6 Amalan Yang Digalakkan Di Bulan Ramadhan

Assalamualaikum dan salam sejahtera

6 Amalan Yang Digalakkan Di Bulan Ramadhan

6 AMALAN YANG DIGALAKKAN DI BULAN RAMADHAN

Bulan Ramadhan adalah antara bulan yang ditunggu-tunggu oleh sekalian umat Islam dan bulan ini mempunyai kelebihan daripada bulan-bulan yang lain. Sebagaimana yang kita maklum bahawa bulan Ramadhan adalah bulan ibadah. Di bulan ini merupakan peluang untuk melipat gandakan lagi amal ibadah kita kepada Allah Subhanahu Wata'ala sama ada amalan-amalan fardhu dan sunat. Maka amat beruntunglah orang-orang yang merebut ganjaran yang telah dijanjikan oleh Allah Subhanahu Wata'ala dan amatlah rugi bagi mereka yang mensia-siakannya.

Sebagaimana sabda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassallam, daripada Hurairah Radiallahu Anhu berkata: Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassallam bersabda: Setiap amalan kebaikan yang dilakukan oleh anak Adam akan dilipat gandakan dengan sepuluh kebaikan hingga tujuh ratus kali ganda. Allah Subhanahu Wata'ala berfirman yang tafsirnya: Kecuali amalan puasa. Amalan puasa tersebut adalah untukKu, Aku sendiri yang akan membalasnya. Disebabkan dia telah meninggalkan syahwat dan makanan keranaKu. Bagi orang yang berpuasa akan mendapatkan dua kebahagiaan iaitu ketika dia berbuka dan ketika berjumpa dengan Tuhannya. Sesungguhnya bau mulut orang yang berpuasa adalah lebih harum disisi Allah daripada bau kasturi. {Riwayat Imam Muslim}.


Sesungguhnya bulan Ramadhan merupakan waktu terbaik untuk kita mendidik diri kita ke arah kebaikan kerana pada bulan ini kita bukan sahaja diwajibkan untuk berpuasa dan mengawal hawa nafsu, bahkan kita dituntut untuk memperbanyakkan amalan-amalan sunat. Antara amalan-amalan sunat yang dianjurkan untuk dilakukan disepanjang bulan Ramadhan adalah:

6 Amalan Yang Digalakkan Di Bulan Ramadhan

#1 Bersahur. Ulamak sepakat mengatakan bahawa hukum makan sahur adalah sunat. Sahur bukan sahaja memberikan tenaga untuk kita berpuasa di siang hari malah ia juga mengandungi keberkatan. Bersahur merupakan perbuatan yang membezakan puasa umat Islam dengan puasa penganut agama lain. Sabda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassallam:

عن عمرو بن العاص قال: قال رسول الله صلى الله عليه وسلم: فصل ما بينصيامنا وصيام أهل الكتاب أكتاب أكلة السحر {رواه إمام مسلم}

Maksudnya:

Daripada Amru bin Asd berkata: Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassallam bersabda: Sesungguhnya perbezaan puasa kita (umat Islam) dengan puasa ahli kitab (Yahudi dan Nasrani) adalah makan sahur.

6 Amalan Yang Digalakkan Di Bulan Ramadhan

#2 Memperbanyakkan amalan sedekah, tidak kira kecil atau besar, banyak atau sedikit adalah sangat digalakkan dalam Islam terutama sekali dalam bulan Ramadhan kerana dengan bersedekah dapat meringankan beban mana-mana anggota masyarakat yang berhajat dan memerlukan bantuan.

6 Amalan Yang Digalakkan Di Bulan Ramadhan

#3 Sembahyang sunat Terawih secara berjemaah di masjid-masjid, surau-surau dan balai-balai ibadat kerana sesungguhnya barangsiapa yang menghidupkan malam-malam di bulan Ramadhan dengan memperbanyakkan sembahyang sunat kerana iman dan mengharapkan ganjaran daripada Allah Subhanahu Wata'ala akan diampunkan dosa-dosanya yang telah lalu. Sebagaimana sabda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassallam yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah Radiallahu Anhu, bahawa Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassallam bersabda: Sesiapa yang berdiri (beribadah) pada malam Ramadhan kerana iman dan mengharapkan ganjaran daripada Allah, diampunkan dosa-dosanya yang telah lalu. {Riwayat Imam Bukhari}

