Assalamualaikum dan salam sejahtera
Filem Gayong (2025) ialah sebuah filem aksi drama biografi Malaysia 2025, mengenai kisah pengasas Silat Gayong dari Perak, Datuk Meor Abdul Rahman. Filem diarahkan oleh Faisal Ishak. Ia dibintangi oleh Beto Kusyairy, Nabila Huda, Syafie Naswip dan Yayan Ruhian. Filem ini mula ditayangkan di pawagam pada 8 Mei 2025 manakal di Netflix adalah pada 31 Oktober 2025.
FILEM GAYONG (2025)
Pengarah : Faisal Ishak
Penulis : Naza Manas
Cerita oleh: Eric Ong
Penerbit : Eric Ong, Ihandy, Djohan Kasim, Edy Chandra, Mulia Hartono, Henson Max Widjaja, Gary Du, Amzheng Ahmad (penyelaras), Khairul Anuar Latip (eksekutif)
Sinematografi : Harris Hue Abdullah
Penyunting : Hafeez Mohd Noor
Muzik : Leonard Yeap
Syarikat penerbitan : SOL Pictures
Edaran : Empire Film Solution
Tarikh tayangan :
8 Mei 2025 (Malaysia)
22 Mei 2025 (Singapura)
31 Oktober 2025 (Netflix)
Bajet : RM 7 juta
Pecah panggung : RM 4.11 juta
BARISAN PELAKON FILEM GAYONG (2025)
- Beto Kusyairy sebagai Meor Abdul Rahman, pengamal Silat dari Taiping, Perak berhijrah ke Singapura untuk bekerja
- Nabila Huda sebagai Che Som, isteri kepada Meor
- Syafie Naswip sebagai Mat, adik Che Som, adik ipar kepada Meor
- Yayan Ruhian sebagai Wak Kusang, pendekar Pulau Sudong (beliau bertindak sebagai koreografi seni Silat dan aksi)
- Eric Chen sebagai Master Chan, pengajar seni bela diri kungfu
- Hiromitsu Takeda sebagai Yamada, Pegawai tentera Jepun
- Shannon Wiratchai sebagai Worawut, pemain Tomoi dari Thailand
- Ebby Saiful sebagai Panglima Merah
- Nasir Jani sebagai Penghulu Haron
- Wan Raja sebagai Talib
- Anas Ridzuan sebagai Yunos
SINOPSIS FILEM GAYONG (2025)
ULASAN FILEM GAYONG (2025)
Baru-baru ini aku membuka aplikasi Netflix, dan kemudian terlihat sebuah filem yang baru muncul iaitu filem Gayong. Filem apakah ini? Sebenarnya aku tak menyedari bahawa filem ini telah ditayangkan di pawagam sebelum ini. Mungkin aku yang tidak peka atau sebagainya. Peluang dan ruang yang aku ada ini, aku gunakan untuk menonton filem ini. Jadi, terimalah ulasan filem ini.
Jalan cerita filem ini mudah untuk diikuti, selaras dengan format filem biografi. Plotnya berkembang secara kronologi, membuatkan penonton dapat menjangka arah penceritaan berdasarkan latar zaman dan peristiwa sejarah yang berlaku. Filem ini juga berfungsi sebagai pengenalan buat penonton yang belum mengenali pengasas Silat Gayong, sekali gus membawa mereka menyelami perjalanan hidup tokoh tersebut dari sudut yang lebih peribadi dan emosional.
Penyusunan babak dilakukan dengan kemas. Peralihan latar seperti penghijrahan dari Taiping ke Singapura, fasa membina keluarga di sana, sehinggalah detik getir ketika serangan tentera Jepun, ditampilkan secara tersusun dan jelas. Perubahan suasana dan emosi setiap fasa kehidupan watak utama turut dikembangkan dengan baik tanpa mengganggu aliran naratif.
Beto Kusyairi sekali lagi membuktikan kemampuan lakonannya. Beliau menghidupkan watak utama dengan penuh jiwa, dan tanpa komitmen lakonannya, filem ini mungkin tidak meninggalkan impak yang sama. Gerak tubuh dalam babak aksi, emosi dalam babak dramatik, serta ketenangan dalam babak spiritual, semuanya berjaya disampaikan dengan meyakinkan.
Dari segi visual, CGI dan sinematografi filem ini berada pada tahap yang memuaskan. Jelas kelihatan usaha produksi untuk menghasilkan karya yang berkualiti, meskipun belum mencapai tahap yang benar-benar sempurna. Adegan-adegan yang menggunakan kesan visual tidak keterlaluan dan masih menjaga realisme, namun ada beberapa babak yang terasa sedikit ketinggalan jika dibandingkan dengan standard produksi filem sejarah moden.
Reka bentuk set penggambaran pula dapat dipuji. Latar tempat seperti kampung Melayu, suasana Singapura lama serta era penjajahan Jepun dipersembahkan dengan cukup meyakinkan. Keaslian dapat dirasai melalui pakaian, perabot, serta suasana persekitaran. Namun, bagi sesetengah penonton yang lebih peka terhadap sejarah, mungkin timbul persoalan tentang sejauh mana tepatnya representasi budaya dan gaya hidup masyarakat Melayu pada era 1930-an hingga 1940-an. Walaupun tidak mengganggu keseluruhan perjalanan cerita, perincian ini sedikit sebanyak mempengaruhi tahap keautentikan.
Dari sudut muzik, filem ini berada di tahap sederhana. Skor muziknya berfungsi untuk mengiringi emosi dan babak penting, tetapi tidak cukup kuat untuk memberikan kesan mendalam atau meninggalkan memori selepas tontonan. Elemen kemelayuan dalam muzik juga terasa agak kurang, sedangkan filem ini berkait rapat dengan warisan Melayu dan seni bela diri tradisional.
Jika elemen muzik tradisional Melayu atau gabungan penuh orkestra digunakan dengan lebih dramatik, mungkin kesan emosinya akan lebih mencengkam. Potensi untuk menjadikan muzik sebagai salah satu kekuatan utama filem ini sebenarnya besar, namun ia tidak dimanfaatkan sepenuhnya.
BINTANG : ⭐⭐⭐⭐⭐⭐⭐/10
SEKIAN
RUJUKAN :-
- Wikipedia
- Netflix
- Google Image












Akak dah tengok citer ni kat Netflix...best gak...
ردحذف