Bagaimana Tan Sri Muhyiddin Menjadi Perdana Menteri? Ini Sejarah Politik Beliau.

Assalamualaikum dan salam sejahtera

Biodata Tan Sri Muhyiddin Yassin

Perdana Menteri Malaysia yang ke 8, Tan Sri Muhyiddin Yassin merupakan antara individu yang mempunyai kerjaya politik yang penuh warna warni. Beliau antara individu yang pernah memegang pelbagai portfolio kementerian termasuklah sebagai Menteri Belia dan Sukan, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Menteri Petanian dan Industri Asas Tani, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Menteri Pelajaran, Menteri Dalam Negeri dan Timbalan Perdana Menteri. 

Oleh itu, jom kita lihat sejarah hidup beliau dari awal beliau masuk ke dunia politik dan mendaki tangga sehingga menjadi Perdana Menteri Malaysia yang ke 8. 

SEJARAH AWAL KEHIDUPAN

Dilahirkan pada 15 Mei 1947, di Muar, bapa Muhyiddin iaitu Muhammad Yassin Muhammad, ialah seorang ulama yang amat dikenali di Bandar Maharani, Muar, sementara ibunya ialah Khadijah Kassim.

Menerima pendidikan awal di Sekolah Kebangsaan Maharani, Muar dan Sekolah Kebangsaan Ismail, Muar, Muhyiddin seterusnya ke Sekolah Tinggi Muar. Muhyiddin telah menyambung pengajian di pertingkat tinggi di Universiti Malaya, Kuala Lumpur hingga berjaya memperoleh Sarjana Muda dalam bidang Ekonomi dan Pengajian Melayu pada tahun 1971.

Sejurus memperoleh ijazahnya, suami kepada Puan Sri Noorainee Abdul Rahman, dan juga bapa kepada empat orang anak itu, berkhidmat sebagai penjawat awam dan banyak memegang jawatan di pelbagai syarikat milik kerajaan negeri.

Penglibatan awal dalam politik bermula sejak menyertai UMNO sebagai ahli biasa di bahagian Pagoh pada tahun 1971. Beliau kemudiannya dilantik sebagai Ketua Pemuda UMNO Pagoh seterusnya Setiausaha di bahagian itu pada 1976.

Pada tahun 1978, beliau dilantik sebagai Ahli Parlimen Pagoh. Sepanjang menjalankan khidmat sebagai Ahli Parlimen, Muhyiddin pernah dilantik sebagai Setiausaha Parlimen kepada Kementerian Hal Ehwal Luar, Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan dan seterusnya Timbalan Menteri Perdagangan dan Industri.

 PERJALANAN POLITIK BERMULA

Biodata Tan Sri Muhyiddin Yassin

Sejak dilantik sebagai Ketua UMNO Bahagian Pagoh pada 1984, laluan politiknya dalam UMNO Johor semakin meningkat – daripada menjadi Ahli Majlis Eksekutif negeri, hinggalah menjadi Ketua UMNO Johor seterusnya Menteri Besar Johor dari 1986 hingga 1995.

Muhyiddin juga pernah memegang portfolio penting di peringkat Persekutuan iaitu sebagai Menteri Belia dan Sukan (1995–1999), Menteri Perdagangan Tempatan dan Hal Ehwal (1999–2004), Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani (2004–2008) dan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (2008–2009).

Pada tahun 2009, beliau telah dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Pendidikan oleh Perdana Menteri ketika itu, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Biodata Tan Sri Muhyiddin Yassin

Pada Ogos 2016, Muhyiddin mendaftarkan parti politik baharu iaitu Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) bersama Perdana Menteri ketujuh, Tun Dr Mahathir Mohamad. Muhyiddin menjadi Presiden parti itu sementara Tun Dr Mahathir bertindak sebagai Pengerusi.

Ketika itu juga Muhyiddin menjalankan tugas sebagai Timbalan Presiden Pakatan Harapan.

Biodata Tan Sri Muhyiddin Yassin

Pada 24 Februari lalu, Tun Dr Mahathir Mohamad telah meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri.

Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menerima peletakan jawatan tersebut, tetapi kemudian berkenan melantik Dr Mahathir sebagai Perdana Menteri Interim, sementara menunggu pelantikan perdana menteri baharu.

Bagi tujuan itu, Yang di-Pertuan Agong menitahkan seramai 221 Ahli Parlimen untuk menghadap Baginda pada 25 dan 26 Februari bagi memaklumkan siapa calon Perdana Menteri pilihan mereka.

Bagaimanapun, selepas selesai menghadap Yang di-Pertuan Agong, Dr Mahathir mengesahkan bahawa Yang di-Pertuan Agong mendapati tiada calon pilihan majoriti yang mampu diangkat sebagai Perdana Menteri seterusnya.

Justeru, pada 28 Februari pula, pihak Istana Negara memaklumkan akan menghubungi Ketua-ketua pimpinan parti politik yang mempunyai wakil dalam Dewan Rakyat, bagi memberi peluang kepada mereka untuk mengemukakan pencalonan nama Ahli Dewan Rakyat sebagai bakal Perdana Menteri ke-8.

