Mengapa Pluto Bukan Lagi Planet Utama dalam Sistem Suria?

Assalamualaikum dan salam sejahtera


Bila mendengar atau menyebut perkataan "Pluto", ada dua perkara yang bermain difikiran, pertama adalah seekor anjing karakter Disney, manakala kedua pula adalah sebuah planet. Artikel kali ini bukanlah nak menceritakan tentang anjing bernama Pluto tetapi adalah tenang planet Pluto. Planet? Bukankah beberapa tahun lalu Pluto diturun taraf sebagai planet kerdil dan bukan planet utama

Baiklah dalam artikel kali ini akan menjelaskan sebab mengapa Pluto dikelaskan semula sebagai planet kerdil, misi NASA menjelajahi Pluto dan pelbagai lagi!

MENGAPA PLUTO BUKAN LAGI PLANET UTAMA DALAM SISTEM SURIA

PLUTO

Pluto dengan diameter kira-kira 2,376.6 kilometer terdiri daripada komposisi 98% nitrogen ais dengan beberapa jumlah methane dan karbon monoksida. Pluto terdiri daripada daripada ais dan batu dan saiznya adalah kecil, iaitu saiznya 1/6 dari Bulan di Bumi. Untuk perbandingan, saiz Bulan adalah 1/4 daripada saiz Bumi. Orbitnya pula sangat unik dengan jaraknya sekitar 4.4 billion kilometer sehingga 7.4 billion kilometer dari Matahari. Ini bermakna pada satu-satu masa, Pluto berada lebih dekat dengan Matahari berbanding planet Neptun.  Cahaya dari Matahari pula mengambil masa 5.5 jam untuk sampai ke Pluto pada jarak puratanya (39.5 AU). [ 1 AU = 150 juta kilometer ] 

Pluto juga turut mempunyai atmosfera yang lemah terdiri daripada nitrogen (N²), methane (CH⁴) dan karbon monoksida (CO).

Perbandingan Saiz & Diameter Bulan-Bulan Bagi Pluto

Pluto mempunyai 5 satelit semulajadi yang diketahui iaitu :-
  • Charon (terbesar, diameternya lebih separuh daripada Pluto)
  • Styx
  • Nix
  • Kerberos
  • Hydra
Pluto dan Charon kadangkala dikenali sebagai sistem binari kerana 'barycenter' mereka berada di luar kedua-dua objek ini. (Barycenter - titik pertengahan dua objek yang mengorbit.)

Pluto dan bulan utamanya Charon mengorbit titik diluar Pluto

Satu pusingan orbit Pluto mengelilingi Matahari mengambil masa 248 tahun. Orbit Pluto adalah berbeza dan unik berbanding planet-planet utama lain dimana orbitnya sedikit condong. Satu pusingan Pluto atau sehari di Pluto adalah bersamaan dengan 6.387 hari di Bumi.

Sehingga kini, hanya satu sahaja misi ke Pluto yang telah dilancarkan iaitu misi New Horizons. ( Lebih lanjut tentang New Horizons dalam penghujung artikel ini. )


SEJARAH PENEMUAN PLUTO

Perbandingan Imej Pluto oleh Hubble & New Horizons

Pluto ditemui pada 18 Februari 1930 di Lowell Observatory, Flagstaff, Arizona oleh ahli astronomi Clude W. Tombaugh dengan kerjasama sama Willian H. Pickering.  Pada tahun 1906. Percival Lowell mewujudkan Lowell Observatory dan memulakan pencarian planet ke sembilan yang dikenali ketika itu sebagai "Planet X" Sehingga 1909, Lowell dan Pickering mencadangkan beberapa koordinat untuk planet. Lowell dan balai cerapnya melakukan penyelidikan sehingga kematiannya pada tahun 1916, dan tiada hasil. Tanpa pengetahuan Lowell, pada 9 Mac 1915, balai cerapnya tidak sengaja mengambil gambar Pluto. 

Pencarian untuk Planet X tidak disambung sehinggalah pada tahun 1929, tugas diserah pula pada Clyde Tombaugh, ahli astronomi berumur 23 tahun. Tugasnya adalah melihat langit malam secara sistematik  dalam gambar yang diambil dalam selang masa 2 minggu, dan kemudian memeriksa setiap gambar  dan melihat jika ada objek yang bertukar posisi. 

Imej Dimana Pluto Ditemui | Cuba teka dimanakah Pluto?

Menggunakan mesin dikenali sebagai "blink comparator", tugasnya menjadi lebih mudah dengan menghasilkan ilusi pergerakan objek yang berubah posisi atau pengambilan dalam gambar. Pada 18 Februari 1930, setelah hampir setahun mencari, Tombaugh akhirnya menemui kemungkinan objek bergerak pada plat fotografi yang diambil pada 23 Januari  dan 29 Januari pada tahun itu.  Setelah balai cerap memperoleh gambar-gambar pengesahan lebih lanjut,  berita penemuan planet itu dihantar melalui telegraf ke Harvard College Observatory pada 13 Mac 1930.

