Assalamualaikum dan salam sejahtera
The Fantastic Four: First Steps (2025) merupakan sebuah filem adiwira terbaru yang diadaptasi daripada komik terkenal terbitan Marvel. Diterbitkan oleh Marvel Studios dan diedarkan oleh Walt Disney Studios Motion Pictures, filem ini menandakan kemunculan semula pasukan Fantastic Four ke dalam dunia sinematik Marvel. Ia juga merupakan filem ke-37 dalam Marvel Cinematic Universe (MCU). Filem ini diarahkan oleh Matt Shakman, yang sebelum ini dikenali melalui siri WandaVision (2021), dan secara rasmi ditayangkan pada 21 Julai 2025.
ULASAN FILEM: THE FANTASTIC FOUR : FIRST STEPS (2025)
Pengarah : Matt Shakman
Lakonlayar : Josh Friedman, Eric Pearson, Jeff Kaplan, Ian Springer
Cerita : Eric Pearson, Jeff Kaplan, Ian Springer, Kat Wood
Penerbit : Kevin Feige
Cinematografi : Jess Hall
Edit : Nona Khodai, Tim Roche
Muzik : Michael Giacchino
Durasi : 114 minit
Bajet : USD $200 Juta
Rotten Tomatoes : 86%
Metacritic : 65/100
CinemaScore : A-
BARISAN PELAKON FILEM THE FANTASTIC FOUR: FIRST STEPS (2025)
- Pedro Pascal sebagai Reed Richards / Mister Fantastic | Seorang saintis genius dan ketua pasukan Fantastic Four, dengan keupayaan meregangkan tubuhnya seperti getah.
- Vanessa Kirby sebagai Sue Storm / Invisible Woman | Ahli pasukan yang boleh menjadi halimunan dan menghasilkan medan tenaga pelindung.
- Ebon Moss-Bachrach sebagai Ben Grimm / The Thing | Rakan pasukan yang memiliki kekuatan luar biasa dan tubuh seperti batu selepas terdedah kepada sinaran kosmik.
- Joseph Quinn sebagai Johnny Storm / Human Torch | Adik Sue Storm yang mampu menyala menjadi api, terbang, dan mengawal suhu panas.
- Julia Garner sebagai Shalla-Bal / Silver Surfer | Utusan Galactus yang memiliki kuasa kosmik dan boleh meluncur di angkasa.
- Sarah Niles sebagai Lynne Nichols | Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) kepada organisasi Future Foundation.
- Mark Gatiss sebagai Ted Gilbert | Hos rancangan bual bicara popular yang dinamakan The Ted Gilbert Show.
- Natasha Lyonne sebagai Rachel Rozman | Seorang guru sekolah dan juga minat romantik kepada Ben Grimm.
- Paul Walter Hauser sebagai Harvey Elder / Mole Man | Musuh utama yang tinggal di bawah tanah dan mengancam dunia permukaan.
- Ralph Ineson sebagai Galactus | Makhluk kosmik gergasi yang memakan tenaga planet untuk terus hidup.
- Matthew Wood sebagai suara H.E.R.B.I.E. | Robot pintar yang menjadi pembantu kepada pasukan Fantastic Four. Nama penuhnya: Humanoid Experimental Robot B-Type Integrated Electronics.
SINOPSIS PENUH FILEM THE FANTASTIC FOUR: FIRST STEPS (2025)
Pada tahun 1964 di Bumi-828, dunia menyambut ulang tahun keempat kejayaan empat angkasawan, Reed Richards, Sue Storm, Ben Grimm, dan Johnny Storm yang telah menjadi pasukan adiwira dikenali sebagai Fantastic Four. Mereka memperoleh kuasa luar biasa selepas terdedah kepada sinaran kosmik ketika misi angkasa. Sejak itu, mereka menjadi selebriti dan bertempur dengan penjahat-penjahat hebat, di samping menyumbang kepada kemajuan teknologi melalui ciptaan Reed dan keamanan global melalui usaha diplomatik Sue dalam organisasi Future Foundation.
Apabila Reed dan Sue mengumumkan bahawa mereka bakal menimang cahaya mata, dunia bersiap sedia menyambut kehadiran bayi itu dan tertanya-tanya sama ada anak mereka juga akan memiliki kuasa luar biasa.
Beberapa bulan kemudian, Silver Surfer tiba di Bumi dan mengisytiharkan bahawa planet ini telah ditandakan untuk dimusnahkan oleh makhluk kosmik pemusnah planet, Galactus. Reed menyiasat kehilangan beberapa planet dan mengesahkan ancaman tersebut. Fantastic Four kemudian menjejaki isyarat tenaga Silver Surfer dan menggunakan sistem perjalanan lebih pantas daripada cahaya (FTL) untuk ke sebuah planet lain. Namun, sebaik mereka tiba, planet tersebut dimusnahkan oleh kapal Galactus dan mereka ditawan.
