15 Persembahan Terbaik Dato' Sri Siti Nurhaliza Sepanjang Zaman

Assalamualaikum dan salam sejahtera


Selamat Ulang Tahun Kelahiran ke-42 buat penyanyi No 1 Malaysia, Dato' Sri Siti Nurhaliza binti Tarudin. Semoga sentiasa dikurniakan rezeki yang melimpah ruah, kesihatan dan keluarga yang baik-baik belaka. Semoga kandungan sihat dan diberi kemudahan sewaktu kelahiran nanti.

Bersempena dengan ulang tahun kelahiran beliau, kali ini aku nak menulis mengenai persembahan beliau yang terbaik sepanjang karier beliau yang mencecah 25 tahun ini. Susah sebenarnya ingin memilih persembahan terbaik beliau kerana kita jarang melihat beliau memberikan persembahan yang teruk atau kurang baik. 


15 PERSEMBAHAN DATO' SRI SITI NURHALIZA TERBAIK SEPANJANG ZAMAN

Adakah anda bersedia? Mari kita mulakan. Senarai persembahan ini tidak menurut aturan tangga pertama hingga ke lima belas ya, semuanya adalah random sahaja. 

PERSEMBAHAN NIRMALA ANUGERAH JUARA LAGU 2002


Persembahan lagu berjudul Nirmala pada Anugerah Juara Lagu 2002 semestinya patut ada dalam senarai ini. Menerima anugerah persembahan terbaik pada malam tersebut merupakan antara penyebab persembahan ini layak menerima sebagai antara persembahan terbaik beliau.

Karya agung Allahyarham Pak Ngah ini sememangnya tidak asing lagi dengan Dato'Sri Siti Nurhaliza. Persembahan yang memukau ini boleh dilihat dengan kawalan vokal yang padu, tarian yang sungguh menarik dan diiringi dengan kelincahan para penari. Kesilapan terbesar TV3 sepanjang zaman adalah dengan tidak meletakkan lagu ini sebagai Juara Lagu.


PERSEMBAHAN KONSERT ROYAL ALBERT HALL LONDON 2005


Seterusnya adalah keseluruhan Konsert Royal Albert Hall London. Konsert terbaik beliau yang diadakan bersempena dengan ulang tahun ke 10 karier beliau. Semuanya di dalam konsert ini sempurna, vokalnya usah ditanya, sememangnya paling terbaik, sehingga menerima anugerah Persembahan Vokal Terbaik di dalam Album.

Setiap persembahan sepanjang konsert ini dirancang begitu baik, susunan lagu yang begitu bagus, pakaian beliau yang cukup cantik, elegan dan penuh kemelayuan. Cukup bangga dengan konsert ini. Dari Kuala Lipis ke Kuala Lumpur ke Kota London. 

PERSEMBAHAN DI TAMAN TEMAN ABPBH 2008


Persembahan lagu Di Taman Teman di petik daripada album Lentera Timur, antara persembahan terbaik untuk era Lentera Timur. Walaupun sudah berehat daripada memasuki pertandingan Anugerah Juara Lagu, persembahan beliau untuk anugerah Bintang Popular ini cukup memukau.

Kerinduan rakyat Malaysia menantikan lagu bernuansa timur akhirnya dapat diubati dengan persembahan ini. Album Lentera Timur merupakan album studio beliau yang ke 15 dan menerima anugerah Album Terbaik pada Anugerah Industri Muzik ke 16.

PERSEMBAHAN HAPUSLAH AIR MATAMU ABPBH 2003


Salah satu persembahan ikonik beliau, persembahan lagu Hapuslah Air Matamu ini cukup memukau. Lagu nyanyian asal Allahyarham Sharifah Aini  ini dinyanyikan dengan cukup baik. Persembahan vokal yang cukup hebat, lantang dan bersahaja. Pakaian dan tata rias yang cukup cantik mata memandang.

Melihat persembahan ini, ada lagi ke yang akan menyoal nyanyian beliau? Memang benarlah beliau yang terbaik di Malaysia sehingga kini.


PERSEMBAHAN DUNIA MILIK KITA 2003


Kerap kali juga beliau dijemput membuat persembahan di luar negara, dan persembahan yang dipilih ini adalah persembahan di negara Jepun. Menyanyikan lagu Dunia Milik Kita, beliau memperlihatkan bakat nyanyian beliau yang cukup hebat itu kepada rakyat negara matahari terbit.