Penemuan ini menjadi hangat di seluruh dunia. Lowell Observatory yang mempunyai hak untuk menamakan objek ini menerima lebih 1,000 cadangan dari seluruh dunia dan nama Pluto dicadangkan oleh Venetia Burney, budak perempuan berusia 11 tahun di Oxford, England. Venetia tertarik dengan mitos klasik dan juga astronomi, mencadangkan nama itu. Pluto secara rasmi menjadi Pluto pada 24 Mac 1930 dan namanya telah diumumkan pada 1 May 1930 manakala Venetia menerima 5 pounds sebagai ganjaran.( Bersamaan 450 USD pada tahun 2014)

PLUTO DITURUNKAN STATUS KEPADA PLANET KERDIL

Perbandingan Saiz Bumi, Bulan dan juga Pluto

IAU (International Astronomical Union) pada tahun 2006 telah menurunkan status Pluto sebagai planet utama daripada menjadi planet ke 9 dalam Sistem Suria kepada salah satu dari 5 planet kerdil.  Ketika pengumuman ini dilakukan, seluruh dunia menentang dan mengatakan perbuatan ini hanya untuk menukar sejarah dan tradisi dan bukanlah atas sebab saintifik. Jadi, apakah sebab IAU untuk menukar status Pluto? Mengapa Pluto bukan lagi sebuah planet?

Mengikut IAU, Pluto merupakan sebuah planet kerdil kerana dalam laluan orbitnya mengelilingi Matahari masih mempunyai objek lain seperti asteroid dan batuan angkasa lain. Pluto diklasifikasikan sebagai planet kerdil kerana walaupun saiznya cukup besar untuk menjadikan bentuknya bulat tetapi ia tidak cukup besar untuk menjadi dominan pada orbitnya dan mem"bersihkan" laluan dikawasan orbitnya. Pluto tidak menepati 3 kriteria planet utama. Pluto hanya memenuhi dua kriteria kecuali satu iaitu tidak mem"bersih"kan kawasan orbitnya dan "kejiranan" yang dipenuhi objek-objek asing. 

Sebelum resolusi 2006, terma planet tidak mempunyai definisi yang jelas dan ia adalah berdasarkan klasifikasi sebelum penemuan obejk dengan teknologi lebih moden dan terkini. Pada akhir tahun 1970-an, planet kecil Chiron ditemui di bahagian luar Sistem Suria dan status Pluto sebagai planet utama mula dipersoalkan. Pada akhir abad ke-20 dan awal abad ke-21, lebih banyak objek serupa dengan Pluto telah dijumpai di bahagian luar Sistem Suria, termasuk planet kerdil Eris pada tahun 2005 dengan saiznya 25% lebih besar berbanding Pluto.

Perbandingan Orbit planet Zuhal, Uranus, Neptun, Pluto

Walau bagaimanapun, masih terdapat saintis yang tidak bersetuju dengan status Pluto ini. Salah satunya sebabnya adalah ruang angkasa sememangnya penuh dengan pelbagai objek dan setiap planet mempunyai "kawasan kejiranan"nya tersendiri. Terdapat pelbagai cara untuk memutuskan apa itu planet, jelas para saintis. Selain itu, Pluto juga mempunyai atmosfera, satelitnya sendiri dan juga orbit mengelilingi Matahari, jelas ia sesuai untuk menjadi planet utama.

Ahli-ahli di dalam IAU juga berdebat tentang definisi sebenar bagi sebuah planet. Sebelum ini planet hanyalah dikenali sebagai sebuah objek bersaiz besar dalam Sistem Suria, tetapi kini definisinya lebih spesifik, planet utama merupakan objek cakerawala yang cukup besar untuk berbentuk bulat oleh tarikan gravitinya sendiri mengelilingi Matahari dan menjauhkan objek-objek di kawasan sempadan antara planet. 

Buat masa sekarang, Pluto menjadi planet kerdil kedua terbesar di dalam Sistem Suria selepas planet kerdil Eris.


APA ITU PLANET KERDIL

Senarai Planet Kerdil dalam Sistem Suria

IAU mengelaskan planet kerdil sebagai objek cakerawala yang mempunyai orbit mengelilingi Matahari dan saiznya cukup besar untuk rupa bentuknya dikawal oleh tarikan graviti berbanding tarikan mekanikal, tetapi tidak mem"bersihkan" kawasan orbitnya dengan objek lain. 

Kriteria IAU untuk planet utama

#1 Orbit mengelilingi Matahari
#2 Saiz dan berat yang cukup besar untuk mempunayi tarikan graviti sendiri dan berbentuk hampir bulat.
#3 Mem"bersih"kan kawasan "kejiranan" sekitar orbit. 

Pluto hanya memenuhi dua daripada tiga kriteria yang diperlukan.  Sejak berbillion tahun Pluto wujud, Pluto masih tidak dapat bersihkan kawasan orbitnya.  Apa maksud bersihkan orbitnya? Maksudnya adalah planet itu mempunyai tarikan graviti yang dominant, dimana tiada objek lain selain satelitnya sendiri di kawasan orbit dan sekitarnya. 

