Assalamualaikum dan salam sejahtera
Pulau Pinang bukan sahaja terkenal dengan keindahan pantainya dan kekayaan sejarah George Town, tetapi juga menjadi destinasi ideal untuk pelancong bajet yang inginkan pengalaman bercuti yang lengkap tanpa perlu berbelanja besar. Sama ada anda merancang percutian secara solo atau bersama keluarga, negeri ini menawarkan pelbagai pilihan makanan murah, penginapan mampu milik serta aktiviti menarik yang sesuai untuk semua lapisan umur. Dalam panduan ini adalah senarai tempat-tempat makan yang wajib cuba, tarikan popular yang berbaloi dilawati, serta beberapa tips jimat untuk memudahkan percutian anda di Pulau Mutiara ini.
✅ Kenapa Pulau Pinang Pilihan Terbaik untuk Travel Bajet?
Pulau Pinang khususnya bahagian pulau seperti Georgetown, Batu Ferringhi dan Air Itam merupakan antara destinasi terbaik di Malaysia untuk percutian bajet. Ia menawarkan kombinasi sempurna antara keindahan alam, budaya tempatan, warisan sejarah dan makanan yang memikat semua ini boleh dinikmati tanpa perlu menghabiskan wang yang banyak.
Untuk pelancong solo, Pulau Pinang sangat sesuai kerana banyak tempat menarik boleh diakses dengan berjalan kaki atau menaiki bas awam. Manakala untuk keluarga, aktiviti seperti lawatan ke pantai, muzium interaktif, dan tempat makan mesra kanak-kanak menjadikan percutian lebih seronok tanpa perlu berbelanja besar.
✅ Cara & Kos Ke Pulau Pinang
Sebenarnya ada pelbagai cara untuk datang bercuti ke Pulau Pinang, sama ada melalui pengangkutan darat, air mahupun udara. Tetapi untuk percutian bajet, berikut adalah antara cara pengangkutan yang sesuai.
🚍 Naik Bas Ekspres
- Harga tiket: RM35 – RM45 (sehala)
- Dari mana: Terminal Bersepadu Selatan (TBS), Kuala Lumpur
- Tempat turun:
- Sungai Nibong (Pulau): Dekat dengan Georgetown & Batu Ferringhi
- Penang Sentral (Butterworth): Sambung feri ke pulau
🚉 Turun di Penang Sentral (Butterworth)
Jika anda turun di Penang Sentral:
- Naik feri ke Jeti Georgetown (±15–20 minit)
- Percuma untuk pejalan kaki
- Dari jeti, anda boleh:
- Jalan kaki ke street art & tempat makan
- Naik bas Rapid Penang (terminal berdekatan)
- Naik Grab atau sewa basikal (LinkBike)
Sesuai untuk: Pelancong solo, pelajar, dan mereka yang suka jalan kaki atau guna pengangkutan awam
🚗 Naik Kereta Sendiri
- Kos minyak & tol pergi balik KL–Penang:
- Minyak: RM70 – RM100
- Tol: RM50 – RM60 sehala
- Parkir:
- Banyak pilihan parkir awam berbayar
- Pilih hotel dengan parkir percuma (jimat untuk keluarga)
BACA JUGA : PENGALAMAN TERBANG DENGAN FIREFLY DARI PENANG
✅ Tempat Penginapan Menarik & Bajet di Pulau Pinang
Sama ada anda melancong secara solo atau bersama keluarga, mencari penginapan yang selesa tapi berpatutan adalah kunci utama untuk travel bajet yang berjaya. Berikut ialah beberapa pilihan penginapan yang strategik, selesa dan mesra bajet, semuanya terletak di bahagian pulau:
🔹 1. The Frame Guesthouse, Georgetown | Penginapan ala backpacker yang sangat popular dalam kalangan pelancong solo. Lokasi sangat strategik – hanya beberapa langkah dari Lebuh Armenian dan mural terkenal.
🔹 2. Tido Penang Hostel, Jalan Argyll | Pilihan moden dan minimalis, lengkap dengan ruang santai dan WiFi laju. Sesuai untuk solo traveller atau pasangan muda. Dekat dengan stesen bas Rapid Penang.
