25 Tips dan Panduan Berguna Sebelum Membeli Kereta Terpakai

Assalamualaikum dan salam sejahtera


Membeli kereta terpakai? Pastinya ramai yang memikirkan untuk membeli kereta terpakai berbanding membeli kereta baru kerana pelbagai faktor contohnya seperti harga yang lebih murah dan pelbagai lagi. Tapi tahukah anda, sebelum membeli kereta terpakai, ada pelbagai  perkara yang perlu anda utamakan terlebih dahulu.

Berikut adalah beberapa tips dan panduan yang diberikan oleh mereka yang bijak pandai dan mempunyai ilmu dalam urusan membeli kereta terpakai. Semoga dengan panduan dan tips ini anda dapat membeli kereta terpakai  dengan mudah dan lancar.

{tocify} $title={ISI KANDUNGAN}

PANDUAN SEBELUM MEMBELI KERETA TERPAKAI

1. TETAPKAN BAJET & BELI IKUT KEMAMPUAN


Pertama sekali, anda perlu tetapkan bajet kewangan supaya tidak tersasar atau menerawang jauh tanpa arah tujuan. Kalau bajet anda cuma Proton Saga, tidak perlulah membuang masa melihat senarai harga Porsche 911. 

Seterusnya, beli kereta dengan nilai 15% dari gaji, dan tambah lagi 15% dari gaji untuk kos pembayaran ansuran bulanan. Ini tak termasuk lagi kos kos tersembunyi semasa pemilikan kenderaan.

Kalau bayaran melebihi 15%, nanti tercekik cashflow. Semasa pilihan kereta dibuat, pastikan ini merupakan perkara yang diutamakan.

2. BUKA KALKULATOR PINJAMAN KERETA


Anda boleh gunakan kalkulator online di SINI. Isi maklumat harga kereta (RM20K), bayaran muka (RM5K), kadar faedah (4%) dan tempoh pinjaman (48 bulan @ 4 tahun). Sekarang, total ansuran bulanan anda ialah RM338.68/bulan.

Di sini anda dapat membuat pengiraan tentang pembayaran yang anda bakal lakukan. Adakah sesuai dengan bajet anda?

3. TINJAUAN ONLINE ATAU BUKA MAJALAH, JANGAN KE KEDAI

Buat tinjauan di laman web seperti Mudah atau Carlist, atau beli majalah seperti MotorTrader. Menerusi tetapan had bajet RM20K, anda secara automatik akan dipaparkan pelbagai pilihan model kereta di bawah bajet tersebut.

Ingat, jangan terus pergi ke premis kereta terpakai untuk mengelak 'dipukau' jurujual. Hati-hati, jurujual yang bagus mampu membuatkan anda melanggar had bajet. Sedar tidak sedar bajet RM20K sudah bertambah jadi RM30K. Layari saja Internet. Lebih selamat dan selesa.

4. BELI TERUS DENGAN PEMILIK SEBENAR


Bila beli dengan pemilik asal, segala rekod berkaitan kenderaan dapat diperoleh. Tambahan pula biasa rekod perbatuan jarang diusik oleh pemilik asal. Kemahiran berunding amat diperlukan kerana kalau kena gaya, pemilik asal boleh memberi diskaun atas harga jualan.

Inilah untungnya jika membuat tinjauan online. Anda dapat mencari kereta yang dijual pemilik terus (direct owner). Kenapa perlu pemilik terus? Ini kerana mereka tidak pandai menipu. Anda boleh cuba mengorek rahsia keretanya atau menyoal apa saja. Mana tahu pernah kemalangan? Bersembanglah dengan mesra mengenai kos senggara dan bengkel pilihannya selain bertanya mengenai alat ganti yang pernah atau baru ditukar.

5. SEMAK PERBATUAN (MILEAGE)

Sentiasa pilih kenderaan dengan mileage rendah kerana kereta ini jarang digunakan dan masih mempunyai jangka hayat yang panjang. Sebagai contoh kalau mileage 200,000km pasti lambat laun komponen enjin dan kotak gear akan rosak akibat kehausan.

