Ulasan dan Review Siri Loki (Musim 1)

Assalamualaikum dan salam sejahtera


Akhirnya siap juga artikel ulasan untuk siri Loki ini. Diperam cukup lama ya setelah siri ini untuk musim pertama tamat pada bulan Julai yang lalu. Setelah beberapa bulan, akhirnya siap juga ulasan untuk siri Loki ini. Maaf kepada mereka yang menunggu lama untuk ulasan ini dikeluarkan, oleh itu tanpa melengahkan masa, terimalah, ulasan dan review siri Loki (Musim 1).

ULASAN & REVIEW LOKI


Loki merupakan sebuah siri televisyen yang dihasilkan oleh Michael Waldron untuk laman pengstriman Disney Plus, berdasarkan watak dengan nama yang sama dalam Komik Marvel. Siri ini merupakan siri televisyen ketiga di dalam Marvel Cinematic Universe (MCU). Siri ini mengambil masa selepas satu jalan cerita di dalam filem Avengers : Endgame (2019), dimana versi Loki lain mencipta sebuah garis masa baru. 

Siri ini mula dibangunkan seawal September 2018, dimana Marvel Studio ketika itu sedang membangunkan siri terhad untuk saluran Disney Plus berdasarkan watak-watak pembantu di dalam filem MCU. Sebuah siri menampilkan Tom Hiddleston sebagai Loki diumumkan pada November 2018. Michael Waldron menjadi penulis pada Februari 2019 dan Kate Herron menjadi pengarah pula pada bulan Ogosnya. 

Proses lakonan bermula pada Februari 2020 di Atlanta, Georgia tetapi terpaksa diberhentikan pada Mac 2020 kerana Covid-19 dan disambung semula pada September dan berakhir pada bulan Disember 2020. 

Loki ditayangkan pada 9 Jun 2021. Untuk musim pertama, terdapat 6 episod dan untuk musim ini episod akhirny adalah pada 14 Julai 2021 dan siri ini adalah sebahagian dari Fasa 4, MCU.  Pengkritik memberikan review positif, dengan pujian pada persembahan, muzik dan juga visual. Ketika ini,  musim kedua bagi siri ini sedang dibangunkan. 


LOKI (MUSIM 1)


Penerbit : Michael Waldron, Kevin Feige, Louis D'Espasito, Victoria Alonso, Stephen Broussard, Tom Hiddleston, Kate Herron
Pengarah : Kate Herron
Muzik : Natalie Holt
Durasi Episod : 42-54 minit
Rotten Tomatoes : 92%
Metacritic : 74/100

BARISAN PELAKON LOKI

  • Tom Hiddleston sebagai Loki
  • Gugu Mbatha-Raw sebagai Ravonna Renslayer
  • Wunmi Mosaku sebagai Hunter B-15
  • Tara Strong sebagai Miss Minutes
  • Owen Wilson sebagai Mobius M. Mobius
  • Sophia Di Martino sebagai Sylvie
  • Sasha Lane sebagai Hunter C-20
  • Jack Veal sebagai Kid Loki
  • DeObia Oparei sebagai Boastful Loki
  • Richard E. Grant sebagai Classic Loki
  • Jonathan Majors sebagai He Who Remains


SINOPSIS SIRI LOKI


Lihat Sinopsis Siri Loki (Musim 1) di sini 🠋

ULASAN & REVIEW SIRI LOKI 


Sekali lagi nak minta maaf sebab terlupa nak cerita dan ulas tentang siri Loki ini yang sudah berbulan-bulan tamat tayangannya untuk musim pertama. Okay, kali ini aku nak ulas dan berikan pandangan aku sebagai peminat Marvel dan juga pengulas filem/siri tanpa tauliah. ✌


JALAN CERITA | Tahniah kepada penulis bagi keseluruhan musim pertama Loki ini kerana jalan ceritanya yang sangat berbeza, sesuatu yang segar di dalam MCU. Selepas WandaVision, Falcon and Winter Soldier, Marvel Studio menghadiahkan peminat satu siri yang cukup menarik. Sudah diagak jalan cerita akan bermula selepas Loki di dalam versi lain yang mengambil Tesseract akan membuka satu lembaran baru dalam MCU dan ianya terbukti melalui siri ini.

Permulaan siri ini temanya adalah mencari siapakah "Loki" yang membuat kekacauan. Terselit juga babak Loki melihat perjalanan hidupnya sehingga riwayatnya dihabiskan oleh Thanos. Kemudiannya, Temanya berubah kepada melarikan diri. Loki dan Sylvie melarikan diri dari diburu TVA. Terselit babak 'hampir intim' antara Loki dan variannya sendiri. Tema terakhirnya adalah memburu dalang bagi TVA. Sylvie, Loki dan Mobius berada di penghujung masa, dan dibantu beberapa varian Loki yang lain untuk memburu dalang sebenar.


Lagi menarik apabila pengakhiran siri ini membawa satu kisah yang tergantung dan mungkin akan menyebabkan peperanga antara multi-verse. Cukup menarik dan bagi aku sendiri ini adalah hala tuju Fasa 4 MCU yang paling baik.