Galactus mendedahkan bahawa dia memiliki kelaparan kosmik yang tiada penghujung dan telah memusnahkan planet selama jutaan tahun. Dia mengesan bahawa anak dalam kandungan Sue memiliki tenaga kosmik luar biasa yang boleh menggantikan kelaparannya. Galactus menawarkan untuk menyelamatkan Bumi jika mereka menyerahkan bayi itu, dan menyebabkan Sue bersalin awal. Namun, pasukan itu enggan tunduk dan melarikan diri dari kapal tersebut. Mereka menggunakan tarikan graviti daripada bintang neutron untuk melambatkan Silver Surfer dan menghantar diri mereka kembali ke Bumi walaupun sistem FTL musnah dalam proses itu. Dalam perjalanan pulang, Sue melahirkan seorang bayi lelaki bernama Franklin.
Sebulan selepas kembali ke Bumi, Reed mendedahkan apa yang berlaku dalam satu sidang media. Keputusan mereka untuk menyelamatkan seorang anak daripada mengorbankan berbilion nyawa lain mencetuskan kemarahan orang ramai, dan ada yang menyeru agar Franklin diserahkan kepada Galactus. Johnny mula mentafsir bahasa asal Silver Surfer hasil interaksinya dengannya serta isyarat dari angkasa lepas yang Reed kesan dari planet asalnya.
Reed merangka rancangan untuk membina jambatan teleportasi gergasi di seluruh dunia supaya Bumi boleh dipindahkan ke sistem suria lain yang tidak dapat dijejaki oleh Galactus. Melalui Future Foundation, Sue menggerakkan negara-negara dunia untuk membina jambatan tersebut dan menjimatkan tenaga bagi mengaktifkannya.
Namun, ketika jambatan hampir diaktifkan, Silver Surfer kembali dan mula memusnahkannya. Johnny menghalang Surfer daripada menghancurkan jambatan terakhir di Times Square, dan mendedahkan bahawa dia telah mengetahui identitinya iaitu Shalla-Bal yang menjadi utusan Galactus demi menyelamatkan dunianya, Zenn-La. Mendengar rakaman dari planet yang dia bantu musnahkan, Shalla-Bal berasa kesal, tetapi tetap enggan membantu dan melarikan diri.
Fantastic Four kemudian menggunakan Franklin sebagai umpan untuk memerangkap Galactus di jambatan terakhir dan menghantarnya melalui portal. Sue membuat perjanjian dengan Harvey Elder untuk memindahkan warga kota New York ke bandar bawah tanahnya, Subterranea. Galactus tiba dan berjaya menangkap Franklin sambil mengelak perangkap. Sue menggunakan segala kuasanya untuk menolak Galactus ke dalam portal dengan medan tenaga, manakala Reed menyelamatkan Franklin. Johnny cuba mengorbankan diri untuk menolak Galactus buat kali terakhir, tetapi dihalang oleh Shalla-Bal. Dia sendiri yang menolak Galactus ke dalam portal, yang kemudian tertutup di belakang mereka.
Sue mati akibat keletihan kuasanya, tetapi dihidupkan semula oleh kuasa Franklin. Pasukan Fantastic Four kemudian memulakan misi baharu ketika dunia menyambut ulang tahun kelima mereka sebagai wira dunia.
Empat tahun kemudian, Sue sedang membacakan buku kepada Franklin di rumah. Apabila dia keluar sebentar untuk mengambil buku lain, dia kembali dan mendapati Franklin sedang berinteraksi dengan seorang lelaki berjubah hijau yang memegang topeng logam.
ULASAN FILEM THE FANTASTIC FOUR: FIRST STEPS (2025)
Jalan Cerita | Jalan cerita dalam filem Fantastic Four (2025) memang senang nak hadam dan tak berselirat macam sesetengah filem adiwira lain. Berbeza dengan versi-versi sebelum ini, filem kali ini bermula ketika mereka dah pun menjadi Fantastic Four selama empat tahun. Jadi, kita tak perlu lalui lagi bab-bab asal-usul atau macam mana mereka dapat kuasa. Fokus utama kali ini lebih besar iaitu ancaman dari makhluk kosmik Galactus yang mahukan bayi Sue dan Reed, iaitu Franklin Richards. Pesanan dari Galactus ini disampaikan oleh Silver Surfer, yang muncul dengan misi misterinya.
