Mengapa Institusi Beraja di Malaysia Perlu Dikekalkan?

Assalamualaikum dan salam sejahtera


Mengapa Institusi Beraja di Malaysia Perlu Dikekalkan?  | Artikel kali ini adalah mengenai Institusi Raja di Malaysia. Mungkin ada antara kita yang masih ingat tentang perkara ini ketika diajar dalam matapelajaran Sejarah di sekolah menengah. Mungkin juga ada antara kita yang sudah lupa.  Artikel ini diterbitkan untuk memberikan penerangan tentang fungsi dna peranan  Institusi Beraja di Malaysia. Baru-baru ini  agak kecoh dan rakyat dan orang awam mula memperkatakan tentang institusi beraja terutamanya di ruangan Twitter.  Bukanlah untuk mempertahankan mana-mana pihak, artikel ini adalah bermaksud untuk memberi penerangan sahaja, manakala untuk membuat keputusan tentang pihak mana yang betul, anda boleh tafsirkan sendiri.

SISTEM RAJA BERPELEMBAGAAN DI MALAYSIA


Malaysia adalah antara negara di dunia yang masih mengamalkan sistem pemerintahan Raja Berperlembagaan. Ia merupakan warisan sistem politik yang masih kekal sehingga ke hari ini. Institusi Raja di Malaysia adalah satu institusi traditional yang sedia ada sebagai teras sistem pemerintah dan pentadbiran sesebuah kerajaan Melayu yang telah muncul berabad-abad lamanya.

Institusi Raja yang bertapak di negara ini telah mengalami evolusi daripada sistem Beraja Mutlak kepada sistem Raja Berperlembagaan. Dalam sistem Beraja Mutlak, Raja mempunyai kuasa mutlak dalam setiap pemerintahan dan pentadbiran negeri dengan dibantu oleh pembesar-pembesar yang dilantik khususnya sebelum penjajahan Inggeris. Raja adalah tonggak berpusatnya segala kuasa dan arahan perundangan. Raja juga adalah penyusun adat istiadat negara.

Manakala dalam sistem Raja Berperlembagaan, Raja harus bertindak mengikut peruntukan perlembangaan yang telah ditetapkan sekaligus menutup ruang kepada kuasa mutlak. Menerusi sistem Raja Berperlembagaan, DYMM Raja-Raja bagi negeri-negeri hendaklah bertindak atas nasihat Majlis Eksekutif yang diketuai oleh Menteri Besar. Sementara di peringkat Persekutuan, Yang di-Pertuan Agong hendaklah bertindak atas nasihat Jemaah Menteri yang diketuai oleh Perdana Menteri dalam semua perkara kecuali dalam beberapa perkara yang disebut sebagai kuasa budi bicara.


PERANAN & SUMBANGAN RAJA-RAJA MELAYU DALAM PERKEMBANGAN ISLAM

Sejarah Alam Melayu telah merakamkan besarnya peranan dan sumbangan Raja-Raja Melayu dalam  perkembangan Islam. Kesan dari pemerintahan dan pengislaman Raja-Raja Melayu menjadi titik tolak kepada pengembangan Islam di Alam Melayu. Islam berkembang dengan gemilangnya di Tanah Melayu dengan menjadi cara hidup yang mencorak sistem politik dan kebudayaan masyarakat pada masa itu. Kewibawaan Raja-Raja Melayu berkaitan Islam telah membawa kegemilangan kepada Alam Melayu dan menjadikan Tanah Melayu sebagai pusat perdagangan yang masyhur. Undang-undang Islam juga telah digunakan oleh kesultanan Melayu Lama seperti Hukum Kanun Melaka, Undang-undang 99 dan banyak lagi.

PERANAN & SUMBANGAN RAJA-RAJA MELAYU KETIKA KEDATANGAN KUASA BARAT

Peranan dan sumbangan Institusi Raja semasa kedatangan kuasa Barat di Tanah Melayu juga amat besar antaranya berdiplomasi dengan pihak British sehingga Institusi Raja dapat dikekalkan dan agama Islam berjaya dipertahankan walaupun beberapa negara beraja lain telah hilang sistem beraja bahkan agama yang berada di bawah naungan Raja juga telah hilang dari ruang perundangan. Contohnya di India, bukan sahaja sistem beraja yang hilang tetapi agama yang begitu berpengaruh juga telah dikeluarkan dari perundangan sehingga Perlembagaan India yang merdeka mengisytiharkan negara tersebut sebagai sebuah negara sekular. Sedangkan agama Hindu begitu sebati dengan negara India sebelum penjajahan Barat sehingga sekarang.

