PRU 13 : 2013 : Pembangkang Menang Undi Popular



Assalamualaikum dan salam sejahtera


Pilihan raya umum Malaysia ke-13 (PRU-13) telah diadakan pada 5 Mei 2013 setelah parlimen dibubarkan pada 3 April. Tempoh penggal parlimen mengikut Perlembagaan Malaysia ialah lima tahun sejak mula bersidang, iaitu sehingga 28 April 2013. Namun parlimen hanya akan terbubar secara automatik pada 30 April kerana 28 April ialah hari Ahad.Yang di-Pertuan Agong bagaimanapun boleh membubarkan parlimen lebih awal dengan nasihat Perdana Menteri. Bagi pilihan raya serentak seluruh negara (parlimen dan DUN), pilihan raya perlu diadakan selewat-lewatnya 28 Mei. Pilihan raya umum Malaysia menggunakan sistem undian pemenang undi terbanyak. Pilihan raya akan dikendalikan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR). Walaupun daripada segi teori mana-mana negeri boleh membubarkan Dewan Undangan Negerinya secara berasingan daripada Parlimen, secara tradisinya DUN dibubarkan sekali dengan Parlimen, kecuali Sarawak

Pada awal pagi 6 Mei, Barisan Nasional secara muktamad diumumkan kekal berkuasa, dengan majoriti yang berkurang. Bagaimanapun, ia berjaya merampas kembali negeri Kedah daripada Pakatan Rakyat. Walau bagaimanapun, PR memenangi undian popular buat pertama kali.

Pemerintah Barisan Nasional (BN) memenangi pilihan raya umum 2008 dengan 140 kerusi, menjadikannya keputusan terburuk gabungan itu sejak pilihan raya 1969 (sebagai Parti Perikatan). Gabungan pembangkang Pakatan Rakyat (PR) mendapat 82 kerusi, dengan itu menghalang BN mendapat majoriti dua pertiga yang diperlukan untuk meluluskan pindaan terhadap Perlembagaan Persekutuan. Pakatan Rakyat juga mendapat lima daripada 13 Dewan Undangan Negeri (DUN) (namun tinggal empat selepas krisis politik Perak) serta 10 daripada 11 kerusi parlimen di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

Latar Belakang

Barisan Nasional

Selepas keputusan "kurang memberangsangkan" ini, Perdana Menteri Abdullah bin Ahmad Badawi mengumumkan pada 8 Oktober 2008, yang beliau akan mengundurkan diri, sebagai Perdana Menteri dan presiden UMNO. Pemilihan presiden baharu diadakan semasa Perhimpunan Agung UMNO 2009, di mana Timbalan Perdana Menteri Mohd Najib bin Abdul Razak menang selepas menjadi calon tunggal yang layak bertanding. Pada 2 April 2009, Dato' Seri Abdullah menyerahkan surat peletakan jawatannya kepada Sultan Mizan Zainal Abidin. Pada 3 April, Dato' Seri Najib mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri Malaysia ke-6 di hadapan baginda.

Pakatan Rakyat

Bekas Timbalan Perdana Menteri Malaysia dan Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim, juga ketua Pakatan Rakyat kembali ke parlimen selepas 10 tahun apabila memenangi pilihan raya kecil Permatang Pauh pada Ogos 2008. Isteri beliau, yang juga ketua Parti Keadilan Rakyat, Wan Azizah Wan Ismail meletak jawatan Ahli Parlimennya supaya Dato' Seri Anwar dapat bertanding dan seterusnya kembali ke parlimen. Beliau tidak bertanding dalam pilihan raya Mac 2008 kerana undang-undang tidak membenarkan seseorang yang dipenjara bertanding buat tempoh lima tahun selepas hukumannya berakhir, iaitu sehingga April 2008.

Parti lain

Selain daripada Barisan Nasional dan Pakatan Rakyat, terdapat juga parti-parti lain yang berhasrat bertanding. Antaranya ialah Parti Hak Asasi Manusia (HRP) yang disokong Hindraf (bagaimanapun Hindraf telah berpecah kepada sekurang-kurangnya dua kem, satu menyokong BN manakala satu lagi neutral.), Parti Maju Sabah (SAPP, bekas parti komponen BN), Parti Reformasi Negeri (STAR) dan Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (BERJASA). Penyertaan parti-parti ini akan menyebabkan pertandingan tiga penjuru di beberapa kerusi.

Peraturan baharu

Susulan laporan akhir PSC 2012, SPR telah mewartakan empat peraturan baharu pada 2012 bagi pilihan raya ini:[

  • Penggunaan dakwat kekal
  • Pengundian awal oleh anggota polis dan tentera menggantikan undi pos
  • Membenarkan orang kelainan upaya membawa orang dipercayai untuk membantu semasa pengundian
  • Pemansuhan proses bantahan dan penarikan balik pencalonan.
  • Pengundian pos bagaimanapun masih dibenarkan, bagi rakyat Malaysia yang tinggal di luar negara yang memenuhi syarat. Jari mereka tidak perlu ditanda dengan dakwat kekal, manakala warna dakwat bagi pengundi awal dan pengundi biasa adalah berbeza. Undi pos and undi awal hanya akan dibuka pada hari pengundian dan dikira bersama dengan undi biasa.


Pengundi

Berdasarkan daftar pemilih, SPR menyatakan terdapat 12,992,661 pengundi biasa dan 275,341 pengundi awal, menjadikan seramai 13,268,002 rakyat Malaysia layak mengundi kali ini. Pengundi awal terdiri daripada 161,251 anggota tentera dan pasangan; 111,136 anggota polis dan pasangan; serta 2,954 pengundi tidak hadir (di luar negara).

