pun lagi lagu diaorang ni. Harap masih mampu menyengat macam dulu la..

    ReplyDelete
  3. This is such a great resource that you are providing and you give it away for free. I love seeing blog that understand the value of providing a quality resource for free. cantilever umbrella

    ReplyDelete

The author will not be responsible for any comment left by the readers. Please comment using polite language. Thank you.


Powered by Blogger.