Ulasan Album ManifestaSITI2020

Assalamualaikum dan salam sejahtera



ULASAN ALBUM MANIFESTASITI2020

ULASAN ALBUM MANIFESTASITI2020 | Alhamdulillah akhirnya terbit jua album terbaru penyanyi nombor 1 negara, Dato' Sri Siti Nurhaliza dengan judul albumnya ManifestaSITI2020. Album terdahulu, SimetriSiti (2017), dilancarkan pada tahun 2017 dan kemudiannya beliau berehat dan melahirkan Siti Aafiyah, puteri sulung beliau.

Selepas kehamilan dan kelahiran, beliau hadir dengan lagu Anta Permana dan kerjaya belau terus rancak, tetapi ramai peminat mula bertanya tentang album seterusnya. Teaser dan jawapan dari temubual bersama Dato' Sri Siti Nurhaliza mula memberi gambaran tentang album baru bakal diterbitkan pada tahun 2020. Tanggal 3 Julai 2020, album ManifestaSITI2020 dilancarkan diseluruh negara melalui pelbagai platform.


Seperti biasa, aku akan memberikan ulasan dengan jelas dan mendalam mengikut apa yang aku nampak, dengar dan sebagainya mengikut pengetahuan aku yang serba cetek dalam industri muzik negara. In shaa Allah aku akan berikan ulasan mengenai album ini secara keseluruhan dibahagian akhir artikel ini.


ULASAN LAGU


SIAPA TAK MAHU | 2.58 minit

💛Komposer : John Jeevasingham / Ikhwan Fattana / Omar K
💛Penulis Lirik : John Jeevasingham / Ikhwan Fattana / Omar K

Lagu pertama dalam album ManifestaSITI2020 adalah Siapa Tak Mahu. Lagu ini durasinya selama 2.58 minit. Okay, pendapat aku adalah pada awal lagu ini iaitu di bahagian intro, ada bau-bau seperti intro lagu Engkau Bagaikan Permata daripada album Pancawarna (1999). Bahagian pre chorus sangat menarik. Ada perbezaan berbanding verse. Untuk chorus pula, bagi aku catchy dan senang nak tangkap. Terutama dengan lirik-lirik yang sangat baik! 

"Siapa yang tak mahu, sayang disulam rindu, cinta bagaikan bulan madu disetiap waktu."

Tetapi yang menarik minat aku adalah pada bahagian bridge, sebab ada unsur-unsur nasihat dan juga kerana bunyi melayu yang sangat kuat!

"Bulat air kerana pembetung, bulat sayang kerana disanjung, baik acuan, cantik kuihnya, baik budi begitulah kasihnya.."

RATING : 💛💛💛💛💛💛💛💛/ 10

AKU BIDADARI SYURGAMU | 3.55 minit

💛Komposer : Ippo Hafiz
💛Penulis Lirik : Siti Rosmizah

Lagu Aku Bidadari Syurgamu ini juga merupakan lagu runut bunyi bagi drama 7 Hari Mencintaiku 2. Bahagian awallagu ini sangatlah bunyi 90-an. Verse low note suara Dato' Sri Siti Nurhaliza sangat best. Pre chorus masuk ke major chord, pada mulanya aku ingat nak tukar mood dari sedih ke gembira, tapi kalau tengok lirik macam tak. 

"Tuhan, jiwaku merawan, perasaan sangat ku kehilangan,
 oh biarlah aku, pendam tangis, dihati..."

Rindukan lagu mendayu-dayu. Muzik lepas chorus sangatlah 90-an. Cuba dengar lagu Seribu Kemanisan dari album Pancawarna (1999) selepas chorus. Bunyi gitar akustik yang sangat seakan-akan. Susunan lagu ini pun mudah sahaja, verse, verse, pre chorus, chorus, pre chorus, chorus. Bahagian strings ketika chorus juga sangat sedap! Bravo Ippo Hafiz sebab masukkan low strings yang best!

Lagu-lagu sebegini iaitu meronta-ronta, merayu-rayu dan sebagainya merupakan salah satu lagu yang menadi permintaan peminat. Dalam album Fragmen (2014), lagu Terbaik Bagimu merupakan salah satu lagu yang bertemakan meronta-ronta dan menerima penerimaan yang baik. Untuk aku pulak, aku rasa ini salah satu lagu yang best dalam album ini. Bukanlah nak katakan bahawa aku minat lagu 90-an, tapi susunan lagu, lirik dan semuanya cukup hebat dan terbaik.