Setakat ini terdapat lima planet kerdil yang telah ditemui
  • Ceres - ditemui pada 1 Januari 1801, asalnya dianggap planet, kemudian dikelaskan semula sebagai planet kerdil pada 13 September 2006
  • Pluto - ditemui pada 18 Februari 1930, asalnya dianggap planet, kemudian dikelaskan smeula sebagai planet kerdil pada 24 Ogos 2006
  • Eris - ditemui pada 5 Januari 2005 dan disahkan sebagai planet kerdil pada 13 September 2006
  • Makemake - ditemui pada 31 Mac 2005 dan disahkan sebagai planet kerdil pada 11 Julai 2008.
  • Haumea - ditemui pada 28 Disember 2004 dan disahkan sebagai planet kerdil pada 17 September 2008

MISI NEW HORIZONS

New Horizons ketika dalam pembinaan

Pada 14 Julai 2015, Pluto telah dilawati buat kali pertama melalui misi New Horizons yang mendapatkan ukuran tepat dan gambar Pluto bersama satelit-satelitnya.

New Horizons dilancarkan oleh Nasa pada 19 Januari 2006 dari Cape Canaveral, Florida, Amerika Syarikat. Pada 7 April 2006, kapal angkasa ini melepasi orbit planet Marikh dengan kelajuan sektiar 21 kilometer/saat pada jarak 243 juta kilometer. Pada 28 Februari 2007, New Horizons berada pada jarak terdekat dengan Planet Musytari  pada jarak 2.3 juta kilometer. Planet Musytari memberikan bantuan graviti kepada New Horizons yang menambahkan kelajuan dan juga sebagai lokasi ujian untuk menguji kemampuan saintifik yang ada pada New Horizons

Grafik laluan New Horizons

Pada 9 Jun 2008, New Horizons melepasi orbit planet Zuhal manakala pada 18 Mac 2011 melepasi orbit planet Uranus.Selepas pengembaraan melintasi planet Musytari, New Horizons diletakkan pada mod hibernasi sehinggalah pada 6 Disember 2014, New Horizons kembali beroperasi untuk ujian dan juga dengan Pluto yang semakin hampir.  Pada 15 Januari 2015, kapal angkasa ini mula mendekati orbit Pluto.

14 Julai 2015, New Horizons berada pada jarak 12,500 kilometer dari permukaan Pluto dan menjadi kapal angkasa pertama mendekati planet kerdil ini. Pada Ogos 2016, New Horizons dilaporkan mengembara pada kelajuan lebih daripada 84,000 kilometer/jam. Akhirnya pada 25 Oktober 2016, data terakhir yang direkodkan oleh New Horizons berkenaan Pluto telah diterima. 

Setelah menyelesaikan misi Pluto, New Horizons meneruskan perjalanan ke objek Kuiper belt 486958 Arrokoth dimana telah berlaku pada 1 Januari 2019 iaitu pada jarak 43.4 AU daripada Matahari. 

Imej New Horizons sewaktu menghampiri Pluto dan Charon

Ketika menghampiri Pluto, New Horizons bergerak dengan kelajuan 49,600 kilometer/jam. Bermula sejak 3.2 hari sebelum jarak paling dekat, pengimejan jarak jauh dilakukan termasuklah pemetaan Pluto dan satelitnya Charon sehingga resolusi 40 kilometer. Pengimejan jarak dekat pula dilakukan dua kali sehari untuk mencari perbezaan pada permukaan yang mungkin disebabkan salji runtuh atau letusan 'cryovolcanism'.

New Horizons mengambil imej ini, memperlihatkan atmosfera Pluto

Imej lebih dekat keadaan permukaan Pluto dan atmosferanya

New Horizons dilancarkan ketika Pluto masih diklasifikasikan sebagai planet utama. Sebahagian daripada ahli New Horizons, tidak bersetuju dengan definisi IAU dan masih menganggap Pluto sebagai planet ke 9.

AKHIR KATA


Walau apa jua status Pluto, ia bukanlah satu perkara besar. Pluto masih merupakan sebahagian daripada Sistem Suria. Selain itu, pelbagai rahsia masih belum terungkai dengan hanya satu misi sahaja. NASA dan mana-mana agensi angkasa pastinya sentiasa menganggap Pluto sebagai sebuah planet kerdil yang menyimpan pelbagai rahsia dan kisahnya tersendiri.

SEKIAN

RUJUKAN :
  • https://www.washingtonpost.com/lifestyle/kidspost/pluto-not-a-planet/2021/08/23/ae8fd57c-fbb8-11eb-8a67-f14cd1d28e47_story.html
  • https://www.britannica.com/story/why-is-pluto-no-longer-a-planet
  • https://www.loc.gov/everyday-mysteries/item/why-is-pluto-no-longer-a-planet/
  • https://en.wikipedia.org/wiki/Pluto
  • https://en.wikipedia.org/wiki/New_Horizons

1 comment:

  1. penuh fakta artikel ini...saya pun tidak sangka begitu hebat sekali keajaiban perihal angkasa

    ReplyDelete

The author will not be responsible for any comment left by the readers. Please comment using polite language. Thank you.


Powered by Blogger.