Tanpa pakaian yang seksi, gerak tarian yang mengarut, beliau berjaya memberi persembahan terbaik dengan lontaran suara yang cukup memukau. 

PERSEMBAHAN REHEARSAL BERSANDAR CINTA 2017


Persembahan ketika rehearsal untuk Konsert Aubrey Suwito & Friends pada tahun 2017 ini cukup memukau.Maaf, persembahan pada malam konsert terdapat sesuatu yang kurang, tetapi persembahan ketika rehearsalnya cukup baik!

Lagu daripada album SimetriSiti ini ditujukan buat peminat, wartawan, jurusolek, dan semua yang membantu kerjaya beliau dari awal sehingga kini. Persembahan beliau ketika rehearsal ini walaupun tanpa iringan orkestra kerana ia hanyalah rehearsal, kualiti kawalan suara beliau cukup baik. Bukti bahawa beliau masih boleh menyanyi dengan baik malah lebih baik berbanding rakaman di dalam album.


PERSEMBAHAN LEBIH INDAH AIM 20


Siapa masih ingat persembahan ini? Salah satu persembahan beliau di era berhijab yang ikonik juga! Dengan hanya menyanyi dikelilingi prop cermin, beliau berjaya memukau stadium Putra Bukit Jalil yang kini dikenali dengan nama Axiata Arena.

Lagu Lebih Indah merupakan lagu pemberi semangat yang sangat menarik liriknya. Dipetik daripada album Fragmen, album ke 17 beliau sepanjang karier. Album ini menerima pelbagai anugerah termasuklah Album Terbaik & Persembahan Vokal Wanita Terbaik di dalam Lagu di Anugerah Industri Muzik dan juga Penyanyi Wanita Terbaik di Anugerah Planet Muzik.

PERSEMBAHAN NILAI CINTAMU 2002


Persembahan Nilai Cintamu yang merupakan salah satu lagu didalam Konsert Salam Terakhir Untukmu Sudir pada tahun 2002 ini merupakan antara persembahan beliau yang ikonik. Diiringi Orkestra Simfoni Kebangsaan, persembahan ini menampilkan kawalan suara beliau yang cukup baik.

Konsert ini merupakan konsert solo beliau yang keempat dan konsert pertama beliau di Istana Budaya. Konsert ini juga merupakan konsert khas penghargaan kepada Penghibur No.1 Asia, Sudirman Haji Arshad.

PERSEMBAHAN JERAT PERCINTAAN & GELORA ASMARA 2015


Persembahan lagu Jerat Percintaan dan Gelora Asmara ini telah dipersembahkan dihadapan penonton ketika Konsert Unplugged 2015. Seperti biasa, setiap kali konsert beliau pasti akan berikan persembahan yang terbaik tetapi persembahan ini cukup istimewa kerana ia diiringi oleh komposer pertama yang menaikkan beliau iaitu Allahyarham Datuk Adnan Abu Hassan.

Merupakan persembahan terakhir beliau bersama dengan komposer ulung ini, membuatkan nostalgia zaman permulaan beliau menapak dalam industri nyanyian. Lagu Gelora Asmara antara lagu yang jarang beliau nyanyikan secara langsung akhirnya dapat didengari oleh peminat. Lagu Jerat Percintaan daripada album pertama, Siti Nurhaliza manakala lagu Gelora Asmara daripada album Adiwarna.

PERSEMBAHAN BAHTERA MERDEKA 2013


Mengapa persembahan Bahtera Merdeka ini tersenarai? Kerana inilah salah satu persembahan yang berjaya memberikan rasa cinta pada negara kepada sesiapa yang mendengarnya. Persembahan lagu Bahtera Merdeka ini diadakan ketika Konsert Lentera Timur 2013 iaitu sebuah konsert yang sangat berjaya di Istana Budaya.

Orkestra Tradisional Malaysia yang mengiringi persembahan ini memberikan muzik Malaysia yang cukup indah manakala nyanyian beliau yang merdu itu cukup indah kedengaran walaupun ketika itu beliau dalam keadaan sakit. Salah satu persembahan yang membuatkan aku meremang ketika menontonnya.

PERSEMBAHAN KU MILIKMU AJL  2003


Persembahan Ku Milikmu di Anugerah Juara Lagu 2003 ini merupakan salah satu persembahan yang paling diingati sepanjang karier beliau. Susunan lagu yang begitu mantap, tarian dan persembahan yang cukup menarik membuatkan semua orang suka dengan persembahan ini.