#4 Sembahyang sunat Witir, jangan sekali-kali meninggalkan sembahyang sunat Witir kerana ia merupakan sembahyang sunat Muaakad (sunat yang dituntut) yang mengiringi sembahyang sunat Terawih. Sembahyang Witir bukan hanya dikhususkan di bulan Ramadhan sahaja bahkan sunat didirikan pada setiap malam. Sabda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassallam:

عن على بن أبى طالب أن رسول الله صلى الله عليه وسلم قال: إن الله يحب الوتر فأوتروا يا أهل القرآن {رواه الإمام الترمذى}

Maksudnya:

Daripada Ali bin Ali Talib, sesungguhnya Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassallam bersabda: Sesungguhnya Allah itu Tunggal, suka kepada yang ganjil, maka dirikan sembahyang Witir wahai ahli Al-Qur’an (Wahai orang-orang yang beriman dengan Al-Qur’an).

6 Amalan Yang Digalakkan Di Bulan Ramadhan

#5 Membaca Al-Qur’an, bulan Ramadhan merupakan bulan Al-Qur’an, oleh itu, perbanyakkanlah membaca Al-Qur’an pada bulan Ramadhan setiap waktu sekurang-kurangnya satu juz setiap hari agar dapat khatam Al-Qur’an sekali dalam bulan Ramadhan.

#6 Amalan memberi makan untuk berbuka puasa. Selain daripada bersedekah, amalan memberi makan kepada orang yang berpuasa juga amat digalakkan. Sabda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassallam:

عن زيد بن خالد الجهني رضى الله عنه قال: قال رسول الله صلى الله عليه وسلم: من فطر صائما كان له مثل أجره غير أنه لا ينقص من أجر الصائم شيء {رواه إمام الترمذى}

Maksudnya:

Daripada Zaid bin Khalidil Jahni Radiallahu Anhu berkata: Bersabda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassallam: Sesiapa memberi makan orang-orang yang berpuasa, maka baginya pahala seperti orang yang berpuasa tersebut, tanpa mengurangi pahala orang yang berpuasa itu sedikit pun juga.

KESIMPULANNYA

Didalam bulan Ramadhan, lazimkan lidah kita dengan zikir dan selawat. Hiasilah pandangan mata kita dengan merenung dan membaca ayat-ayat Al-Qur’an. Pada malamnya pula, usahakanlah agar kita tidak meninggalkan sembahyang sunat Terawih, Witir dan Tahajjud. Jadikanlah bulan Ramadhan sebagai penggerak yang membawa kepada perubahan yang besar dalam diri kita dan mampu mendidik hati dan jiwa kita untuk sentiasa patuh mengerjakan segala yang diperintahkan dan meninggalkan segala yang dilarang oleh Allah Subhanahu Wata'ala. Mudah-mudahan ibadah puasa kita kerjakan sepanjang bulan Ramadhan ini diterima dan mendapat ganjaran serta keredhaan daripada Allah Subhanahu Wata'ala. Amin Ya Rabbal Alamin

Surah Al-Isra’ ayat 19:

أعوذ بالله من الشيطان الرجيم

وَمَنْ أَرَادَ الْءَاخِرَةَ وَسَعَىٰ لَهَا سَعْيَهَا وَهُوَ مُؤْمِنٌ فَأُو۟لٰٓئِكَ كَانَ سَعْيُهُم مَّشْكُورًا

صدق الله العظيم

“Dan sesiapa yang menghendaki kebahagiaan hidup akhirat dan berusaha mengerjakan amal kebajikan untuk tujuan itu dengan usaha yang bersungguh-sungguh sedang dia beriman maka mereka itulah yang usaha mereka dikurniakan ganjaran yang baik (diberi pahala)”


SEMOGA BERMANFAAT

SUMBER : AMALAN RAMADHAN | Google Image

2 comments:

  1. alhamdulillah puasa pada kali ni dapat berjemaah di masjid dah :)

    ReplyDelete
  2. insyaAllah semoga kita semua dberi peluang untuk merasai keindahan di bulan Ramadhan

    ReplyDelete

The author will not be responsible for any comment left by the readers. Please comment using polite language. Thank you.


Powered by Blogger.