🔹 3. Old Penang Guesthouse, Lebuh Muntri | Rumah warisan lama yang diubah suai, sesuai untuk yang suka suasana klasik. Boleh jalan kaki ke Komtar dan kawasan UNESCO.
🔹 4. WOW Hotel Penang, Jalan Argyll | Hotel bajet yang sesuai untuk keluarga kecil – ada bilik famili, berhawa dingin dan kemas. Jarak hanya 10 minit berjalan ke Komtar.
🔹 5. Carnarvon House, Georgetown | Sebuah penginapan bergaya kolonial yang selesa untuk pasangan atau solo traveller. Terletak di kawasan tenang tapi masih dalam zon pelancongan.
🔹 6. Container Hotel Penang, Lebuh Pantai | Hotel dengan konsep moden dan mesra bajet. Lokasi hebat di tengah bandar dan mudah ke mana-mana. Sesuai untuk solo dan pasangan.
🔹 7. Chulia Heritage Hotel, Georgetown | Hotel bajet klasik tetapi selesa, sesuai untuk keluarga. Lokasi strategik – senang cari makanan dan kemudahan awam.
🔹 8. Ryokan Muntri Boutique Hostel, Lebuh Muntri | Mesra pelancong antarabangsa, ada sarapan percuma dan ruang rehat. Ramai yang suka dengan vibe santai hostel ini.
🔹 9. 28 Bahari, Batu Ferringhi | Untuk mereka yang mahu suasana pantai tapi masih bajet. Guesthouse kecil berdekatan Pantai Batu Ferringhi.
🔹 10. 1926 Heritage Hotel, Jalan Burma | Hotel lama yang terkenal dan sesuai untuk keluarga. Ada kolam renang dan ruang yang luas. Berhampiran dengan Gurney Drive.
Semua penginapan di atas dipilih berdasarkan lokasi yang strategik dan mudah diakses sama ada dengan berjalan kaki, bas Rapid Penang, atau kenderaan sendiri. Ia juga sesuai untuk bajet rendah hingga sederhana, tanpa mengorbankan keselesaan.
Anda digalakkan untuk menyemak harga terkini melalui laman web seperti Agoda, Booking.com, atau Traveloka kerana kadar boleh berubah mengikut musim dan promosi. Jika anda merancang awal, kadangkala ada diskaun istimewa untuk tempahan awal atau penginapan pada hari biasa (bukan hujung minggu).
✅ 10 Tempat Makan Menarik di Pulau Pinang
Okay, tempat penginapan dah dapat, macam mana pula dengan tempat makan? Ya, Pulau Pinang dikenali sebagai syurga makanan, begitu banyak tempat makan menarik yang anda boleh kunjungi untuk menikmati makanan yang lazat-lazat belaka. Berikut merupakan antara tempat-tempat makan menarik yang anda boleh kunjungi :-
1. Nasi Kandar Deen Maju
Terletak di Jalan Gurdwara, George Town, Nasi Kandar Deen Maju memang menjadi tumpuan ramai kerana ayam gorengnya yang rangup di luar dan juicy di dalam. Kuah campuran kari yang dituang ke atas nasi putih menjadikan setiap suapan penuh dengan rasa. Waktu makan tengah hari di sini sering dipenuhi pelanggan, jadi datang awal sangat disarankan.
2. Hameediyah Beriani
Bertempat di Lebuh Campbell, George Town, Hameediyah ialah antara restoran nasi kandar tertua di Pulau Pinang, beroperasi sejak 1907. Menu beriani mereka sangat terkenal, terutamanya dengan lauk seperti ayam ros, kari daging, dan rendang. Suasana klasik dan rasa asli menjadikan tempat ini wajib singgah bagi penggemar nasi kandar.