LAKONAN | Pelakon yang dibawa untuk menjayakan watak-watak di dalam siri Loki ini bagi aku sangat tepat. Walaupun watak-watak kecil, semuanya memberikan impak tersendiri. Tom Hiddleston semestinya satu pelakon yang cukup berwibawa. Beliau mengenali watak Loki ini lebih lama daripada sesiapa pun. Apabila namanya tersenarai di dalam senarai penerbit, disitu adalah bukti betapa watak ini cukup dekat dengan beliau.



Kalau sebelum ini keserasian antara Loki (Tom H.) dan Thor (Chris H.) adalah sangat bagus, tetapi kali ini Loki dilihat bersama dengan dua karakter yang baru diperkenalkan iaitu Mobius dan Sylvie. Keserasian watak-watak ini dapat dilihat sepanjang musim pertama ini.

Kalau ditanya watak mana yang paling aku suka? Banyak sebenarnya tetapi yang memberikan impak adalah watak Classic Loki yang dibawakan oleh Richard E. Grant. Walaupun wataknya di skrin tidaklah lama, tetapi wataknya benar-benar menjadi sesuatu yang diperkatakan ramai.


SINEMATOGRAFI | Baiklah, sinematografi dalam siri ini juga sangat cantik dan memukau. TVA, satu agensi yang mengurus garis masa. Setiap babak di agensi ini kita dapat lihat 'aesthetic' seperti di zaman 80-an dan 90-an.  Sinematografi di Lamentis juga sangat cantik, walaupun ketika itu bencana dan kemusnahan alam sedang berlaku. Aku cukup suka dengan babak ketika Loki dan Sylvie berkejaran untuk cuba menaiki roket yag akhirnya musnah.


Sinematografi di 'void' juga sangat cantik dan penuh dengan cameo beberapa objek didalam Marvel Cinematic Universe. Babak Classic Loki menghasilkan 'Assgard' juga cukup cantik dan aku terpukau! Tiada dalam bayangan aku bahawa babak ini akan wujud. Classic Loki sememangnya sangat kuat!

MUZIK | Bukan sahaja jalan ceritanya yang unik, muzik yag dihasilkan di dalam siri ini juga sangat unik. Penggunaan alat muzik theremin iaitu salah satu alat muzik elektronik cukup sesuai dengan tema siri ini.

Okay, kepada anda yang tak tahu, komposer bagi muzik di dalam keseluruhan siri ini adalah Natalie Holt. Pada siri Britain Got Talent (2013), beliau mencipta sensasi apabila ketika persembahan, beliau pergi ke pentas dan membaling telur kepada juri Simon Cowell. 


TAK PUAS | Jujur, 6 episod sangatlah tidak cukup untuk siri Loki ini. Sebelum episod 6, aku rasa cerita ini perlu dipanjangkan lagi, banyak lagi kisah Loki, TVA dan Sylvie yang boleh diterokai. Tetapi, melihat kepada babak dihujung episod 6 membawa kegembiraan kerana ia membuktikan musim kedua siri ini akan ada dimana babaknya tergantung.


TAK SABAR | Musim kedua, aku tak tau apa yang nak dijangkakan. Ini adalah MCU, dimana semuanya adalah berkaitan. Tema multi-verse sedang diperingkat awal dengan beberapa pengenalan tentang multi-verse di dalam MCU mula ditunjukkan melalui siri WandaVision, siri Loki ini, dan beberapa filem mendatang seperti Spider-Man : No Way Home dan Doctor Strange In the Multiverse of Madness.

Watak Jonathan Majors pula pastinya akan menjadi salah satu watak jahat yang besar selepas ini di dalam MCU, mungkin lebih jahat daripada watak Thanos. Apa-apapun sehingga kini tiada sebarang tarikh musim kedua dikeluarkan. Jadi, sama-samalah kita menunggu berita baik itu.


Secara keseluruhannya, siri ini sebuah siri yang cukup menghiburkan, penuh dengan tema dan sinematografi menarik. Jalan ceritanya yang juga sangat menyeronokkan. Banyak watak baru diperkenalan melalui siri ini. Tak sabar menantikan sambungan siri ini di musim kedua. 

Okay, kepada anda yang menantikan projek dan filem terbaru daripada Marvel Studios, anda bolehlah menonton siri What If dan in shaa Allah jika ada masa aku akan mengulas tentang siri itu pula.

BINTANG : ⭐⭐⭐⭐⭐/5

RUJUKAN : 

2 Comments

The author will not be responsible for any comment left by the readers. Please comment using polite language. Thank you.


  1. tinggi rating awak tu. tertarik pulak nak tengok.

    ReplyDelete
  2. tengah berkira-kira nak tengok siri ni, dari review nampak macam menarik juga ni

    ReplyDelete

Post a Comment

The author will not be responsible for any comment left by the readers. Please comment using polite language. Thank you.


Post a Comment

Previous Post Next Post