Selain itu, Raja-Raja Melayu juga telah menjadi benteng penghalang dari memudahkan imperialis British melakukan penjajahan mutlak. Disamping berperanan menjadi benteng yang memelihara adat dan undang-undang Islam yang digunapakai ketika itu diubah dan dibuang sepenuhnya oleh penjajah British. British sekadar berupaya memperkenalkan sistem Residen, satu bentuk penjajahan tidak langsung atau pemerintahan de facto yang masih mengekalkan kedaulatan Raja Melayu. British terpaksa mengadakan rundingan dengan setiap Sultan dan berjaya melakukan penjajahan secara mencantumkan perjanjian-perjanjian yang diperoleh secara berasingan.

 PERKENALKAN SISTEM RAJA BERPELEMBAGAAN

Menjelang kemerdekaan, sistem pemerintahan Raja mutlak telah dimansuhkan dan diperkenalkan sistem berkerajaan dan bernegara yang menggabungkan Institusi Raja dengan institusi rakyat berasaskan konsep Raja Berperlembagaan dan demokrasi berparlimen. Kedaulatan Raja diberikan wajah yang baru dengan dirangkaikan suara rakyat dalam satu ikatan murni. Pentingnya Institusi Raja dapat dilihat dengan jelas dan nyata termaktub di dalam perlembagaan Malaysia. 10 peratus iaitu 19 dari 183 perkara di dalam Perlembagaan Persekutuan adalah perkara-perkara berkaitan Raja yang berperanan penting dalam struktur kerajaan dan struktur Negara Bangsa.

Selain daripada kuasa dan peranan, kedudukan Institusi Raja dijamin oleh Perlembagaan. Antaranya : -
  • Walaupun ahli Dewan Parlimen mempunyai kebebasan untuk membuat apa-apa pernyataan berkaitan Raja-Raja Melayu, namun mereka tidak dibenarkan untuk menganjurkan atau mencadangkan pemansuhan Institusi Raja dalam apa juga prosiding Parlimen (per. 63(5)). 
  • Pindaan Perlembagaan terhadap apa juga peruntukan berkaitan Majlis Raja-Raja (per. 380 dan keutamaan Raja (per. 70) juga tidak boleh dilaksana tanpa perkenan Majlis Raja-Raja (per. 159(5)). 
  • Dalam aspek perundangan, kedudukan Raja-Raja Melayu agak terselamat bukan sahaja atas kapasiti kedudukan umum, tetapi juga keselamatan diri. 
  • Di samping peruntukan Perlembagaan seperti mana yang telah disebut di atas, undang-undang jenayah negara juga menjaga kedudukan Raja-Raja Melayu. Undang-undang yang begitu relevan ialah Kanun Keseksaan. 
  • Tindakan menentang Raja, yang dikategorikan sebagai kesalahan terhadap lima negara, adalah kesalahan yang boleh dihukum penjara seumur hidup ataupun hukum bunuh. Misalnya kesalahan berperang melawan Raja-Raja. 
  • Hukuman bunuh juga boleh dikenakan ke atas mana-mana orang yang didapati bersalah melakukan kesalahan terhadap tubuh badan Raja atau bakal pengganti Raja. Sementara itu penjara seumur hidup atau denda boleh dikenakan ke atas mana-mana orang yang dibuktikan sebagai merancang untuk memecat atau melucutkan Raja daripada takhta mereka.
Institusi Raja telah diterima sebagai simbol perpaduan. Menerusi Perlembagaan Persekutuan dalam perkara 153 menjaga kedudukan orang-orang Melayu tanpa mengabaikan kedudukan dan kepentingan bangsa lain. Ini bermaksud, Raja bukan hanya Raja kepada sesuatu bangsa atau golongan tertentu sahaja. Raja adalah payung kedaulatan negara untuk memberi naungan saksama kepada setiap warga tanpa mengira kaum, agama dan politik. Raja yang bersemayam di puncak struktur pemerintahan merupakan lambang kuasa dan simbol perpaduan. Sehingga ke hari ini, Malaysia masih mengamalkan sistem pemerintah demokrasi berparlimen dan Raja Berperlembagaan. Semua rakyat tidak kira bangsa dan agama hidup aman dan menikmati kekayaan seluas-luasnya di atas bumi bertuah ini. Malah, negara-negara di Eropah juga masih  mengekalkan sistem monarki dan menyanjung tinggi Raja-Raja mereka.

