Assalamualaikum dan salam sejahtera
Baru-baru ini, berkesempatan untuk menghadiri program Golf Amal Selangor 2026 yang berlangsung di Tasik Puteri Golf & Country Club, Rawang, Selangor. Program ini bukan sekadar acara sukan, tetapi membawa mesej yang lebih besar, usaha membantu dan memperkasa golongan belia melalui pendidikan dan kemahiran, khususnya dalam bidang TVET.
Apa yang menarik, program ini dianjurkan oleh Yayasan Raja Muda Selangor (YRMS) bersama Persatuan Kesejahteraan Amal Kuala Lumpur (AMAL), dengan tujuan mengumpul dana bagi menyokong inisiatif pembangunan belia di Selangor. Dana yang dikumpulkan akan digunakan untuk menyediakan bantuan, latihan serta peluang pembangunan kepada belia, terutamanya mereka yang memerlukan sokongan untuk membina masa depan yang lebih baik.
GOLF AMAL SELANGOR 2026 : USAHA MURNI PERKASA BELIA MELALUI TVET DI BAWAH NAUNGAN YAYASAN RAJA MUDA SELANGOR
Yayasan Raja Muda Selangor (YRMS) merupakan sebuah yayasan yang berteraskan kebajikan serta pembangunan belia, yang telah ditubuhkan dan dilancarkan pada tahun 2003 oleh Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj Ibni Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Alhaj. Legasi naungan Diraja ini diteruskan pada tahun 2017 oleh Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Tengku Amir Shah Ibni Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj, Raja Muda Selangor.
Penubuhan YRSM bertujuan menyediakan ruang dan peluang kepada golongan belia, khususnya mereka yang kurang cenderung dalam bidang akademik, untuk memperoleh kemahiran menerusi program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET). Inisiatif ini selaras dengan aspirasi membentuk modal insan berkemahiran tinggi yang mampu berdikari serta berdaya saing dalam pasaran pekerjaan.
Fokus utama YRMS adalah membantu belia daripada latar belakang golongan berpendapatan rendah dan terpinggir dengan membekalkan kemahiran yang relevan serta bersesuaian dengan keperluan industri semasa. Usaha ini dilaksanakan melalui kerjasama strategik bersama pelbagai pihak, termasuk agensi kerajaan, institusi TVET dan pemain industri, bagi memastikan latihan yang ditawarkan mempunyai nilai kebolehpasaran yang tinggi.
Secara keseluruhan, Golf Amal Selangor 2026 bukan sekadar acara golf atau program kebajikan semata-mata. Ia adalah simbol kerjasama antara yayasan, sektor korporat dan masyarakat dalam membuka lebih banyak peluang kepada golongan belia.









The author will not be responsible for any comment left by the readers. Please comment using polite language. Thank you.