RATING : 💛💛💛💛💛💛💛💛💛/10

KASIHKU SELAMANYA | 4.23 minit

💛Komposer : Aubrey Suwito
💛Penulis Lirik : Ad Samad

Salah satu lagu yang aku sendiri pernah tonton Dato' Sri Siti Nurhaliza mempersembahkan lagu ini. Bahagian awal ketika hanya vokal dan piano sahaja, kedengaran sesuatu yang berbeza mengenai vokal beliau. Lagu ini bagi aku lagu balada yang memang sangat power.

"Telah ku katakan kepadamu, engkau dan aku selamanya, biarpun berakhir masa, terhenti nyawa kumasih, kan mencinta.."

Bahagian yang aku adalah selepas chorus pertama. Boleh nampak sisi seram lagu ini. Kalau dipejamkan mata, boleh bayangkan seseorang yang telah mati, menyanyikan lagu ini untuk kekasihnya yang masih hidup. Tahniah Aubrey dan Ad Samad sebab berjaya hasilkan satu lagi lagu koleksi Siti Nurhaliza yang sangat kuat dan hebat!

Tapi pendapat peribadi aku, kolaborasi Aubrey Suwito, Ad Samad dan Siti Nurhaliza paling hebat adalah dalam lagu Lebih Indah daripada album Fragmen (2014).

RATING : 💛💛💛💛💛💛💛/10


TERTULIS NAMA KITA | 3.27 minit
💛Komposer : Siti Nurhaliza
💛Penulis Lirik : Rozisangdewi

Salah satu lagu yang sangat kuat. Tema yang sangat segar, elemen-elemen yang menarik. Sememangnya sangat kagum dengan lagu-lagu yang dihasilkan sendiri oleh Dato' Sri Siti Nurhaliza. Pertama kali dengar, tak boleh nak jangka tema lagu ini. Bila masuk sahaja bahagian chorus, terus rasa sesuatu yang lain dan sangat berbeza.

"Ku perjuangkannya, bagai falsafah, yang ada dijaga yang ada dihargai.."

Bila masuk ke bahagian bridge, lagu ini terus naik-naik dan naik. Ditambah dengan susunan muzik oleh Genervie Kam memang begitu kuat dan rasa tenaga yang memuncak-muncak. Oh ya, suara latar yang kedengaran di bahagian itu juga sangat best! Setiap beat dalam lagu ini sangat kuat. Boleh rasa bertenaga, tak mengantuk dan segar.

Dato' Sri Siti Nurhaliza memang seorang penyanyi dan juga komposer yang hebat. Antara yang aku suka adalah lagu Hati Berbisik daripada album Transkripsi (2006)

RATING : 💛💛💛💛💛💛💛💛/10


7 NASIHAT | 3.39 minit
💛Komposer : Kmy Kmo, Luca Sickta
💛Penulis Lirik : Kmy Kmo, Luca Sickta

Pada awal tahun 2000, ramai penyanyi mula menyanyikan lagu dan di dalam lagu tersebut featuring bersama kumpulan rap atau rappers. Trend sebegitu turut diikut oleh Dato' Sri Siti Nurhaliza dengan lagu Dua Dunia bersama kumpulan Too Phat. Tahun 2020, sekali lagi tema dan konsep yang serupa dibawa kembali.

Tetapi dalam lagu 7 Nasihat ini, sesuatu yang berbeza dibawa apabila unsur-unsur atau elemen tradisional sangat kuat. Umpama tradisional melayu bertemu dengan rap. 

"Anak pipit jangan tak dihirau, gusar esok ke sarang si rimau
Anak didik harusnya dirisau, gusar esok engkau yang dipisau.."

Sesuatu yang segar, moden tetapi masih mengekalkan tradisional melayu. Lirik-lirik yang penuh dengan pelbagai nasihat dan juga teladan. Salah satu lagu yang kuat dalam album ManifestaSITI2020.

RATING : 💛💛💛💛💛💛💛💛💛/10

KUASA CINTAMU | 4.06 minit
💛 Komposer : Melly Goeslow
💛Penulis Lirik : Siti Nurhaliza

Melly Goeslow + Siti Nurhaliza pastinya akan menghasilkan lagu yang sangat indah dan hebat. Masih ingatkah anda kolaborasi mereka berdua di dalam album Transkripsi (2006) melalui lagu Biarlah Rahsia? Lagu yang sememangnya begitu signifikan dengan situasi beliau ketika itu.


Lagu Kuasa Cintamu, dikatakan ditujukan untuk Siti Aafiyah, anak sulung beliau. Melalui bait-bait lirik, boleh nampak ada hubung kait, sebagaimana beliau mendoakan kehadiran cahaya mata.

"Kehadiranmu, seperti tak mungkin bisa terjadi,
Telah kau ikhlaskan doaku ini, dari dulu, ku menunggu..."

