Ulasan Siri TV White Collar (2009-2014)

Assalamualaikum dan salam sejahtera

Ulasan Siri TV White Collar (2009-2014)

Sebuah siri kepolisan, penjenayah, penyamaran, pemalsuan, penipuan, aku mula menonton siri White Collar ini beberapa minggu yang lalu dan akhirnya terjebak, terikat dengan siri ini apabila berjaya menonton keseluruhan 81 episod dengan jayanya. Jadi, kali ini aku akan berkongsi beberapa ulasan aku tentang siri ini dan mengapa siri ini antara sisi yang terbaik pernah dihasilkan. Selamat membaca.

ULASAN SIRI TV WHITE COLLAR (2009-2014)

White Collar merupakan sebuah televisyen siri bertemakan kepolisan dan drama, diterbitkan oleh Jeff Eastin dan dibintangi oleh Tim DeKay dan Matt Bomer sebagai teraju utama. Siri ini ditayangkan denga musim pertamanya bermula pada tahun 2009 dan musim terakhirnya pada tahun 2014. 

Siri White Collar ini mngisahkan tentang Neal Caffrey, seorang penjenayah yang membantu ejen FBI memberkas penjenayah-penjenayah lain. Hubungan antara mereka semakin rapat setiap episod dan dibantu dengan watak-watak lain.

WHITE COLLAR


Idea Asal : Jeff Eastin
Penerbit : Jeff Eastin, Jeff King, Mark Goffman
Nick Thiel, Margo Myers Massey, Matt Bomer, Tim DeKay 
Lokasi : Bandaraya New York
Musim  : 6
Episod : 81
Durasi : 43-50 minit setiap episod
Tarikh Tayangan : 23 Oktober 2009 - 18 Disember 2014
Rotten Tomatoes : 100%
Metacritic : 79/100
SINOPSIS RINGKAS WHITE COLLAR

Neal Caffrey, seorang penjenayah penipu, pakar pemalsuan dan pencuri diberkas setelah kejar mengejar selama 3 tahun bersama Ejen Khas FBI, Peter Burke. Dengan hanya berbaki 3 bulan sahaja dalam tempoh penjara semalam 4 tahun, Neal melarikan diri untuk mencari kekasihnya, Kate. Peter Burke sekali lagi menemui Neal dan membawa dia kembali ke penjara. 


Kali ini, Neal Caffrey mencadangkan satu tawaran untuk membantu Peter Burke untuk menangkap penjenayah yang berbahaya bersama FBI sebagai sebahagian daripada program pelepasan kerja. Pada mulanya Peter Burke agak ragu-ragu tetapi dia bersetuju dan bermulanya hubungan antara Neal Caffrey dan Peter Burke. Setiap musim mempunyai satu plot yang penting dan setiap episod mempunyai jalan cerita dan kes tersendiri.


WATAK UTAMA WHITE COLLAR

  • Matt Bomer sebagai Neal Caffrey
  • Tim Dekay sebagai Agen Khas FBI Peter Burke
  • Willie Garson sebagai Mozzie
  • Tiffani Thiessen sebagai Elizabeth Burke
  • Marsha Thomason sebagai Agen Khas FBI Diana Berrigan
  • Sharif Atkins sebagai Agen Khas FBI Clinton Jones

ULASAN SIRI WHITE COLLAR

Sebenarnya aku rasa agak ketinggalan sebab selepas 7 tahun siri ini berakhir, barulah aku tentang kewujudan siri White Collar ini. Macam mana boleh terjebak menonton? Aku suka-suka melihat senarai rancangan drama, dokumentati, filem dan siri dalam aplikasi Disney Plus Hotstar, dan akhirnya aku melihat satu siri White Collar yang dilakonkan oleh Matt Bomer.

Perkara pertama yang aku buat adalah melihat 'trailer' di Youtube dan membaca komen-komennya. Rata-rata mengatakan siri ini sangat menarik dan wajib ditonton. Bermula dari situlah aku menonton siri ini diwaktu lapang sehinggalah selesai iaitu sebanyak 81 episod.