Disebabkan durasinya yang agak pendek (lebih kurang dua jam), filem ni memang padat dengan aksi dan momen-momen penting. Tak ada masa untuk babak meleret, jadi setiap adegan rasa penting. Tapi apa yang buat filem ni lebih menyentuh adalah tema kekeluargaan yang sangat kuat dari awal sampai akhir. Kita dapat rasa kasih sayang dalam pasukan, dan lebih-lebih lagi hubungan antara ibu dan anak. Babak yang paling emosional mestilah saat Shalla-Bal mula teringat kisah silamnya, serta babak Sue Storm “meninggal” dan kemudian dihidupkan semula oleh Franklin sebagai satu simbol hubungan anak dan ibu yang sangat kuat dan menyentuh hati.
Lakonan | Lakonan dalam filem ni memang on point. Keempat-empat pelakon utama berjaya membawakan watak mereka dengan penuh perasaan dan gaya tersendiri. Vanessa Kirby sebagai Sue Storm boleh dikatakan sebagai bintang utama sebab dia berjaya bawakan watak wanita kuat yang juga seorang ibu, dengan emosi yang real dan menyentuh hati. Pedro Pascal sebagai Reed Richards pun memang mantap, memperlihatkan sisi genius dan lembut dalam masa yang sama. Ebon Moss-Bachrach dan Joseph Quinn juga sangat serasi, memberi keseimbangan antara aksi dan humor yang tak berlebihan.
Satu lagi lakonan yang patut diberi pujian adalah Julia Garner sebagai Silver Surfer. Versi Surfer yang ini sangat berbeza daripada yang kita biasa tengok iaitu lebih misteri, lebih emosi, dan lebih mendalam. Kita boleh rasa konflik dalaman dalam dirinya, antara taat pada Galactus dan kesal atas kemusnahan yang dia bantu lakukan. Babak dia “surfing” pun memang memukau — setiap pergerakan rasa penuh makna, bukan sekadar aksi kosong. Secara keseluruhan, setiap pelakon memberikan nyawa kepada watak masing-masing dengan sangat baik.
Visual | Dari segi visual, filem ini memang satu jamuan mata. Gaya retro-futuristik yang dibawakan memberikan kelainan yang besar dari filem-filem MCU sebelum ni. Setiap babak terasa seperti satu panel komik hidup, penuh warna, gaya, dan tekstur yang menarik. Pengarah Matt Shakman yang sebelum ini berjaya dengan gaya visual unik dalam WandaVision, sekali lagi menunjukkan sentuhan magisnya di sini. Tak rasa seperti filem MCU biasa , kali ini lebih artistik, lebih berani, dan sangat bergaya.
Muzik | Muzik dalam filem ni juga main peranan besar dalam menjadikannya satu pengalaman yang epik. Komposer Michael Giacchino, yang memang terkenal dengan hasil kerja hebat dalam filem Marvel dan Pixar sebelum ini, sekali lagi membuktikan kebijaksanaannya. Lagu tema utama filem ni memang ikonik, sekali dengar dah boleh rasa semangat adiwira, ketegangan, dan emosi yang mengalir dalam cerita.
Babak Kredit | Walaupun babak kredit hanya berlangsung beberapa saat, tapi impaknya besar dan meninggalkan banyak persoalan. Kita lihat Sue Storm sedang membaca buku kepada anaknya, Franklin, dalam suasana yang tenang dan damai, seolah-olah semuanya sudah kembali normal selepas peristiwa besar sepanjang filem. Tapi suasana itu berubah sebaik saja dia keluar sekejap, dan kembali mendapati Franklin sedang bercakap dengan seorang lelaki misteri berjubah hijau dan memegang topeng logam. Tanpa perlu dialog pun, peminat Marvel dah tahu itulah Dr. Doom, salah satu watak paling ikonik dan kompleks dalam komik Marvel.
Secara keseluruhannya, Fantastic Four (2025) adalah satu langkah yang agak meyakinkan dari Marvel Studios, terutama selepas Thunderbolts. Ia mungkin bukan filem paling sempurna dalam MCU, tapi dari segi penceritaan dan pembawaan watak, ia ada banyak yang boleh dihargai, lebih-lebih lagi untuk peminat komik. Filem ini berjaya menyampaikan cerita dengan ringkas tapi padat, tanpa terlalu bergantung pada formula lama. Resipi yang digunakan kali ini terasa lebih kemas, dan jelas mereka cuba membawa sesuatu yang sedikit berbeza daripada versi Fantastic Four sebelum ni.
BINTANG : ⭐⭐⭐⭐⭐⭐⭐⭐⭐/10
Rujukan :-
- Marvel Studios
- Google Image
- Disney
The author will not be responsible for any comment left by the readers. Please comment using polite language. Thank you.