Aku sendiri boleh rasa bagaimana penantian selama 11 tahun akhirnya tiba jua. Sebuah lagu yang begitu indah. Mengenai susunan lagu, tanpa melihat siapa komposer, sudah boleh diagak komposernya siapa. I don't know why, tapi dalam lagu Melly, bunyi strings sangat berbeza dengan lagu-lagu komposer lain. Susunan lagu dan lirik, menjadikan lagu ini sangat indah, manis dan penuh dengan rasa syukur.

RATING : 💛💛💛💛💛💛💛💛💛/10


TAKHTA DUNIA | 3.14 minit
💛Komposer : Ryan Kyoto
💛Penulis : Ryan Kyoto

Sesuatu yang sangat bijak adalah bila pihak Siti Nurhaliza Productions memilih lagu Takhta Dunia untuk dimasukkan ke dalam album ini. Sesuatu yang sangat segar, yang dah lama kita tak dengar, mungkin berpuluh-puluh tahun.

"Jangan bicara sembarang kata, kata terlarang simpan di dada, hendaklah sedar saling menjaga, agar tak luka sesama kita.."

Lirik untuk lagu ini sangat klasik, unsur-unsur nasihat, buat perkara baik, menjaga sesama kita. Sesuatu yang orang sekarang mungkin dah lupa. Apa yang aku perasan, cara Dato' Sri Siti menyanyikan lagu ini berbeza berbanding lagu-lagu lain. Ada sesuatu yang unik. Selain itu, vibe lagu-lagu klasik sangatlah jelas. Susunan lagu yang pelbagai. Aku begitu suka dengan part 👇

"Indahnya dunia ketika tiada lagi hitam... ooo... putihkan jiwaku jiwamu agar tiada dendam.."

Bahagian diatas membawa lagu ini ke suatu tahap yang lain. Lagu ini memberi perasaan gembira, rasa seronok, tenang. Susunan lagu & penggunaan muzik yang sangat segar. Lagu ini berpotensi besar untuk hits dan mungkin lebih hits daripada Anta Permana.

RATING : 💛💛💛💛💛💛💛💛💛/10


TERATAI MENJELMA | 3.54 minit
💛Komposer : Raja Kobat
💛Penulis Lirik : Raja Kobat

Lagu tradisional memang merupakan makanan Dato' Sri Siti Nurhaliza. Pada awal berita tentang beliau bakal merakamkan semula lagu Teratai Menjelma nyanyian asal Sudirman, aku agak tertanya-tanya, mengapa? Kenapa? Rupanya signifikannya kerana lagu tradisional begitu dekat dengan beliau. Setidaknya beliau ada juga satu lagu tradisional di dalam album terbaru beliau ini.

"Lalu ku petik, ku belai, ku cium, berkali-kali."

Nak membandingkan kedua-dua versi adalah sesuatu yang bagi aku salah. Setiap versi ada baiknya sendiri. Untuk versi terbaru 2020 ini, susunan lagu yang digubah memberi gabungan moden dan tradisional. Selain itu, lenggok melayu Dato' Sri Siti Nurhaliza memang tidak dapat disangkal lagi.

RATING : 💛💛💛💛💛💛💛/10


BASYIRAH | 3.30 minit
💛 Komposer : Hafiz Hamidun
💛 Penulis Lirik : Fedtri Yahya

Lagu yang kita sudah dengar dan dikeluarkan pada tempoh PKP baru-baru ini. Basyirah membawa sesuatu yang kita dengar dan dapat agak bila mana tiga figura ini berkolaborasi - Dato' Sri Siti, HH dan Fedtri Yahya.

Tetapi yang memberikan lagu ini unsur unik adalah bila elemen-elemen lagu arab lebih jelas kedengaran berbanding lagu sebelum-sebelum ini. (Mikraj Cinta daripada album SimetriSiti 2017.) Lenggok yang digayakan oleh Dato' Sri Siti juga sangat merdu. Low notes di awalan lagu juga sangat jelas, sesuatu yang kalau beliau lakukan 20 tahun lalu, pasti tidak menjadi.

"Hadir insan berterusan hulur firasat sejati,
Perisaikan diri menjaga nyawa tak terganti,
Budi yang terpuji, kesabaran yang mulia.."

Liriknya juga begitu dekat dengan kita, terutamanya ketika pandemik Covid-19 dan tempoh PKP tempoh hari. Pendapat aku adalah lagu ini dikeluarkan pada tempoh yang tepat dan mesejnya dapat diterima.

RATING : 💛💛💛💛💛💛💛💛/10



TERANG | 3.52 minit
💛Komposer : Aubrey Suwito
💛Penulis Lirik : Shah Shamsiri

Lagu Terang ini dikeluarkan pada Oktober 2019.  Dikeluarkan seiring dengan kempen untuk SIMPLYSITI. Lagu yang dihasilkan oleh Aubrey Suwito ini bagi aku sesuatu yang "Aubrey Suwito". Rentak yang catchy, bagaikan lagu nyanyian Meghan Trainor.