Kereta yang jauh atau kerap berjalan, secara normal akan cepat haus dan lusuh. Lagi tinggi nilai perbatuan (jauh berjalan), lagi rendah nilai jual semula kereta itu. Cari kereta pada perbatuan rendah atau sederhana.

6. MINTA JADUAL SERVIS

Pemilik yang menyimpan buku jadual servis, termasuk resit alat ganti atau baik pulih ialah mereka yang peduli tentang kereta. Ada pemilik yang menjadikan pusat servis sah sebagai bengkel rasmi dan ada yang sekadar menyenggara kereta di bengkel biasa. Terpulang kepada anda asalkan dia dapat berikan jadual rutin servis yang lengkap.

Maklumat servis sangat penting untuk mengenal pasti ragam kereta. Anda dapat tahu jenis masalah yang kerap berulang. Apakah alat ganti yang sering ditukar? Apakah ada kerosakan major membabitkan kotak gear atau enjin?

Sekiranya membeli dari penjual kenderaan terpakai pula, buat carian kenderaan di pusat servis jenama kenderaan. Cuba selidik bila kereta tersebut melakukan service di pusat service bertauliah, bila kali terkahir service dan pada kilometer ke berapa.

7. PERIKSA ENJIN


Periksa ruangan enjin untuk marking. Semasa proses pemasangan di kilang, komponen kenderaan akan ditanda dengan menggunakan pen marker atau paint marker.

Tandaan ini dibuat sebagai proses (pemberitahuan) bahawa komponen ini telah dipasang dengan betul oleh juruteknik bertauliah. Kenderaan yang dibaikpulih selepas kemalangan jarang mempunyai tanda ini. Jadi, kalau tiada tanda ini kemungkinan besar kenderaan telah mengalami kemalangan.

Jangan terus hidupkan enjin. Ada 2 peringkat perlu diperiksa.

Peringkat 1, buka bonet dan pastikan:
  • Tiada kesan minyak bocor
  • Tiada kabel sambungan elektrik reput atau terputus
  • Tiada komponen material getah yang tertanggal, melecur, melepuh, haus dan rosak
  • Tiada bahanasing dalam radiator. Buka penutup dan lihat air radiator sama ada keruh atau jernih.
  • Tiada bahanasing dalam minyak enjin. Tarik indikator minyak enjin dan lihat rupa minyak (cair, pekat, ada serbuk besi, dan lain-lain).
Peringkat 2, hidupkan enjin dan pastikan:
  • Semua indikator pada panel meter menyala dan terpadam (seperti beg udara, suhu, enjin, ABS, dan lain-lain).
  • Lihat asap yang keluar daripada ekzos. Jika keluar sedikit percikan air dan asap tidak berwarna atau biru sedikit itu bermakna enjin kereta dalam keadaan sihat.
  • Tekan minyak pada 3,000rpm, 4,000rpm dan 5,000rpm. Setiap tahap dibuat secara ligatan (rev) enjin, iaitu tekan hingga mencapai tahap rpm diperlukan dan terus lepaskan pedal minyak. Meter rpm untuk enjin yang baik akan turun sekata bersama deruman lancar (tidak tersekat atau terbatuk).

8. SPOT WELDING

Kepingan besi chassis dan body part biasanya dicantumkan melalui proses spot welding. Kepingan body part ini akan disusun di atas jig dan dicantum melalui proses spot welding. Spot welding ni mencairkan besi dan apabila sejuk, bahagian spot akan bercantum dalam bentuk bulatan seperti gambar.

Spot welding ni biasanya akan di buat di assembly line. Kalau kereta mengalami kemalangan, bengkel luar akan menggunakan sambungan dengan kaedah MIG welding.

Semasa mengintai2 kereta terpakai, lihat bahagian bonet hadapan di sekitar absorber tower, bahagian radiator di pasang dan sekitar fender. Kalau tiada tanda spot welding, kemungkinan kereta telah mengalami kemalangan.

