Cara Daftar SSM Online (Pendaftaran Perniagaan)

Assalamualaikum dan salam sejahtera

Cara Daftar SSM Online (Pendaftaran Perniagaan)

Cara Daftar SSM Online (Pendaftaran Perniagaan) | Sekarang ramai yang mempunyai perniagaan sendiri, sama ada perniagaan online mahupun perniagaan offline. Malah, sekiranya anda ingin berniaga di Lazada pun anda perlu berdaftar dengan SSM. Ada mereka yang belum pernah daftar perniagaan mereka di SSM lagi kerana tidak tahu bagaimana caranya. 

Sebenarnya mudah sahaja sekarang ini, kita boleh mendaftar perniagaan SSM secara online sahaja. Sebelum kita lihat cara daftar perniagaan di SSM, mari kita lihat sedikit sebanyak kelebihan apabila perniagaan kita berdaftar dengan SSM.

KELEBIHAN DAFTAR SSM (SURUHANJAYA SYARIKAT MALAYSIA)


a) PERNIAGAAN LEBIH DIYAKINI & DIPERCAYAI

Sekiranya perniagaan kita sudah berdaftar dan mempunyai nombor SSM, pasti orang ramai akan lebih yakin untuk berurus niaga dengan kita kerana kita telah berdaftar.

Tambahan pula sekarang ni banyak kes ditipu peniaga dan sebagainya, jadi bila dah berdaftar ni, lagi senang untuk pembeli percaya dengan kita.

b) PERNIAGAAN YANG SAH

Tahukah anda Akta pendaftaran Perniagaan 1956 menyatakan sebarang perniagaan yang memberikan keuntungan mesti berdaftar dengan Suruhanjaya? 

Ya! Jadi, bila kita dah mendaftar, senanglah bila ada masalah ketika urusan perniagaan atau sebagainya kerana kita mempunyai dokumen yang sah.

c) MURAH & SENANG

Sebenarnya sangat mudah untuk mendaftar SSM. Buat online pun dah boleh sekarang ni. Selain itu, harga nak mendaftar pun murah sangat. Apalah sangat nak dibandingkann dengan keuntungan perniagaan anda tu kan? Hehe. 


CARA MEMBUAT PENDAFTARAN PERNIAGAAN BARU 

Cara Daftar SSM Online (Pendaftaran Perniagaan)

Perniagaan meliputi tiap-tiap bentuk tred, perdagangan, pertukangan, pekerjaan, profesion atau aktiviti-aktiviti lain yang dijalankan bagi maksud-maksud mendapat keuntungan, tetapi tidak meliputi apa-apa jawatan atau penggajian atau apa-apa pengusahaan amal atau apa-apa kerja yang dinyatakan dalam jadual di bawah peruntukan Akta Pendaftaran Perniagaan 1956 (APP 1956). Perniagaan yang boleh didaftarkan di bawah APP 1956 hanya perniagaan beroperasi di Malaysia Barat iaitu meliputi Semenanjung Malaysia dan Wilayah Persekutuan dan bentuk perniagaan adalah seperti berikut: 

1. Perniagaan Milik Tunggal - perniagaan dimiliki sepenuhnya oleh seorang pemilik. 

2. Perniagaan Perkongsian - perniagaan dimiliki oleh sekurang- kurangnya dua (2) orang dan tidak melebihi daripada dua puluh (20) rakan kongsi. 

Bagaimana cara daftar SSM secara online? 

Berikut diberikan panduan yang ringkas dan mudah untuk anda mendaftarkan perniagaan anda di SSM secara online. 

CARA MENDAFTAR PERNIAGAAN SSM SECARA ONLINE

Terdapat dua cara untuk membuat permohonan perdaftaran perniagaan dan juga pembaharuan perniagaan syarikat anda. pertama adalah melalui kaunter di mana-mana cawangan pejabat SSM seluruh Malaysia. Kedua pula adalah melalui aplikasi dalam talian di laman SSM iaitu ezbiz online.

KLIK SINI 👉  LAMAN EZBIZ SSM 

Cara Daftar SSM Online (Pendaftaran Perniagaan)

1) Pertama, pemohon perlu tekan tab 'Sign Up' untuk mereka yang mendaftar bagi kali pertama. Isi ruangan yang perlu diisi dengan betul ( No Kad Pengenalan dan Nama Penuh )

2) Kemudian, anda perlu create ID dan Kata Laluan. Bagi pemohon yang telah mempunyai akaun, anda boleh masukkan username dan Kata laluan yang telah anda buat sebelum ini. 

3) Seterusnya, pemohon perlu ke kaunter SSM yang berdekatan untuk pengesahan MyKad dan aktifkan ID anda.

4) Di kaunter SSM, pemohon akan melalui proses Pengaktifan ID dengan mengesahkan cap jari anda untuk tujuan keselamatan maklumat. Proses ini adalah penting untuk memastikan pemohon adalah pemilik sebenar perniagaan tersebut dan dapat mengelakkan sebarang penipuan dalam perdaftaran pemilik perniagaan. 

5) Setelah selesai, pemohon boleh menggunakan akaun di ezbiz ssm untuk perdaftaran perniagan anda di laman web ezbiz. 