PLOT / JALAN CERITA | Untuk mereka yang suka dengan siri kepolisan seperti FBI / CSI dan sebagainya anda bolehlah tonton siri ini. Tapi, siri ini bagi aku ada elemen yang berbeza di mana setiap musim akan mempunyai satu plot penting manakala setiap episod mereka perlu menyelesaikan kes penipuan dan jenayah. Contohnya dalam musim pertama, plot keseluruhannya adalah Neal perlu mencari misteri yang melanda Kate tetapi dalam masa yang sama setiap episod dia perlu membantu Peter Burke menyelesaikan kes-kes sebagai seorang konsultan FBI.

Apabila misteri bagi plot besar telah selesai untuk musim itu, di musim berikutnya akan ada satu lagi jalan cerita yang lebih menarik. Setiap episod juga mempunyai kes-kes jenayah yang menarik, dan aku sangat suka melihat bagaimana mereka perlu menyamar atau menghasilkan barang-barang/ lukisan tiruan untuk menyelesaikan kes.


WATAK | Watak utamanya Neal Caffrey (Matt Bomer) dan Peter Burke (Tim DeKay) mempunyai hubungan yang sangat kompleks. Bagaimana ejen FBI dan penjenayah yang diberkasnya berbaik-baik? Aku boleh lihat bagaimana hubungan persaudaraan/ persahabatan antara mereka semakin mengukuh mengikut musim. Ya, pada awalnya pasti ada keraguan dan tidak percaya, tetapi lama kelamaan mereka saling mempercayai.

Watak-watak pembantu juga sangat membantu dan memberikan kelainan dalam siri ini. Watak Mozzie (Willie Garson) misalnya seorang pakar dalam pemalsuan dan melakukan kerja-kerja belakang tabir untuk watak Neal. Watak ini banyak memberikan situasi atau elemen kelakar sepanjang siri ini. Setiap watak di dalam siri ini bagi aku sangat tepat termasuklah watak-watak penjenayah.


GENRE KEPOLISAN / JENAYAH |
 Genre ini bukanlah antara kegemaran aku walaupun banyak juga drama dan filem bergenre ini yang aku tonton. Aku lebih suka genre Thriller / Aksi / Adiwira. Tetapi satu elemen yang menarik dalam siri ini yan aku suka adalah elemen pemalsuan/ penyiasatan. Aku suka melihat bagaimana jenayah kecurian hasil seni dan barang kemas dijalankan. Bagaimana proses dari awal yang penuh dengan penipua, penyamaran dijalankan dan akhirnya mereka berjaya menyelesaikan kerja yang diberikan.

Filem-filem yang menampilkan elemen sebegini seperti siri filem Ocean antara filem yang aku suka. Berbeza dengan filem, siri ini menampilkan bagaimana penjenayah yang handal dalam penyamaran, pemalsuan, penipuan melakukan semua itu dalam membantu pihak FBI.


SIRI AKHIR | Tidak seperti beberapa sisi televisyen yang ditamatkan sebelum plotnya selesai, siri ini mempunyai satu musim akhir dimana semua jalan cerita berakhir dengan 'baik'. Walaupun penamatnya bukanlah 'happy ending' tetapi penamatnya memberikan pelbagai idea untuk musim baru diterbitkan semula setelah beberapa tahun. Pada tahun 2020, terdapat usaha untuk menerbitkan musim baru oleh penerbitnya, jadi mungkin akan ada musim baru akan datang.


Secara keseluruhannya, siri White Collar ini merupakan satu siri yang sungguh bijak, jalan cerita yang memang terbaik, lakonan yang sangat memuaskan. Setiap jalan cerita dirancang dengan begitu baik dan aku sedih kerana siri ini hanya ada 6 musim sahaja termasuk musim terakhir. Duo watak utamanya mempunyai keserasian yang sangat hebat dan aku boleh umpamakan hubungan mereka seperti Sherlock Holmes dan Watson.

Aku sarankan untuk anda tonton siri ini dan melihat pelbagai kes-kes jenayah yang menarik, hubungan mereka yang cukup dinamik dan pelbagai lagi.

BINTANG : ⭐⭐⭐⭐⭐/5

SUMBER 
  • Google Image
  • Wikipedia

0 تعليقات

The author will not be responsible for any comment left by the readers. Please comment using polite language. Thank you.


إرسال تعليق

The author will not be responsible for any comment left by the readers. Please comment using polite language. Thank you.


Post a Comment (0)

أحدث أقدم