9. PERIKSA RUPA LUARAN & DALAMAN


Ketuk body kenderaan untuk bunyi yang sekata. Bagi kemalangan yang melibatkan panel body serta tidak serius, pemilik asal biasanya akan membaik pulih panel asal dengan kaedah ketuk, melapiskan permukaan panel dengan simen khas dan akhir sekali, diakhiri dengan cat.

Permukaan yang dilapisi dengan simen akan memberikan bunyi yang tidak sama dengan panel asal. Kalau pembaikan dibuat di pusat servis, bahagian berkenaan akan diganti baru.

Anda perlu cerewet sedikit walaupun bukan kereta baharu. Lihat luaran dan dalaman kereta. Warna kereta mungkin pudar sedikit, tetapi janganlah teruk sangat dan ada kemek di sana sini. Kerusi biarlah bersih dan tiada kesan tompokan air tumpah merata-rata.

Jika ada, minta diskaun. Cucian dan gilap menelan belanja hingga RM200. Cat penuh seluruh badan kereta memerlukan RM1K - RM2K, manakala upah mengetuk badan kereta bermula serendah RM150 ke atas (ikut tahap kemek). Minta kurang harga jika pemilik tidak mahu betulkan.

10. TAHAP KESELAMATAN

Bagi yang menaik taraf kenderaan dari kompak ke kereta sedan atau mpv, selain ruang bagasi luas, faktor keselamatan harus diutamakan.

Cara paling mudah untuk memilih kenderaan dengan ciri keselamatan tinggi ialah memiliki pengiktirafan 5 bintang dan mencapai markah penuh 16 point dari AseanNCAP.

Bagi mencapai markah penuh biasanya kenderaan ini dilengkapi dengan Electronic stability control, beg udara, brek anti kunci ABS, ISOFIX untuk kerusi bayi dan menjalani ujian di Makmal Asean Ncap (New Car Assesment Programme)

11. JIMAT BAHAN API

Teknologi terkini seperti VVT, VVTi, Dual VVTi dan iVTEC dicipta bagi mengurangkan penggunaan bahanapi dan mengekalkan kuasa enjin. Walaupun saiz enjin sederhana seperti 1500cc, dengan bantuan teknologi ini, penggunaan bahanapi adalah lebih jimat dan berkuasa

12. HADKAN TAHUN PENGELUARAN 5 TAHUN KE BAWAH

Memang banyak pilihan kereta dengan bajet RM20K. Anda mungkin rambang mata. Tetapi jika anda mencari kereta yang kurang ragam, mungkin anda perlu kecilkan pilihan kereta mengikut tahun pengeluaran setakat 5 tahun (2013). Ini cuma opsyen. Sebenarnya ada saja kereta berusia lebih 5 tahun dalam kondisi baik. Tetapi, anda sekarang sedang cuba mengurangkan risiko.

13. BUAT PERBANDINGAN 

Membeli kenderaan terpakai tidak semudah membeli kenderaan baru. Bermula dari membuat senarai pendek kereta yang ingin dibeli, pandu uji, membandingkan harga akan mengambil masa yang lama.

Penulis sendiri mengambil masa lebih kurang 3 bulan sebelum berjaya membeli kereta yang dihajati

14. PILIH KENDERAAN SENANG DIJAGA

Ada beberapa pertanyaan melalui FB meminta pendapat penulis mengenai jenama Continental (Peugeot, BMW, Meredes, Ford), tapi maaf penulis tiada pengalaman membeli kereta jenama ini.

Jenama ini memerlukan minat yang mendalam, sedikit pengetahuan teknikal dan semestinya poket yang tebal untuk membela kereta continental.

Seorang peminat BMW dan juga seorang usahawan pernah berpesan pada penulis, “ Kalau masih lagi makan gaji, usah dicuba BMW”. Dan pada hari kami berbual, beliau baru sahaja membeli penyerap hentak jenama Koni untuk BMW beliau yang berharga RM 2,500 sepasang.