Walaupun menjadi penyertaan beliau terakhir sebelum berehat (kemudian bertanding semula pada tahun 2007), persembahan ini sangat-sangat menarik, mempamerkan sisi lain Siti Nurhaliza yang kelihatan lebih elegan, moden dan sangat cantik!



PERSEMBAHAN MEDLEY AIM 2005


Persembahan Medley Lagu Rancak di Anugerah Industri Muzik 2005 ini pula antara persembahan beliau yang sungguh bertenaga. Pulang dari London, persembahan beliau selepas itu kelihatan lebih bertenaga, lebih mantap seolah-olah beliau menerima semangat baru di London.

Dari awal persembahan sehingga ke penghujung persembahan, tarian beliau sungguh lincah tanpa mencacatkan kualiti dan kawalan vokalnya. Persembahan lebih 6 minit ini merupakan medley bagi lagu Jalinan Cinta, Kini Kau Disisi dan juga Pendirianku. 

PERSEMBAHAN MEDLEY ANUGERAH ERA 2005


Tahun 2005, beliau sekali lagi memberikan persembahan yang cukup mantap, terutama daripada kawalan vokalnya. Persembahan di Anugerah Era 2005 ini membuktikan beliau sememangnya layak digelar Penyanyi No 1 Malaysia.

Beliau menyanyikan lagu Seindah Biasa, Debaran Cinta, Kau Kekasihku dan Balqis di dalam persembahan ini. Semuanya lengkap di dalam persembahan ini, terdapat lagu balada, lagu tradisional, lagu rancak, apa lagi yang anda mahukan?  Semuanya cukup sempurna.

PERSEMBAHAN KAU KU SAYANG APM 2002


Persembahan lagu Kau Ku Sayang ini dipersembahkan di hadapan penonton ketika Anugerah Planet Muzik 2002 ini cukup memukau penonton. Lagu Kau Ku Sayang ini dipetik daripada album Safa  dan album ini merupakan album studio beliau yang ke 8 dan dilancarkan pada 11 Januari 2001 iaitu pada ulangtahun kelahiran beliau yang ke 22.  

Persembahan beliau untuk lagu Kau Ku Sayang ini cukup menarik kerana lontaran dan kawalan vokal beliau yang menusuk kalbu. Kualiti vokal beliau cukup baik walaupun ketika itu baru berumur 22 tahun!

PERSEMBAHAN BIMBANG 2004


Persembahan terakhir adalah persembahan lagu Bimbang iaitu lagu OST bagi filem Ada Apa Dengan Cinta. Persembahan ini diadakan ketika Konsert Eksklusif Melanesia 2004 yang diadakan di negara jiran, Indonesia.

Dato' Sri Siti Nurhaliza sememangnya berjaya menawan Indonesia apabila beliau sering melakukan konsert dan persembahan disana. Persembahan Bimbang ketika konsert ini pula mempamerkan kemahiran beliau dalam muzik melayu. Lagu yang cukup mendayu ini dinyanyikan dengan begitu baik oleh beliau, bagaikan lagu ini milik beliau. Pakaian dan tatarias beliau di konsert ini juga sungguh cantik bagaikan patung barbie.

ALHAMDULILLAH

Seperti yang aku beritahu sebelum ini, sememangnya cukup sukar untuk memilih persembahan yang terbaik. Jadi, setelah berfikir dengan betul-betul, inilah senarai 15 Persembahan Terbaik Dato' Sri Siti Nurhaliza Sepanjang Zaman.  Sekiranya anda tidak berpuas hati dengan senarai ini, mungkin anda boleh berikan senarai anda di ruangan komen.

Tapi jangn risau kerana mungkin selepas kelahiran cahaya mata kedua beliau, senarai ini mungkin berubah kerana beliau pastinya akan melakukan persembahan-persembahan terbaik selepas ini. Terima kasih kerana membaca artikel kali ini dan semoga anda semua berada dalam keadaan baik-baik sahaja.

SEKIAN

1 Comments

The author will not be responsible for any comment left by the readers. Please comment using polite language. Thank you.


Post a Comment

The author will not be responsible for any comment left by the readers. Please comment using polite language. Thank you.


Post a Comment

Previous Post Next Post