3. Teochew Chendol, Penang Road
Gerai lagenda ini terletak di Lebuh Keng Kwee, bersebelahan Penang Road, George Town. Teochew Chendol terkenal dengan cendol asli yang disediakan dengan ais serut halus, santan lemak, gula Melaka pekat, dan cendol hijau yang kenyal. Ia sering dikunjungi pelancong yang ingin mencuba pencuci mulut ikonik Pulau Pinang.
4. Nasi Kandar Kampung Melayu
Terletak di kawasan perumahan Kampung Melayu, Air Itam, tempat makan ini terkenal dengan lauk-lauk kari yang kaya rempah. Antara yang menjadi pilihan ialah ayam goreng berempah, kari kepala ikan, dan daging masak hitam. Tempat ini menjadi kegemaran penduduk tempatan, jadi ia antara spot 'hidden gem' untuk pelancong.
5. Gani Famous Pasembur
Berlokasi di Medan Renong, Padang Kota Lama, Gani Famous Pasembur menawarkan hidangan pasembur dengan pelbagai jenis cucur seperti cucur udang, sotong goreng, dan telur rebus, disiram sos kacang yang pedas-manis dan pekat. Suasana santai bersebelahan laut menjadikannya pilihan ideal untuk makan petang.
6. Mee Sotong Hameed Pata
Gerai ini terletak di Padang Kota Lama, berdekatan dengan Fort Cornwallis, dan sangat popular dengan mee sotongnya yang kaya dengan rasa pedas manis. Sotong besar dimasak bersama mee goreng atau mee rebus dengan kuah pekat. Sering kali orang sanggup beratur panjang demi menikmati hidangan ini.
7. Kedai Nasi 7 Benua (Koo Boo Café)
Bertempat di Jalan Tun Dr Awang, Bayan Lepas, Koo Boo Café terkenal dengan konsep unik ‘Nasi 7 Benua’ – hidangan nasi tujuh warna seperti nasi tomato, nasi lemak, nasi hujan panas dan lain-lain, disajikan bersama lauk pauk tradisional. Ia sangat Instagram-worthy dan sesuai untuk keluarga atau pelancong yang mahu cuba sesuatu berbeza.
8. Ais Tingkap
Terletak di Lebuh Tamil, George Town, Ais Tingkap ialah minuman tradisional ikonik yang disediakan melalui tingkap kecil sejak tahun 1950-an. Minuman ini menggabungkan air kelapa, sirap ros, biji selasih dan herba tradisional, menjadikannya penyegar unik yang sukar didapati di tempat lain.
9. Pasembur Gurney Drive
Berlokasi di Gurney Drive Hawker Centre, tempat ini menawarkan pelbagai pilihan pasembur laut seperti sotong, udang, telur, dan keropok, semuanya disiram dengan kuah kacang manis pedas. Pemandangan laut serta deretan gerai menjadikan pengalaman makan di sini sangat santai dan menarik.
10. Laksa Janggus
Laksa Janggus terletak di Balik Pulau, dan cukup terkenal dalam kalangan peminat laksa. Hidangan utamanya ialah laksa Penang yang pekat, masam dan pedas, dimasak menggunakan ikan segar serta dihidang bersama daun salad, bunga kantan dan telur rebus. Suasana kampung menjadikan tempat ini lebih istimewa.
✅ Aktiviti Menarik di Pulau Pinang Tanpa Belanja Besar
Pulau Pinang bukan sekadar syurga makanan ia juga kaya dengan tarikan menarik yang tidak memerlukan perbelanjaan besar. Sesuai untuk pengembara solo mahupun keluarga, aktiviti-aktiviti berikut boleh dinikmati dengan kos yang rendah, malah ada yang percuma!
1. Naik Bukit Bendera | Salah satu tarikan utama di Pulau Pinang ialah Bukit Bendera. Dengan hanya RM16 untuk dewasa dan RM8 untuk kanak-kanak/warga emas (warganegara Malaysia), anda boleh menaiki kereta kabel ke puncak dan menikmati udara segar serta panorama kota George Town dari ketinggian. Sesuai untuk aktiviti keluarga, dan jika datang awal pagi, anda boleh elakkan kesesakan dan menikmati suasana yang lebih tenang.
