Konsert Legasi P. Ramlee: Merentas Masa, Menyatu Generasi Seni

Aerill Hassan
0
Assalamualaikum dan salam sejahtera

Syarikat produksi tempatan, Tanahair Films Sdn. Bhd., yang diasaskan oleh peneraju industri Dato’ Khairul Anwar Salleh dan penggiat seni Adlin Aman Ramlie, hari ini mengumumkan penganjuran Konsert Legasi P. Ramlee yang bakal berlangsung pada Sabtu, 20 September 2025 di Mega Star Arena Kuala Lumpur, Sungei Wang Plaza, Kuala Lumpur.

Konsert Legasi P. Ramlee: Merentas Masa, Menyatu Generasi Seni

Sidang media pelancaran yang berlangsung di Kompleks Studio Merdeka, FINAS, Ulu Kelang, Kuala Lumpur hari ini memperkenalkan barisan artis dan maestro muzik terkemuka yang bakal menjayakan Konsert Legasi P. Ramlee. Acara ini turut menjadi medan pengenalan kepada visi kreatif dan produksi berskala besar yang diilhamkan oleh Tanahair Films di bawah tajuk ‘Projek Perdana P. Ramlee’ sebagai penghargaan terhadap seniman agung selain kecemerlangan legasi seni dan budaya yang pernah dicapai oleh Allahyarham Tan Sri P. Ramlee dan angkatan sezamannya. 

Konsert ini menjanjikan pengalaman persembahan yang unik dan luar biasa dengan menggabungkan konsep klasik, kontemporari dan popular dalam gaya persembahan yang teatrikal, dramatik dan sinematik. Ia bukan sekadar penghormatan kepada Seniman Agung negara, malah satu usaha menyemarakkan semula semangat dan keindahan era kegemilangan seni Melayu yang menjadi khazanah dan legasi kepada khalayak generasi masa kini dan akan datang.

Konsert Legasi P. Ramlee: Merentas Masa, Menyatu Generasi Seni

Dengan membariskan empat Maestro Muzik terkemuka Tanahair, terdiri daripada Dato’ Ramli MS, Datuk Mokhzani Ismail, Helen Yap, dan Michael Veerapen, pengarahan muzik mereka akan mengemudi kekuatan 60 pemuzik orkestra yang bakal menghidupkan lebih 30 karya agung P. Ramlee. Dipersembahkan secara medley, duet mahupun solo secara klasik mahupun susunan muzik baharu dengan gaya lebih terkini, dipercayai ‘repertoire’ persembahan itu nanti akan mampu menyentuh emosi dengan kesan lebih segar selain menghormati keasliannya.

Para penonton bakal disajikan dengan gandingan ikon legenda dan bintang terkini terdiri daripada Dato’ Jamal Abdillah, Datuk Zainalabidin, Ella, MimiFly, Nadeera, dan Liza Hanim yang akan mengekspresikan penghargaan mereka kepada Allahyarham Tan Sri P. Ramlee melalui nyanyian dan gaya persembahan mereka yang tersendiri. 

Sebagai penghargaan kepada warisan seni Tan Sri P. Ramlee yang tidak pernah luput ditelan zaman, konsert ini turut menampilkan persembahan istimewa oleh tiga figura yang sinonim dengan gaya dan persona seniman agung tersebut iaitu P. Radhi, Danie Hasbullah dan Musly Ramlee. Dikenali sebagai antara 'impersonator' paling menyerlah di negara ini, mereka akan membawa penonton menyusuri era klasik yang penuh nostalgia menerusi interpretasi tersendiri yang menggabungkan keaslian suara dan gaya P. Ramlee dalam nuansa persembahan kontemporari.

Ketua Pegawai Eksekutif Tanahair Films, Dato’ Khairul Anwar Salleh, meluahkan rasa teruja atas pelancaran inisiatif kedua Projek Perdana P.Ramlee dalam bentuk konsert, selepas melancarkan format Legasi Podcast sejak September 2024 yang lepas. Beliau menyifatkan pelancaran ini sebagai langkah penting dalam mengangkat martabat seni tanah air ke aras yang lebih tinggi. 

“Konsert ini lebih daripada sekadar persembahan hiburan. Ia adalah jambatan yang menghubungkan generasi, menyatukan nilai seni yang tidak lapuk dek zaman, serta melakar penghormatan yang tulus kepada legasi seorang tokoh agung dalam sejarah seni kita,” ujarnya.

Dalam nada yang penuh semangat, Adlin Aman Ramlie selaku pengarah artistik dan pencetus utama konsert menegaskan bahawa Konsert Legasi P. Ramlee bakal menyajikan pengalaman yang bukan sahaja nostalgik, tetapi juga segar dan mengagumkan. 

Konsert Legasi P. Ramlee: Merentas Masa, Menyatu Generasi Seni

“Kita akan dihidangkan dengan sebuah malam yang membawa penonton kembali ke era keemasan muzik Melayu, namun dengan interpretasi baharu yang diperkaya sentuhan empat figura maestro muzik tersohor. Konsert ini bakal membangkitkan semula roh seni Tan Sri P. Ramlee yang akan meresap bukan hanya dalam melodi, tetapi juga dalam setiap babak yang menyentuh emosi, kekaguman selain mengimbau kenangan,” katanya.


Dapatkan tiket-tiket di www.ticket2u.com.my bermula Khamis, 26 Jun 2025. Jangan lepaskan peluang menyaksikan malam penuh magis dan penghargaan terhadap seni agung tanah air! Ikuti perkembangan dan sorotan eksklusif di media sosial rasmi @konsertlegasipramlee, @TanahAirFilms dan @legasipodcast di Facebook, Instagram dan TikTok.

إرسال تعليق

0تعليقات

The author will not be responsible for any comment left by the readers. Please comment using polite language. Thank you.


إرسال تعليق (0)

#buttons=(Ok, Go it!) #days=(20)

Our website uses cookies to enhance your experience. Learn More
Ok, Go it!