MENGAPA INSTITUSI RAJA PERLU DIKEKALKAN


Institusi Beraja di Malaysia pada masa kini perlu dikekalkan dan diperlihara. Terdapat dua sebab utama Institusi Raja ini perlu dikekalkan. Pertama, sebagai kesinambungan agama, budaya, adab resam dan cara hidup. Ini kerana, kerajaan dan dasar boleh bertukar setiap lima tahun, namun ada beberapa perkara perlu dikekalkan untuk kestabilan dan kesinambungan agama, identiti, budaya dan cara hidup masyarakat di negara ini. Sejak berkurun lamanya budaya dan cara hidup masyarakat di Malaysia adalah cara hidup budaya Melayu dan Islam. Budaya dan cara hidup ini perlu dikekalkan dan dilindungi kerana ianya adalah teras dan asas kepada pegangan moral, adab, kesopanan dan kesusilaan majoriti masyarakat Malaysia. Tanpa asas moral atau agama yang kuat, maka kesusilaan dan adab masyarakat kita akan menjadi lemah. Pada masa inilah Institusi Raja-Raja adalah penting sebagai pelindung dan pengekal identiti dan cara hidup walaupun kerajaan bertukar ganti di Parlimen.

Kedua, Institusi Raja-Raja Melayu sebagai satu institusi semak imbang terakhir kepada kuasa kerajaan dan Perdana Menteri. Walaupun sistem republik tanpa Institusi Beraja akan mewujudkan sistem demokrasi total dengan kuasa rakyat, namun sejarah pernah membuktikan di serata dunia yang sistem demokrasi adalah terdedah kepada salah guna kuasa dan korupsi serta pemerintahan diktator akibat daripada pemusatan kuasa yang mudah dibuat dengan memanipulasi pendapat awam. Sistem demokrasi adalah baik dan sehingga kini tiada sistem politik lain yang lebih baik daripada sistem demokrasi. Namun sistem ini perlu disemak imbang kerana ia tidak sempurna dan pernah mengakibatkan tragedi seperti tragedi-tragedi dalam sejarah di seluruh dunia seperti di atas.

Walaupun terdapat Parlimen dan mahkamah untuk semak imbang kerajaan, namun jika Parlimen dikuasai wakil rakyat kerajaan dengan kuat, maka ia tidak akan berjaya menyemak imbang kerajaan dan Perdana Menteri. Sejarah juga pernah membuktikan mahkamah juga pernah terdedah kepada pengaruh kuasa Perdana Menteri. Institusi Raja-Raja di Malaysia ini adalah penting diperlihara dan dikekalkan sebagai pelindung kesinambungan identiti, cara hidup dan budaya masyarakat Malaysia, dan sebagai institusi semak dan imbang terakhir untuk rakyat dan negara setelah institusi-institusi lain seperti Parlimen dan mahkamah tidak berjaya.

Bagi menjamin kelangsungan tradisi Institusi Raja, sudah tentu perubahan perlu berlaku dalam Institusi Raja. Ini akan menjadikan kedudukan institusi tersebut selaras dengan selaras dengan tuntutan masa. Sikap tekun memajukan diri, berkongsi kekayaan dan membuat penegasan dalam beberapa perkara adakalanya sangat diperlukan. Walaupun kedudukan Institusi Raja dalam Perlembagaan dan sistem perundangan negara agak menyerlah, kita tidak boleh mengharapkan apa yang terpahat dalam undang-undang itu tidak terhakis. Ini kerana apa yang disebut mengenai Perlembagaan ialah, ia undang-undang organik yang boleh diubah serta bergantung dan berpunca kepada tataRajah politik.

Selain daripada itu, sistem monarki dan beperlembagaan tidak patut dijadikan alasan menyekat sumbangan Raja kepada negara. Melonjakkan kredibiliti sebagai Raja; mendekatkan diri dengan masalah rakyat serta meningkat taraf hidup rakyat adalah juga boleh ditakrifkan sebagai maksud tersirat dalam Raja Berperlembagaan. Raja Berperlembagaan bukan hanya merujuk kepada Raja yang bertindak mengikut nasihat Jemaah Menteri semata-mata hatta dalam hal yang begitu jelas bermotifkan politik. Raja Berperlembagaan harus bijaksana mempastikan konsep ‘constitutionlism’ terutamanya penyalahgunaan kuasa dilaksana sepenuhnya.

KESIMPULANNYA

Sekarang terpulang pada diri kita sendiri untuk menilai sama ada perlunya institusi ini dikekalkan atau tidak. Semoga dengan perkongsian kali ini sedikit sebanyak dapat membuka minda dan pemikiran kita semua dalam menulis, berbicara dan sebagainya tentang Institusi Beraja. Terima kasih kerana membaca artikel kali ini. 

Sumber : Peranan Institusi Beraja di Malaysia | Google Image

No comments:

The author will not be responsible for any comment left by the readers. Please comment using polite language. Thank you.


Powered by Blogger.