15. PERIKSA KELENGKAPAN & PERALATAN


Sila pastikan segala kelengkapan dan peralatan berfungsi dengan baik seperti:
  • Lampu tinggi dan rendah, signal, kabus, lampu kabin (di siling) dan amaran (hazard light)
  • Penyaman udara
  • Hon
  • Radio dan pemain cakera padat (CD)
  • Hendal pintu dan glove-box (laci dashboard)
  • Tuil atau penetap cermin sisi
  • Suis tingkap kuasa
  • Soket 2.4V / palam pencucuh rokok
  • Tuil tangki minyak, bonet dan but
  • Pelaras kerusi dan tali pinggang keledar
  • Tayar simpanan dan kotak alatan (tools box)

16. PANDU UJI KERETA


Tidak kira sama ada anda berunding dengan pemilik terus atau penjual kereta terpakai, anda sebenarnya ada hak untuk meminta dibenarkan memandu uji kereta yang mahu dibeli. Memandu uji di sini bukanlah setakat menghidupkan enjin dan menekan pedal minyak. Kereta pilihan anda itu mesti bergerak. Pada tahap ini telinga anda memain peranan penting, termasuk deria lain. Apa yang anda perlu lakukan ialah:

  • Cuba membrek secara perlahan dan kecemasan. Dengar jika ada sebarang bunyi aneh keluar.
  • Cari selekoh dan belok. Dengar jika ada keluar bunyi ketika memusing stereng.
  • Redah kawasan tidak rata. Sama juga, dengar jika ada sebarang bunyi aneh di bahagian tayar atau dalam kabin.
  • Pandu dalam pelbagai halaju (60-110kmj). Pasang telinga dan rasai jika ada bunyi angin, gegaran enjin atau stereng, dan sistem suspensi.
  • Gerakkan setiap takah gear. Jika manual, pastikan setiap takah gear (1-5/6) dapat ditukar lancar. Jika Auto, pandu kereta dalam tetapan D4, D3 atau D2, termasuk R. Pastikan setiap takah gear dapat ditolak atau ditarik masuk dengan lancar dan tidak tersekat atau tersentap.

17. TEKNOLOGI TERKINI

Memang tidak dapat dinafikankan, semakin hari kereta menjadi semakin canggih, selamat dan menjimatkan bahanapi. Keadaan ini menyebabkan kereta lama yang outdated menjadi semakin murah.

Walaupun murah, pastikan kenderaan tersebut memenuhi objektif pembelian. Sebagai contoh, seorang bapa pasti tidak mahu membeli MPV tanpa beg udara dan brek ABS untuk membawa keluarga balik kampong sekiranya mampu.

18. CURIGA HARGA MURAH

Jangan cepat teruja jika ada kereta dijual sangat murah. Sesiapa pun mahu menjual kereta mereka pada harga tinggi atau harga pasaran. Jika terlampau murah, mesti ada udang di sebalik batu.

Banyak kes menunjukkan kereta dijual murah disebabkan perkara berikut:
  • Pernah kemalangan teruk
  • Perbatuan terlalu tinggi
  • Banyak kali bertukar pemilik (3-4 orang).
  • Kereta mungkin nampak cantik, tetapi ragam sebenar mula kelihatan selepas beberapa bulan memandu.

Harga pemilik sebenar mungkin sedikit mahal, tetapi masih ada ruang rundingan. Tambahan lagi jika anda datang dengan kuasa tunai. Ingat, cash is king!

19. ELAK KENDERAAN OVER MODIFIED

Secara peribadi, penulis tidak suka membeli kereta yang telah diubahsuai keterlaluan ala ala Fast n Furious.

Objektif pembelian penulis ialah untuk membawa keluarga dari point A ke B dengan selamat dan jimat, bukan mahu menyertai drag race.

Apa yang dirisaukan ialah kereta tersebut telah diubahsuai sistem gantungan sport yang keras, ekzos bising ala lori balak, rim 19 inci dan sistem elektronik ECU canggih manggih. Pilih yang standard sahaja.


20. AWAS KERETA TOTAL LOST!


Terdapat beberapa kes dimana kereta telah terlibat dengan kemalangan yang serius dan kos pembaikan melebihi 50% dari harga kenderaan.

