Ulasan Penuh Filem Penuh Aksi Coast Guard Malaysia: Ops Helang (2023)

Assalamualaikum dan salam sejahtera


Apa khabar pembaca dan rakan-rakan sekalian? Alhamdulillah, baru-baru ini aku berpeluang untuk menghadiri majlis Malam Gala Tayangan Perdana sebuah filem terbaru berjudul Coast Guard Malaysia: Ops Helang (2023). Majlis yang dianjurkan penuh gilang gemilang ini telah diadakan di Pawagam Dadicinema, Pavilion Kuala Lumpur.

Filem Coast Guard Angkat Perjuangan Maritim Menerusi 'Ops Helang'


Filem yang diterbitkan oleh Flying Deals Sdn Bhd dan Arie Zahari Production serta penerbit bersekutu dan edaran Metrowealth International Group (MIG) telah menzahirkan setinggi ucapan terima kasih kerana amat menghargai sokongan penuh yang diberikan oleh Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) serta pihak FINAS yang telah memberi sokongan Dana Kandungan Digital (DKD) dan Dana Kandungan Marketing kepada filem ini demi memastikan filem Coast Guard Malaysia dapat menemui penonton di pawagam dengan jayanya.


Coast Guard telah mempertaruhkan Saharul Ridzwan, Adlin Aman Ramlie, Julia Farhana serta pelakon lagenda Malaysia, Sabri Yunus sebagai barisan utama. Selain itu, Hazama, Aziz M. Osman, Jaja Illiyes, Akmal Ahmad, Kodi Rasheed, Aman Nasim, Hafiz Rafiash dan Joe Aziz turut sama membarisi filem ini. 

Filem aksi hebat ini merupakan karya terakhir pengarah terkemuka iaitu Allahyarham Pitt Hanif yang turut terlibat dalam penghasilan filem Lelaki Harapan Dunia dan One Two Jaga sebagai pembantu pengarah. Anak kepada seniwati negara Fauziah Nawi ini juga telah merangkul Anugerah Cerita Asal Terbaik menerusi filem One Two Jaga di Festival Filem Malaysia yang ke-30. 


Fenomena baharu industri perfileman Malaysia dijangka bakal tercetus apabila aset milik APMM didedahkan secara eksklusif dalam filem  ini yang juga telah menelan perbelanjaan sebanyak RM 6 juta  dan tidak termasuk nilai aset milik Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) yang digunakan. 

Coast Guard Malaysia : "Ops Helang" bakal membelah lautan pawagam di seluruh Malaysia, Brunei dan Singapura pada 2 Februari 2023 ini!

FILEM COAST GUARD: OPS HELANG (2023)

  • Durasi : 85 minit
  • Bahasa : Bahasa Melayu
  • Genre : Drama, Aksi
  • Klasifikasi : P13
  • Pengarah : Allahyarham Pitt Hanif
  • Pelakon : Saharul Ridzwan, Julia Farhana, Adlin Aman Ramli, Hazama, Aziz M. Osman, Jaja Iliyes, Akmal Ahmad, Kodi Rasheed, Aman Nasim, Hafiz Rafiah, Joe Aziz dan ramai lagi.
  • Penerbit : Flying Deals Sdn.Bhd & Arie Zaharie Production
  • Edaran : Metrowealth International Group (MIG)

SINOPSIS PENUH FILEM COAST GUARD MALAYSIA: OPS HELANG 

Filem Coast Guard Malaysia ini memaparkan kisah kehidupan seorang Pegawai Pasukan Tindakan Khas dan Penyelamat (STAR Team) Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) iaitu Leftenan Maritim Hafiz (Saharul Ridzwan) yang ingin memulakan kehidupan baharu di sebuah pulau setelah mengalami Gangguan Stress Pasca Trauma (PTSD) akibat kehilangan rakan setugasnya dalam sebuah misi operasi. 


Hafiz juga membawa tunangnya Nurul untuk tinggal bersama setelah mereka memutuskan untuk berkahwin. Namun, ketika Majlis Sambutan Pertunangan Hafiz dan Nurul, sekumpulan penjenayah yang tidak dikenali telah menyerang mereka dan menculik Hafiz, Nurul dan ibu-bapanya serta beberapa lagi tetamu lain termasuk beberapa Anggota APMM untuk dijadikan tebusan. 

Leftenan Maritim Melati (Julia Farhana), seorang Pegawai Penyiasat APMM daripada Bahagian Siasatan Jenayah Maritim yang ditugaskan untuk menyiasat kes itu berjaya menemui dan menyelamatkan Hafiz, Nurul dan bapanya. Krisis terus meruncing apabila kumpulan penjenayah itu berterusan mencabar komitmen Hafiz dan APMM lalu menyebabkan satu operasi besar-besaran diaktifkan sehingga kumpulan penjenayah terbabit tumpas.

ULASAN FILEM COAST GUARD: OPS HELANG

Menonton trailer filem ini serta mendengar lagu tema 'Yes Sir' membuatkan aku sendiri betul-betul teruja untuk menontonnya.  Barisan pelakon yang membarisi filem ini juga membuatkan aku sangat teruja menanti apakah yang akan dipertontonkan buat penonton.


Baiklah, pertama sekali jalan ceritanya penuh dengan aksi. Sudah lama ya aku sendiri menantikan sebuah filem Malaysia yang digarap penuh aksi, ditambah dengan jalan ceritanya yang mudah difahami. Seawal minit pertama kali, penonton dihidangkan dengan aksi lincah pegawai APMM mempertahankan kawasan lautan negara.

Lebih menarik apabila elemen plot twist turut ditonjolkan dalam filem ini. Walaupun aku sendiri sudah boleh berkira-kira siapa penjahat sebenar, tetapi plot twist yang diberikan memberikan kepuasan bagi aku dalam membuat penilaian terhadap filem ini. 


Filem ini bagi aku sendiri berjaya memperlihatkan apa itu APMM, bagaimana mereka bertindak dan dimana bidang kuasa mereka. Aku pasti umum tidak tahu sebenarnya tentang tugas mereka serta bagaimana mereka bertindak dalam mempertahankan perairan negara. Aset-aset APMM yang dipertontonkan pula membuatkan aku rasa bangga kerana ketika aku sedang bersenang lenang di sini, mereka iaitu APMM pula sedang menjaga kawasan maritim tanpa penat lelah.



Lakonan dalam filem ini terutamanya lakonan Adlin Aman Ramlie, Sabri Yunus dan Hazama antara lakonan yang sangat berjaya. Lakonan yang cukup bersahaja, lucu dan penuh emosi adalah cukup hebat dan memukau. Julia Farhana dan Saharul Ridzwan juga tidak kurang hebatnya memperlihatkan bagaimana pegawai APMM beraksi menentang musuh.


Sebagai kesimpulannya, aku percaya filem Coast Guard Malaysia: Ops Helang  (2023) ini bakal menjadis atu lagi fenomena menarik bagi industri perfileman negara. Inilah masanya untuk rakyat Malaysia mengenali apa itu Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia. Tahniah diucapkan kepada semua pihak yang menjayakan filem ini. Untuk itu aku berikan filem ini ;

BINTANG :⭐⭐⭐⭐/5


Jangan lupa untuk tonton filem ini dipawagam berdekatan anda bermula 2 Februari 2023 ini!


SEKIAN

0 Comments

The author will not be responsible for any comment left by the readers. Please comment using polite language. Thank you.


Post a Comment

The author will not be responsible for any comment left by the readers. Please comment using polite language. Thank you.


Post a Comment (0)

Previous Post Next Post