2. Bergambar di Street Art George Town | Luangkan masa menjelajah lorong-lorong di George Town untuk melihat lukisan dinding ikonik seperti “Boy on Motorcycle” dan “Children on a Bicycle”. Aktiviti ini percuma dan amat digemari pengunjung untuk bergambar dan merasai suasana unik kota warisan dunia ini.
3. Bersiar-siar di Padang Kota Lama | Padang Kota Lama bukan sahaja lokasi terkenal untuk makanan, tetapi juga tempat santai di tepi laut. Taman-taman kecil, meriam lama dan pemandangan laut memberi peluang untuk bersantai sambil anak-anak bermain. Percuma dan sangat mesra keluarga.
4. Melawat Muzium Negeri Pulau Pinang |Untuk pengunjung yang ingin mengenali sejarah dan budaya tempatan, muzium ini mengenakan bayaran masuk yang sangat rendah (sekitar RM1–2). Ia terletak di tengah George Town dan mudah diakses dengan berjalan kaki.
5. Bersantai di Pantai Tanjung Bungah | Pantai ini tidak sepadat Batu Ferringhi, tetapi tetap cantik dan sesuai untuk berkelah. Anda boleh bawa makanan sendiri dan nikmati suasana pantai tanpa perlu belanja besar.
6. Berjalan di Armenian Street | Kawasan ini bukan sahaja terkenal dengan seni jalanan tetapi juga pasar kraftangan, kedai unik dan persembahan jalanan. Anda boleh cuci mata, bergambar dan membeli sedikit cenderamata jika mahu.
7. Lawatan ke Masjid Terapung Tanjung Bungah | Masjid ini bukan sahaja tempat ibadah, tetapi juga tarikan seni bina. Terletak di atas air laut, ia memberi pemandangan menakjubkan terutama waktu senja. Lawatan adalah percuma.
8. Jungle Trekking di Penang National Park | Jika anda sukakan alam semula jadi, Penang National Park menawarkan beberapa trek hutan yang menghala ke pantai terpencil seperti Pantai Kerachut. Kemasukan adalah percuma tetapi anda boleh pilih untuk upah pemandu bot dengan harga berpatutan.
9. Nikmati suasana malam di Pasar Malam Batu Ferringhi | Pasar malam ini menjual pelbagai barang unik, makanan jalanan, cenderamata dan pakaian dengan harga yang boleh dirunding. Sekadar berjalan-jalan di sini pun sudah menghiburkan, tanpa perlu berbelanja besar.
10. Naik Feri Pulau Pinang (Pangkalan Raja Tun Uda ↔ Pangkalan Sultan Abdul Halim) | Walaupun jambatan kini menjadi pilihan utama, menaiki feri kekal sebagai pengalaman klasik yang unik. Dari Pangkalan Raja Tun Uda di George Town ke Pangkalan Sultan Abdul Halim di Butterworth, tambang untuk seorang dewasa adalah RM 2 setiap perjalanan dan RM 1 untuk kanak-kanak (umur 5–12 tahun) . Perjalanan mengambil masa sekitar 15–20 minit, dan anda akan menikmati pemandangan laut yang tenang serta panorama George Town yang menarik—terutama cantik ketika matahari terbenam. Sangat sesuai untuk dinikmati secara santai atau sebagai pengalaman bergambar.
Semua aktiviti ini sesuai untuk pengunjung yang mahu menjimatkan bajet tanpa mengorbankan pengalaman percutian yang menyeronokkan. Kebanyakan lokasi mudah diakses sama ada dengan berjalan kaki, menaiki bas RapidPenang, atau kenderaan sendiri. Dengan sedikit perancangan, anda boleh menikmati Pulau Pinang sepenuhnya walau dengan bajet yang sederhana.