"Bintangkan bersinar, walau gelap datang, ditepat pada waktunya, matahari ada tetap terang dan ceria.."

Liriknya pula memberi makna yang indah, sesuatu yang pasti akan tiba selepas ditimpa musibah. Pendapat aku adalah mungkin lagu ini dimasukkan ke dalam album ini sebagai pelengkap atau mungkin lagu ini sememangnya projek ManifestaSITI2020.  Sebuah lagu yang ceria sesuai untuk kanak-kanak.

RATING : 💛💛💛💛💛💛/10

ANTA PERMANA | 3.25 minit
💛 Komposer : Hael Husaini/Ezra Kong
💛 Penulis Lirik : Hael Husaini/Ezra Kong


Lagu Anta Permana dikeluarkan pada September 2018. Lagu yang membawa Dato' Sri Siti Nurhaliza kembali diperkatakan orang ramai.  Walaupun sudah 2 tahun lagu ini dikeluarkan, bagi aku adalah sesuatu yang tepat untuk menyenaraikan sekali didalam album ini.

"Andai bintang kan tak lagi berseri,
Janji kasih yang takkan terkhianati,
Andai habis nafasku yang terakhir,
Masihku cinta, kerna ku pasti,
Kau tiada pengganti.."

Lagu ini sebenarnya tak boleh nak ulas lagi sebab sudah terbukti lagu ini sesuatu yang mega. Kejayaan di AJL membuktikan ini lagu yang betul-betul berkualiti. Liriknya pula sesuatu yang aku rasa adalah untuk Siti Nurhaliza. Ya, beliau tiada pengganti. Meletakkan lagu ini disenarai terakhir memberikan satu simbolik kerana di dalam keseluruhan album ini, ayat terakhir ialah "Kau Tiada Pengganti."

RATING : 💛💛💛💛💛💛💛💛💛/10


KULIT ALBUM


"buruklah cover album, macam cover majalah perniagaan, cover belakang album lagi cantik."

Mengkritik sesuatu perlulah dalam kritikan yang membina. Selain itu, mengkritik, memberi komen dan sebagainya ada caranya tersendiri. Pemilihan cover album ini pastinya dilakukan dengan professional dan ada maksud disebalik pemilihan gambar ini.

Bagi aku, cover ini merupakan sesuatu yang segar dan moden. Kulit majalah perniagaan? Itu pendapat kamu. Siti Nurhaliza selama ini telah menghasilkan pelbagai album, konsep yang berbeza-beza, dan kali ini beliau tampil kulit album dengan konsep sebegini. 

Menghasilkan sebuah album merupakan satu perkara yang sangat bermakna dalam kerjaya seseorang artis, takkanlah setiap butiran dari segi pemilihan lagu, kulit album dan sebagainya dipilih tanpa membuat perbincangan dan penelitian yang mendalam?

KESELURUHAN


Tahniah diucapkan kepada keseluruhan pasukan produksi, komposer, penulis lirik, dan sebagainya yang terlibat dalam menjayakan album ini. Album ManifestaSITI2020 merupakan satu lagi bukti bahawa Siti Nurhaliza merupakan jenama muzik paling berjaya dan berkualiti di tanah air. Di waktu penyanyi-penyanyi hanya menghasilkan single, beliau hadir dengan album baru, sebagai buah tangan untuk peminat yang tak putus-putus menyokong.

Kekuatan Siti Nurhaliza adalah pada peminat. Sebab itu, saban tahun, beliau sentiasa akan hadir dengan projek konsert, lagu, album dan sebagainya untuk menghargai peminat. ManifestaSITI2020 buah tangan terbaru memberi satu penanda aras yang tinggi, bahawa Siti Nurhaliza sudah terbang ke tahap yang tinggi, sudah boleh duduk dirumah, menguruskan perniagaan dan keluarga, tetapi masih lagi memilih untuk berkarya, dan menghiburkan peminat.

Pastinya album yang dihasilkan kali ini lebih baik berbanding sebelumnya, setiap kekurangan akan diperbaiki untuk album berikutnya. Ya, aku tidak sangsi dengan album yang dihasilkan kerana kualiti yang diberikan sangat baik.

RATING : 💛💛💛💛💛💛💛💛💛💛| 10

Credit Photo : Telegram Siti Nurhaliza

SEKIAN

0 تعليقات

The author will not be responsible for any comment left by the readers. Please comment using polite language. Thank you.


إرسال تعليق

The author will not be responsible for any comment left by the readers. Please comment using polite language. Thank you.


Post a Comment (0)

أحدث أقدم