Sebagai contoh sebuah Perodua Myvi dengan nilai yang dilindungi oleh insurance bernilai 40 ribu telah terlibat dengan kemalangan dan kos pembaikan ialah 22 ribu, melebihi separuh kos sum insured.

Biasanya pihak insurance akan mengisytiharkan kereta tadi total lost dan membayar ganti rugi kepada pemilik asal. Myvi tadi biasa akan dibeli oleh pemilik bengkel, dibaik pulih dan dijual kembali ke pasaran. Kalau saya memang tidak akan beli Myvi tadi walaupun murah.

21. OBJEKTIF PEMBELIAN

Tetapkan objektif pembelian apabila memilih kereta dan jangan terikut dengan kawan-kawan.

Sekiranya kita membeli kereta dan merancang untuk berkahwin, salah satu pilihan yang sesuai ialah Bezza berbanding Myvi. Walaupun bentuk bezza tidak seksi, ruang bagasi yang luas itu akan berguna bagi memuatkan kelengkapan bayi, satu almari baju bini, periuk belanga dan pelbagai aksesori isteri bila pulang ke kampung isteri.. percayalah….


22. AWAS KOS TERSEMBUNYI

Kos kos tersembunyi apabila naik taraf kenderaan ialah kos yang jarang difikir apabila memilih kereta baru.

Sebagai contoh apabila memandu myvi, saiz tayar yang biasa digunakan ialah saiz 14 inci dan saiz bateri juga kecil. Apabila melihat jiran membeli MPV, maka kita pun membuat keputusan membeli MPV tanpa membuat kaji selidik.

Saiz tayar yang besar, saiz bateri, kos selenggara, penggunaan bahan api dan cukai jalan akan jadi jauh berbeza dari Myvi tadi.

23. REALITI KERETA TERPAKAI

Terima kekurangan dan kelebihan kereta yang kita pilih kerana tiada kereta di dunia ini yang 100% sempurna waima dari jenama Ferrari sekali pun.

Pastikan kereta yang dipilih tadi mempunyai point kebaikan melebihi keburukan semasa membuat keputusan.

24. BAWA MEKANIK

Jangan lupa bawa bersama formen atau mekanik yang biasa dengan kita semasa membuat review.

Semasa bawa mereka, jangan lupa bagi duit belanja untuk mekanik. Biar keluar kos RM 50 daripada menanggung kerugian beribu ringgit

25. NEGO SAMPAI JADI

Kalau sudah puas hati, apa lagi. Rundinglah sampai jadi!


Bagaimana dengan 25 panduan ini? Semoga artikel ini dapat memberikan sedikit panduan dan juga input untuk anda sebelum melakukan pembelian kereta terpakai. 

SEMOGA BERMANFAAT

RUJUKAN

MEKANIKA | PANDU LAJU | GOOGLE IMAGE

4 Comments

The author will not be responsible for any comment left by the readers. Please comment using polite language. Thank you.


  1. Kereta second hand ni kalau dapat yang tak banyak ragam tu untung betul. Pengalaman akak 3 biji kereta second hand buat hal. Kena overhault engine. Kemudian ada bocor sana sini. Karat. Tak sampai setahun tau. Tp nak buat camana. Dah nasib. Haha. Ituler masa beli, terkesima dengan tawaran free gift bagai. Hahaha.

    ReplyDelete
    Replies
    1. itulah, memang kena fikir panjang, cari risiko dan sebaginya baru boleh beli. kadang2 ramai yang nak tipu je :)

      Delete
  2. Kita beli wira aeroback jer. Memang dah lama tahun pengeluarannya. Tapi spare part senang nak cari😅

    ReplyDelete
    Replies
    1. kan, mudah sahaja bila kereta yang kita beli tu ada banyak sparepart yg boleh didapati :)

      Delete

Post a Comment

The author will not be responsible for any comment left by the readers. Please comment using polite language. Thank you.


Post a Comment

Previous Post Next Post