Assalamualaikum dan salam sejahtera
Filem aksi Blood Brothers: Bara Naga terus mencipta fenomena luar biasa apabila berjaya mengekalkan kedudukan sebagai juara kutipan box office tempatan selama tiga minggu berturut-turut. Dengan pencapaian ini, Blood Brothers: Bara Naga kini tersenarai dalam kutipan tertinggi pecah panggung dunia perfileman di Malaysia dengan pencapaian RM 62 Juta dalam masa 20 hari tayangan dan tayangan awal. Ini merupakan satu kejayaan manis buat produksi tempatan, malah membuktikan bahawa filem bergenre aksi sentiasa mendapat tempat di hati penonton.
Bagi meraikan kejayaan luar biasa ini, satu acara gempak telah diadakan di Bukit Bintang, destinasi ikonik yang sentiasa dipenuhi pelancong dan warga kota, dengan pengumuman mengejut di papan LED gergasi yang memaparkan jumlah kutipan sebanyak RM 62 juta buat masa ini! Bukit Bintang telah dipilih sebagai lokasi utama kerana ia melambangkan semangat yang tidak pernah pudar, sejajar dengan jiwa Blood Brothers yang sentiasa membara.
Acara malam ini turut diserikan dengan kehadiran Datuk Dr. Yusof Haslam, legenda perfileman tanah air, bersama pengarah Blood Brothers: Bara Naga, Syafiq Yusof dan Abhilash Chandra. Tidak ketinggalan pelakon-pelakon hebat seperti Sharnaaz Ahmad, Syafiq Kyle, Shukri Yahaya, Syazwan Zulkifly, Andy Teh, Irfan Zaini, Zamarul Hisham, Ray Dap Dap, Amir Nafis dan Razib Salimin turut memeriahkan suasana.
Untuk menambahkan lagi elemen misteri dan eksklusif, seramai 30 orang individu yang berpakaian sut hitam, menyerupai pengawal peribadi, telah ‘menguasai’ kawasan tersebut, mencipta suasana yang penuh ketegangan dan dramatik. Kehadiran mereka bagaikan membawa dunia Blood Brothers hidup di hadapan mata khalayak ramai. Selain itu, persembahan akustik oleh Genji Busker yang mendendangkan lagu tema filem, Bara Jiwa, terus menambahkan kemeriahan dan menjadikan malam tersebut sarat dengan kegemilangan.
Sambutan di tengah-tengah kota ini bukan hanya sekadar promosi, tetapi merupakan satu pernyataan yang jelas: Blood Brothers:Bara Naga akan terus melangkah ke hadapan, terus menarik perhatian, dan semakin mencabar norma dengan caranya yang tersendiri. Sebagai tanda sokongan terhadap industri seni tempatan, WOLO Kuala Lumpur tampil sebagai penaja rasmi penginapan bagi para artis dan tetamu kehormat sepanjang berlangsungnya acara ini.
“Terima kasih di atas sambutan yang cukup memberangsangkan dan luar biasa. Segala yang baik daripada Allah dan segala kekurangan adalah dari kami.Saya amat menghargai sokongan yang diberikan oleh semua penonton, yang sentiasa memberikan perhatian dan semangat terhadap industri perfileman tanah air. Jangan lupa untuk menonton filem-filem tempatan lain yang kini sedang hangat dan meriah ditayangkan di pawagam, yang turut memberikan impak besar dalam dunia perfileman tanah air.
Saya amat bersyukur dengan pencapaian ini, serta pembaharuan yang terus dihasilkan untuk memajukan lagi industri perfileman tanah air kita. Sokongan padu daripada penonton adalah sumber inspirasi yang besar untuk kami terus berkarya dan saya berharap karya-karya ini akan terus menghiburkan serta memberi kesan yang mendalam kepada semua. Terima kasih sekali lagi kepada semua yang terus setia menyokong industri perfileman tanah air. Semoga karya-karya anak tempatan terus sukses dan mampu menembusi pasaran global”,
kata Datuk Dr. Yusof Haslam.
Kejayaan Blood Brothers: Bara Naga membuktikan bahawa filem aksi tempatan mampu mencipta gelombang besar dalam industri, sekal igus membuka jalan untuk lebih banyak karya berani dan berkualiti dihasilkan. Ia juga menjadi petanda bahawa penonton Malaysia kini lebih terbuka menerima filem tempatan yang menawarkan pengalaman sinematik bertaraf antarabangsa.
Jika anda belum saksikan filem ini, jangan lepaskan peluang untuk menjadi sebahagian daripada kemeriahan Blood Brothers:Bara Naga! Saksikan filem aksi penuh intensiti ini yang sedang menggegarkan layar perak dan rasai sendiri debaran yang menjanjikan pengalaman sinematik luar biasa!
SEKIAN
The author will not be responsible for any comment left by the readers. Please comment using polite language. Thank you.