SERVIS DI EZBIZ SSM

Sebenarnya dengan adanya akaun di Ezbiz ni, kita bukan sahaja boleh mendaftar perniagaan, tetapi juga ada beberapa lagi perkhidmatan yang disediakan untuk membantu kita dalam urusan SSM.

a) Pendaftaran Perniagaan Baru
b) Perubahan Butiran Perniagaan
c) Pembaharuan perniagaan
d) Penamatan perniagaan
e) Perkhidmatan Kompaun 

MAKLUMAT LANJUT PENDAFTARAN PERNIAGAAN SSM

Okay, bahagian seterusnya adalah beberapa perkara yang anda perlu tahu sebelum mendaftar perniagaan di SSM, termasuklah dari segi nama perniagaan, syarat-syarat untuk mendaftar, bayaran yang dikenakan, serta panduan am berkaitan pendaftaran perniagaan. 

PROSEDUR PENDAFTARAN PERNIAGAAN (SSM)

1. Pendaftaran boleh didaftarkan menggunakan nama sendiri atau nama ‘Tred’. 
  • Nama sendiri menggunakan nama seperti di dalam kad pengenalan tidak perlu memohon kelulusan nama perniagaan. Contoh: Ruslan bin Mohamed, Siow Ah Thai, Ramasamy a/l Mutusamy. 
  • Nama Tred ialah nama perniagaan yang dicadangkan dan perlu mendapat kelulusan daripada Pendaftar Perniagaan, Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) terlebih dahulu. Contoh: Kedai Dobi Mewah, Lucky Star Catering, ABS Unggul Enterprise. 
2. Lengkapkan Borang Pendaftaran Perniagaan Baru (Borang A) dengan mengisi maklumat seperti berikut: 
  •  Nama perniagaan 
  •  Tarikh permulaan perniagaan 
  •  Alamat utama perniagaan 
  •  Alamat cawangan perniagaan (jika ada) 
  •  Maklumat pemilik dan rakan kongsi 
  •  Jenis perniagaan yang akan dijalankan 
  •  Kemukakan salinan perjanjian perkongsian (jika ada) 
3. Pemilik dan rakan kongsi hendaklah menandatangani di ruangan maklumat pemilik dan di ruangan pengesahan oleh pemilik tunggal/rakan kongsi. 

4. Pemilik / semua rakan kongsi perlu hadir untuk urusan pendaftaran. 

5. Dokumen yang perlu dilampirkan: 
  • Surat Kebenaran atau Surat Sokongan bagi jenis perniagaan Taska (Jabatan Kebajikan Masyarakat), Tadika, Pusat Tuisyen, Sekolah/Kolej Pendidikan (Kementerian/Jabatan Pendidikan) 
  • Surat kebenaran atau sokongan daripada agensi berkaitan sekiranya diperlukan oleh Pendaftar Perniagaan 

 SYARAT MENDAFTAR PERNIAGAAN

1. Pemilik mestilah Warganegara Malaysia atau Penduduk Tetap 

2. Pemilik mestilah berumur 18 tahun ke atas 

3. Pemilik/rakan kongsi sahaja dibenarkan untuk membuat permohonan. 

FI PENDAFTARAN PERNIAGAAN

1. Perniagaan pemilikan tunggal menggunakan nama sendiri seperti di kad pengenalan – RM30.00
2. Perniagaan pemilikan tunggal atau perniagaan perkongsian menggunakan nama tred - RM60.00
3. Pendaftaran cawangan – RM5.00 setiap cawangan. 
4. Cetakan Maklumat Perniagaan – RM10.60 (Termasuk GST). 

PANDUAN AM PENDAFTARAN PERNIAGAAN

1. Perniagaan telah dijalankan dan didaftarkan tidak lewat dari 30 hari dari tarikh permulaan perniagaan. 

2. Pendaftaran baru perniagaan boleh dibuat bagi jangkamasa satu (1) tahun dan tidak melebihi lima (5) tahun pada setiap pendaftaran. 

3. Jenis perniagaan yang didaftarkan tidak menyalahi undang-undang, tidak bersesuaian dengan keselamatan persekutuan, ketenteraman awam atau prinsip moral. 

4. Perakuan Pendaftaran Perniagaan boleh diperolehi dalam masa satu (1) jam dari waktu pembayaran dibuat. 

5. Seseorang yang menjalankan perniagaan tanpa mendaftarkan perniagaan adalah melakukan suatu kesalahan di bawah Akta Pendaftaran perniagaan 1956 dan jika disabit kesalahan dikenakan denda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi dua (2) tahun atau kedua-duanya. 

6. Pemilik perniagaan bertanggungjawab untuk mendapat lesen, permit atau surat kebenaran sewajarnya daripada pihak berkuasa yang berkaitan bagi jenis/aktiviti perniagaan yang dijalankan walaupun pendaftaran perniagaan tersebut telah didaftarkan di SSM.

KLIK SINI 👉 PDF PROSEDUR LENGKAP DAFTAR SSM  disediakan oleh pihak SSM

Sekian sahaja untuk perkongsian kali ini. Diharap perkongsian kali ini sedikit sebanyak dapat membantu dan memudahkan anda dalam mendaftar perniagaan anda di SSM secara online.

Sekiranya anda mempunyai sebarang pertanyaan lanjut, mahu mendapatkan info terkini dan sebagainya, anda boleh ke :-
Suruhanjaya Syarikat Malaysia

Email : enquiry@ssm.com.my
Telefon : 03-7721 400

SEKIAN

3 Comments

The author will not be responsible for any comment left by the readers. Please comment using polite language. Thank you.


Post a Comment

The author will not be responsible for any comment left by the readers. Please comment using polite language. Thank you.


Post a Comment

Previous Post Next Post