Dalam pencalonan itu, Muhyiddin dilaporkan mendapat pencalonan tertinggi mendahului kiraan sokongan ahli Parlimen untuk dilantik sebagai Perdana Menteri ke-8.

Sokongan itu diterjemah melalui sokongan sejumlah 97 ahli Parlimen daripada enam parti, iaitu Bersatu (36), UMNO (39), Pas (18), MCA (2), MIC (1) dan PBRS (1).

Pada pagi 29 Februari, Muhyiddin mengesahkan mengetuai Perikatan Nasional ke Istana Negara bagi mendapatkan perkenan Yang di-Pertuan Agong.

Pada kira-kira jam 4.40 petang, Yang di-Pertuan Agong berkenan melantik Muhyiddin sebagai Perdana Menteri kelapan selaras dengan Perkara 402(2)(a) dan Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan.

BIODATA PENUH TAN SRI MUYIDDIN YASSIN

Biodata Tan Sri Muhyiddin Yassin

📌 Nama: Tan Sri Muhyiddin Yassin

📌 Nama Asal : Mahiaddin Bin Md Yassin

📌 Isteri: Puan Sri Noorainee Abdul Rahman

📌 Anak: 4 orang

📌 Tarikh Lahir: 15 Mei 1947 (73 tahun)

📌 Tempat lahir: Muar, Johor

📌 Pembelajaran : Universiti Malaya

📌 Ahli Parlimen Pagoh, Johor sejak 1978

KRONOLOGI PERJALANAN KARIER

Biodata Tan Sri Muhyiddin Yassin

📍1970 - Memulakan kerjaya sebagai Penolong Setiausaha Kerajaan Johor Darul Ta’zim (Bahagian Latihan dan Biasiswa)

📍 1971 - Dilantik Bendahari UMNO Muar-Pagoh

📍 1974 - Ketua Pemuda UMNO Pagoh/ Setiausaha pemuda UMNO Johor

📍 1978 - Ahli Parlimen Pagoh.

📍 1982 -Timbalan Ketua UMNO Bahagian Pagoh

📍 1986 - Menteri Besar Johor ke-13

📍 1985 - Ahli Majlis Tertinggi UMNO

📍 1993 - Menang Naib Presiden UMNO

📍 1996 - Gagal pertahankan jawatan Naib Presiden UMNO

📍 4 Mei 1995 – 14 Disember 1999 - Menteri Belia dan Sukan

📍 2000 - Menang semula pemilihan Naib Presiden UMNO, undian ketiga tertinggi.

📍 15 Disember 1999 – 26 Mac 2004 - Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna

📍 27 Mac 2004 – 18 Mac 2008 - Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani

📍 19 Mac 2008 – 9 April 2009 - Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri

📍 26 Mac 2009 – 26 Februari 2016 - Timbalan Presiden UMNO

📍 26 Mac 2009 – 26 Februari 2016 - Timbalan Pengerusi Barisan Nasional

📍 10 April 2009 – 11 Ogos 2013 - Menteri Pelajaran

📍 2009 - Timbalan Presiden UMNO dan Timbalan Pengerusi Barisan Nasional

📍 10 April 2009 - Dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri

📍 2016 - Digantung jawatan Timbalan Presiden UMNO berikutan isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

📍 Jun 2016 - Dipecat sebagai Timbalan Presiden UMNO.

📍 September 2016 - Menjadi antara pengasas Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) dan dilantik sebagai Presiden.

📍 13 Julai 2017 - Dilantik sebagai Timbalan Presiden dalam struktur baharu Majlis Presiden Pakatan Harapan.

📍 22 Ogos 2017 - Dilantik Pengerusi Pakatan Harapan Johor

📍 2018 - Dilantik sebagai Menteri Dalam Negeri

📍 29 Februari 2020 - Diumumkan sebagai Perdana Menteri kelapan


KESIMPULANNYA

Melihat perjalanan karier beliau, ia adalah sama sahaja dengan kita di dalam konteks kehidupan, ada kalanya kita berada di satu keadaan yang sukar, adakala kita dihalang untuk bersuara, adakalanya kita sudah hampir capai ke tahap tertinggi, tetapi tetap di terhalang dan sebagainya. 

Semoga Tan Sri Muhyiddin Yassin dapat membawa Malaysia ke satu tahap lebih tinggi, lebih tinggi daripada sebelum-sebelum ini. Aminn. Tak sabar nak lihat apakah corak pentadbiran beliau pasca COVID-19.

Sekian

Sumber : Biodata | Sejarah Politik | Google Image

0 تعليقات

The author will not be responsible for any comment left by the readers. Please comment using polite language. Thank you.


إرسال تعليق

The author will not be responsible for any comment left by the readers. Please comment using polite language. Thank you.


Post a Comment (0)

أحدث أقدم