✅ Tips Tambahan untuk Travel Bajet di Pulau Pinang
Merancang percutian bajet ke Pulau Pinang bukan sekadar soal tempat murah atau makanan sedap tetapi bagaimana anda menguruskan masa, pengangkutan dan keperluan harian sepanjang perjalanan. Berikut ialah beberapa tips berguna yang boleh menjimatkan belanja tanpa menjejaskan pengalaman anda:
- 1. Gunakan Perkhidmatan Bas RapidPenang
RapidPenang ialah sistem bas awam yang meliputi hampir seluruh Pulau Pinang, termasuk George Town, Batu Ferringhi, Air Itam dan Bukit Bendera. Harga tambang bermula dari sekitar RM1.40 hingga RM4.00 bergantung kepada jarak. Bas ini bersih, selesa dan sesuai untuk pelancong yang ingin mengelak daripada menyewa kereta atau menggunakan e-hailing.
- 2. Pilih Penginapan Strategik
Untuk mudah bergerak, pilih penginapan di sekitar George Town atau Tanjung Tokong. Kawasan ini mudah diakses dengan pengangkutan awam dan berdekatan dengan banyak tarikan pelancongan serta tempat makan.
- 3. Guna Aplikasi Navigasi & Jadual Bas
Muat turun aplikasi seperti Moovit, Google Maps, atau Penang Smart Parking untuk merancang laluan perjalanan dan menyemak jadual bas. Ini dapat menjimatkan masa dan mengelakkan anda daripada sesat.
- 4. Sediakan Botol Air Sendiri
Pulau Pinang panas dan lembap, jadi bawa botol air sendiri dan isi semula di penginapan atau tempat yang sesuai. Jimat belanja dan mesra alam.
- 5. Elakkan Musim Cuti Panjang
Jika boleh, lawat Pulau Pinang pada hari biasa atau luar musim cuti sekolah untuk dapatkan kadar penginapan yang lebih rendah dan elakkan kesesakan.
- 6. Sewa Basikal atau Skuter
Untuk pengembara solo, menyewa basikal atau skuter di sekitar George Town boleh jadi cara paling murah dan cepat untuk bergerak. Banyak tempat sewa yang menawarkan harga harian sekitar RM10–RM30 sahaja.
- 7. Beli di Pasar Tempatan
Jika mahu berjimat dalam hal makanan atau cenderamata, singgah di pasar pagi atau pasar malam tempatan. Harga lebih berpatutan, dan suasananya juga lebih autentik!
- 8. Tempah Awal untuk Harga Terbaik
Penginapan bajet yang bagus cepat penuh, jadi pastikan anda tempah lebih awal di laman seperti Agoda, Booking.com atau Traveloka untuk dapat diskaun tambahan.
- 9. Guna Baucar Diskaun dan Apps Tempatan
Semak promosi di apps seperti Klook, Fave atau Shopee untuk baucar makanan, tiket masuk tempat menarik atau diskaun e-hailing.
- 10. Jangan Ragu Bertanya Penduduk Tempatan
Orang Pulau Pinang terkenal dengan keramahan mereka. Kalau sesat atau perlukan cadangan tempat makan yang murah jangan malu untuk bertanya. Anda mungkin akan temui “hidden gem” yang tidak tersenarai dalam mana-mana laman web.
Berapa Kosnya?
Kos perjalanan ke Pulau Pinang sangat fleksibel bergantung kepada jenis pengangkutan, penginapan dan aktiviti yang anda pilih. Sama ada solo atau bersama keluarga, percutian ke pulau ini tetap boleh dirancang secara bajet dengan sedikit perancangan awal. Gunakan laman seperti Agoda, Booking.com atau Klook untuk semak tawaran semasa dan buat pilihan terbaik mengikut bajet anda.
Secara kesimpulannya, Pulau Pinang bukan sekadar destinasi pelancongan yang kaya dengan sejarah dan budaya, tetapi juga lokasi terbaik untuk percutian bajet sama ada secara solo atau bersama keluarga. Dengan perancangan yang bijak, anda boleh menikmati makanan enak, penginapan selesa dan pelbagai aktiviti menarik tanpa perlu berbelanja besar. Semoga panduan ini dapat membantu anda merancang percutian yang seronok, jimat dan penuh pengalaman berharga di bumi Pulau Mutiara.
SEKIAN
The author will not be responsible for any comment left by the readers. Please comment using polite language. Thank you.