SPR menyediakan 8,789 pusat mengundi dengan 26,219 saluran mengundi. Daripada jumlah itu, 8,245 pusat mengundi dengan 25,337 saluran mengundi bakal disediakan bagi pengundi biasa, manakala pengundian awal membabitkan 544 pusat mengundi dengan 882 tempat mengundi.

Keputusan Pilihanraya


Pada 6 Mei 2013, parti gabungan penyandang Barisan Nasional telah mendapat 133 kerusi daripada 222 kerusi Parlimen yang dipertandingkan. Kerusi yang selebihnya jatuh kepada gabungan Pakatan Rakyat iaitu sebanyak 89 kerusi. Di peringkat negeri pula, BN berjaya menawan kembali Kedah.

Beberapa tokoh ternama tewas dalam pilihan raya kali ini:

  • Menteri Pengangkutan Kong Cho Ha (BN-MCA) kehilangan kerusi parlimen Lumut kepada calon PKR.
  • Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Chor Chee Heung (BN-MCA) kehilangan kerusi parlimen Alor Setar kepada calon PKR.
  • Menteri Perusahaan, Perladangan Dan Komoditi Bernard Giluk Dompok (BN-UPKO) kehilangan kerusi parlimen Penampang kepada calon PKR.
  • Menteri Wilayah Persekutuan Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin (BN-UMNO) tewas kepada penyandang parlimen Lembah Pantai Nurul Izzah Anwar (PKR).
  • Menteri Besar Johor Abdul Ghani Othman (BN-UMNO) tewas kepada Penasihat DAP Lim Kit Siang di parlimen Gelang Patah.
  • Ketua Menteri Melaka Mohd Ali bin Mohd Rustam (BN-UMNO) tewas kepada calon PKR di parlimen Bukit Katil.



Reaksi dan analisis


Perdana Menteri Najib meminta seluruh rakyat Malaysia memberi sokongan. Beliau berkata: "Malaysia perlu mempamerkan kepada dunia bahawa ia merupakan sebuah negara demokrasi yang matang. Walau apapun yang berlaku, keputusan rakyat, kehendak rakyat, perlu dihormati. Beliau menambah bahawa PRU13 mempamerkan pelbagai sentimen, sesetengahnya bersifat perkauman, yang "amat tidak sihat" untuk negara. Dengan itu kerajaan BN akan melaksanakan usaha penyatuan nasional untuk mengeratkan hubungan antara rakyat.Manakala ketua pembangkang Anwar berkata kemenangan PR "telah dirompak" dan menyifatkan pilihan raya ini penuh dengan penipuan. Sementara itu, Bersih tidak mahu mengiktiraf kerajaan baru sehingga laporan penipuan disiasat. Kerajaan baru ini merupakan kerajaan minoriti, disokong oleh cuma 47.38% pengundi, sementara PR mendapat 50.87% undi popular.

Perubahan undi paling ketara ialah daripada parti komponen BN yang berasaskan kaum Cina, MCA dan Gerakan kepada DAP, di kalangan pengundi etnik Cina. Ini menyebabkan Najib mendakwa pembangkang telah memanipulasi dan memperdaya kelompok ini dan menyalahkan "tsunami Cina" terhadap prestasi BN.

Herizal Hazri daripada Yayasan Asia Malaysia berkata: "Terdapat rasa penolakan pengundi bandar terhadap retorik. Mereka mahukan Malaysia yang lebih merangkumi semua, mereka mahu mengundi parti yang mewakili semua kumpulan bangsa." Majoriti pengundi Cina menunjukkan sokongan terhadap PR. "Mereka merupakan pengundi terbesar berubah undi," kata ahli parlimen Pulai Nur Jazlan Mohamed. Seperti dalam pilihan raya umum lepas, pengundi di kawasan bandar, termasuk Melayu, telah menyokong PR manakala pengundi di kawasan kampung kekal mengundi BN. "Ini bukan peperangan bangsa, ini peperangan golongan," kata seorang pakar analisis. Bekas Perdana Menteri Abdullah pula berkata adalah tidak wajar untuk mengaitkan keputusan pilihan raya ini sebagai isu perkauman, manakala Ketua Penerangan PAS Pusat Tuan Ibrahim Tuan Man menyatakan BN ditolak oleh 'tsunami Internet dan anak muda'.

Pada 8 Mei, Anwar memimpin satu perhimpunan sekurang-kurangnya 50,000 orang berpakaian hitam di sebuah stadium di Kelana Jaya, Selangor. Mereka mengecam PRU-13 sebagai satu penipuan. Bagaimanapun, buat kali pertama, tiada satupun unit polis yang hadir, biarpun mengelaskan perhimpunan tersebut sebagai haram.

Selepas keputusan PRU-13 dimuktamadkan pada 23 Mei dan tempoh petisyen dibuka, sejumlah 60 petisyen difailkan sekaligus menjadi jumlah tertinggi dalam sejarah pilihan raya di negara ini. 39 petisyen dikemukakan oleh PR manakala 21 lagi oleh BN, melibatkan 31 kerusi parlimen dan 29 kerusi DUN.

Pilihan raya kecil pertama selepas pilihan raya umum ini ialah di DUN Kuala Besut selepas ADUNnya meninggal dunia. BN berjaya mempertahankan kerusi tersebut.

Sekian.

Sumber : Wikipedia

0 تعليقات

The author will not be responsible for any comment left by the readers. Please comment using polite language. Thank you.


إرسال تعليق

The author will not be responsible for any comment left by the readers. Please comment using polite language. Thank you.


Post a Comment (0)

أحدث أقدم